Pembantu rumah

Seorang pembantu rumah warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan cuba membunuh majikan wanitanya pada 26 Februari lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa, Phang Kian Huang, 41, terpaksa menerima 65 jahitan di leher, lutut (lebih 20 jahitan), telinga (20 jahitan), selain cedera ekoran didakwa diserang bertubi-tubi oleh pembantu rumahnya itu.

Tertuduh, Hanni Seo, 23, dari Kabupaten Kupang, Indonesia mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas tuduhan itu ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Dia yang memakai kemeja lengan pendek biru dan berseluar jean warna sama sebelum itu dilihat terpinga-pinga sambil mendiamkan diri ketika jurubahasa beberapa kali membacakan pertuduhan terhadapnya.

Walaupun dibacakan beberapa kali oleh dua jurubahasa berbeza, Hanni dilihat masih mendiamkan diri ketika ditanya tentang pengakuannya berhubung tuduhan itu.

Setelah hampir 10 minit, Roslan kemudiannya mencelah sambil membacakan semula pertuduhan tersebut.

Hanni kemudiannya dilihat mengelengkan kepalanya tanda tidak mengaku bersalah sambil menyatakan dia mahu dibicarakan.

Mengikut pertuduhan, dia yang tidak diwakili peguam didakwa menyerang Kian Huang dengan bersenjatakan sebuah kerusi kayu, sebuah lesung batu dan sebilah pisau pemotong sayur yang boleh mendatangkan kecederaan dan kematian kepada mangsa.

Hanni didakwa melakukan kesalahan itu pada kira-kira pukul 10 pagi, 26 Februari lalu di dalam rumah majikannya itu di No. 55-6-2, Sri Mahsuri, Lorong Sempadan 2, Rifle Range, Air Itam di sini.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Roslan kemudiannya memerintahkan kes tersebut dirujuk kepada konsulat Indonesia di Pulau Pinang untuk tindakan selanjutnya.

”Saya bagi sebulan untuk kes ini dimaklumkan kepada konsulat Indonesia. Terpulang kepada pihak konsulat untuk melantik peguam bagi pihak kamu.

”Saya juga tidak akan membenarkan sebarang jaminan diberikan kepada kamu sehingga tarikh sebutan akan datang. Jika ada peguam, rayuan berhubung jaminan boleh diutarakan pada hari tersebut,” katanya.

Beliau kemudiannya menetapkan pada 2 April ini untuk sebutan semula kes itu.

Setelah prosiding selesai, Hanni dilihat menangis teresak-esak ketika seorang anggota polis menggari semula tangannya.

This entry was posted in Indonesia. Bookmark the permalink.

Leave a Reply