Porche Cayanne Turbo S bernilai lebih RM1.4 juta

Polis masih mengesan kereta Porche Cayanne Turbo S bernilai lebih RM1.4 juta yang dibeli Tengku Mahkota Kelantan yang dilaporkan hilang ketika kenderaan terbabit dihantar untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Shah Alam, Isnin lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, yang dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kehilangan kenderaan mewah milik putera Sultan Kelantan itu dan usaha menjejaki penjenayah serta kereta itu sedang giat dijalankan.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas kes itu secara lebih lanjut berikutan siasatan kes itu sedang giat dilakukan.

Difahamkan, kereta itu masih dalam negara ini kerana ia tidak mempunyai cukai jalan dan geran kerana ketika kejadian ia baru dibawa masuk ke negara ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kenderaan itu dihantar ke Puspakom di Shah Alam untuk menjalani pemeriksaan bagi proses pendaftaran sebaik tiba di negara ini.

Sumber berkata, kejadian berlaku ketika seorang kakitangan dan pemandu Puspakom sedang melakukan ujian pemeriksaan pada kenderaan itu jam 2.30 petang.

Pemeriksaan itu bagi pengesahan nombor casis pada enjin kenderaan terbabit.

Bagaimanapun, kakitangan Puspakom bertugas mendakwa terkejut apabila enjin kenderaan terbabit tiba-tiba dihidupkan sebelum kenderaan itu bergerak keluar dari pusat berkenaan.

“Kejadian berlaku dalam sekelip mata apabila kenderaan mewah itu yang dipandu individu tidak dikenali memecut laju meninggalkan pusat servis berkenaan.

“Difahamkan, polis menerima maklumat suspek sebelum itu dilihat berkeliaran di kawasan berkenaan sebelum melarikan kereta mewah itu berlaku,” katanya

This entry was posted in Malaysia. Bookmark the permalink.

Leave a Reply