Perhimpunan Agung UMNO

Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlangsung pada 24 hingga 28 Mac ini dianggap sangat penting dalam keadaan UMNO yang genting selepas Pilihan raya Umum Ke-12 pada Mac tahun lalu. Ini kerana melalui pemilihan jawatan tertinggi parti kali ini, UMNO mempunyai peluang untuk memilih pemimpin yang benar-benar berwibawa.

Ini boleh memberi keyakinan baru kepada rakyat khususnya orang Melayu tentang kesungguhan UMNO untuk berubah dan sentiasa relevan dengan zaman. Malah perhimpunan kali ini juga menjadi medan ujian sejauh manakah UMNO serius menolak pemimpin-pemimpin yang mengamalkan politik wang dan memilih mereka yang mempunyai kualiti yang tinggi.

Bagaimana pun menangani pemimpin yang mengamalkan politik wang bukanlah tugas Lembaga Disiplin UMNO saja. Para perwakilan yang akan berkampung di PWTC mempunyai kuasa menentukan pemimpin manakah yang layak diberi tanggungjawab.

“Jika dalam pemilihan ini pemimpin yang diketahui umum terlibat dengan rasuah tetap dipilih, ini bermakna wakil-wakil yang hadir tidak memandang serius tentang pemulihan UMNO,” demikian tegas bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam wawancara dengan wartawan Mingguan Malaysia, KU SEMAN KU HUSSAIN, NIZAM HAMID dan SAIFULIZAM MOHAMAD di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya Rabu lalu.

MINGGUAN: Ketika ini UMNO berada dalam keadaan tidak stabil. Apa harapan Tun terhadap Perhimpunan Agung serta pemilihan UMNO kali ini?

Dr. Mahathir: Pemilihan kali ini akan membuktikan sama ada UMNO serius untuk membersihkan diri daripada gejala rasuah atau sebaliknya. Jika dalam pemilihan, pemimpin yang diketahui oleh umum terlibat dengan rasuah tetap dipilih, ini bermakna wakil-wakil yang hadir tidak pandang serius tentang pemulihan UMNO. Ini juga bermakna UMNO masih berharapkan pemimpin yang terlibat dengan rasuah untuk memimpin parti. Mereka ini yang terdiri daripada Majlis Tertinggi (MT), Pemuda dan Wanita kemudian akan dipilih menjadi menteri dan sebagainya. Ini sudah tentu kerajaan akan dilihat toleran dengan soal rasuah. Kerajaan rasuah tidak akan diterima oleh rakyat.

Berbanding zaman Tun dulu, adakah pemilihan kali ini dianggap paling genting bagi UMNO?

Dr. Mahathir: Itu terpulang kepada persepsi anda dan orang lain. Kenapa kita hari ini bercakap sangat pasal benda ini. Kalau ia tidak genting, kita tidak akan cakap. Hakikatnya, orang Melayu sekarang ini berasa cemas. Mereka berasa ada satu malapetaka sedang menimpa. Mereka mencari orang untuk menyelamatkan keadaan ini dan mereka fikir Lembaga Disiplin mampu membuat sesuatu. Oleh itu, sekiranya Lembaga Disiplin membuat sesuatu yang tidak dapat diterima orang maka kecemasan orang Melayu itu akan berterusan. Sekarang ini kita jumpa di mana-mana sahaja, sama ada orang UMNO atau bukan akan mengadakan perhimpunan dan perjumpaan untuk bercakap berkenaan masalah orang Melayu. Jadi kita nampak wujudnya perasaan cemas dan kritikal.

Setakat manakah seriusnya rasuah dalam UMNO ketika ini?

Dr. Mahathir: Dahulu ada tuduhan politik wang tetapi tidaklah seperti kali ini. Kali ini di mana-mana sahaja kita dengar orang berkata si polan-si polan bagi duit banyak, buat kempen guna duit, ejen bagi duit dan mereka menyebut nama-nama tertentu. Ini tidak pernah berlaku masa dahulu. Nampaknya gejala ini semakin serius. Dahulu jika ada rasuah pun ia tidak menyebabkan pengundi menolak UMNO dalam pilihan raya. Oleh itu jika masalah ini tidak ditangani saya yakin penolakan rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang akan lebih total berbanding tahun 2008.

This entry was posted in Chedet. Bookmark the permalink.

Leave a Reply