Program menarik cuti sekolah

Taman tema Water World A’Famosa Resort sedia pelbagai program menarik cuti sekolah

INGIN bersantai bersama keluarga dan teman-teman pada hujung minggu atau mengisi waktu lapang sempena cuti sekolah, namun sehingga sekarang masih mencari lokasi sesuai? Kenapa tidak cuba berkunjung ke taman tema Water World A’ Famosa Resort Malaysia di Alor Gajah, Melaka.

Taman tema air yang terbesar di negara ini, mengikut catatan Malaysia Book of Records (MBR), menawarkan pelbagai tarikan tiada tolok bandingnya bagi mereka yang benar-benar ingin menikmati sesuatu luar biasa, malah ada yang mungkin tidak pernah ditemui di tempat lain.

Di sini, pengunjung boleh memilih untuk mencuba pelbagai jenis gelungsur dan kolam air yang serba moden, sama ada kecil atau besar, panjang ataupun pendek yang sesuai untuk bersantai bersama seisi keluarga ataupun rakan-rakan.

Selain itu, ada juga kemudahan yang turut dihiasi dengan pelbagai jenis pancutan air mengelilingi keseluruhan kawasan itu, di samping beberapa kolam khas disediakan untuk kanak-kanak berumur di bawah lima tahun. Soal keselamatan jangan dibimbangi, sebab di sini, perkara itu sentiasa menjadi keutamaan.

Taman tema yang diiktiraf oleh MBR sebagai taman tema terbesar di Malaysia itu, menampilkan pelbagai jenis kolam mandi dan gelungsur seperti The Lazy River, The Arabian Village, Seven Storey High Speed Slide, Wave Pool dan Family Raft Ride untuk seisi keluarga.
Pengunjung boleh membawa keluarga menyaksikan haiwan secara dekat.

Ia menampilkan pelbagai jenis reka bentuk yang sesuai untuk setiap pengunjung bagi memberikan kepuasan pada tahap maksimum. Selain itu, pengunjung juga boleh mencabar diri dengan mencuba gelungsur air terpanjang sekali di situ.

Tinjauan ke lokasi itu baru-baru ini mendapati, taman tema ini sememangnya menakjubkan. Selain kemudahan yang disediakan serba menarik dan mengujakan, suasananya juga menimbulkan rasa ghairah untuk bersantai lebih lama.

Sebab itu, tidak menghairankan apabila melihat ribuan pengunjung memenuhi hampir segenap ruang di situ, majoritinya kelihatan seronok bersantai bersama teman serta keluarga. Paling ceria tentunya kanak-kanak yang kelihatan comel dengan pakaian mandi.

Selain kemudahan bermandi-manda, kawasan itu juga dilengkapi kemudahan kedai yang majoritinya dimuatkan dengan jualan pakaian mandi dan cenderamata, selain restoran, bilik persalinan dan ruang mandi. Ada juga kaunter bagi menyewa pelampung.
Kemudahan penginapan disediakan mengikut keselesaan pengunjung.

Pengurus Kanan Jualan dan Pemasaran A’Famosa Resort Malaysia, Aswandy Hassan, berkata Water World menitik beratkan konsep hubungan kekeluargaan kerana ia adalah nilai yang diperoleh apabila mereka datang bercuti bersama-sama ke taman tema air ini.

“Di taman tema ini, keseronokan bersantai bersama keluarga dan rakan-rakan pasti akan terasa sebaik saja kaki mencecah air. Anda mempunyai banyak pilihan. Jika anda mempunyai anak-anak kecil dan ingin mandi bersama mereka, kami menyediakan kolam khas untuk itu.

“Jika anak anda sudah remaja dan lebih gemar mandi sendiri atau bersama-sama rakan-rakannya, kita juga mempunyai kemudahan itu. Dan jika anda sendiri ingin menikmati kemudahan ini, kami juga ada menyediakannya. Semuanya di tangan anda untuk membuat pilihan,” katanya.

Aswandy berkata, bagi memeriahkan lagi suasana di Water World Theme Park, pihaknya sentiasa berusaha menawarkan pelbagai acara baru dan menyegarkan seperti pengenalan program membawa masuk artis terkenal membuat persembahan menerusi Fiesta Lets Splash with Celebrities.

Program ini diadakan khusus pada hujung minggu atau sempena musim cuti sekolah. Kebetulan, bermula 14 Mac ini, sekolah akan bercuti selama seminggu, pengurusan taman tema ini bakal menampilkan tujuh artis terkenal tanah air.

Artis yang bakal membuat persembahan kali ini adalah Ezad Exist, Asheed Def Geb C, Ieda, Eddie Hamid, pelawak Shamsul Ghau Ghau dan Lan Pet Pet dari kumpulan Senario serta Helmi Gimmick.

Semua artis berkenaan akan membuat persembahan di pentas utama Waterworld Theme Park bermula jam 3 petang setiap hari bermula 15 hingga 22 Mac ini. Di samping menyampaikan lagu-lagu popular dan membuat jenaka, semua artis berkenaan juga akan beramah mesra dengan pengunjung.

Mengikut jadual, Asheed akan membuat persembahan pada 15 Mac, diikuti Ieda dan Eddie Hamid pada 16 Mac, pertandingan tarian shuffle (17 Mac), Helmi Gimmick (18 Mac), Shamsul Ghau Ghau (19 dan 20 Mac) manakala Ezad dan Lan Pet Pet pada 21 dan 22 Mac.

“Persembahan artis jemputan ini tidak akan berhenti setakat itu, kerana mereka juga akan muncul di Cowboy Town pada jam 10 malam, hari yang sama,” katanya.

Aswandy berkata, pengunjung yang ingin menetap lama di A’Famosa Resort Malaysia, pihaknya juga menawarkan kediaman sama ada dalam bentuk resort, kondominium, villa atau banglo yang boleh disewa pada kadar harga berpatutan.

Bagi maklumat lanjut atau bagi tujuan tempahan, pusat peranginan ini boleh dihubungi menerusi talian 06-5520888 atau faksmili 06-5520969.

FAKTA: Taman Tema Water World A’Famosa Resort Malaysia

* Letaknya di Jalan Kemus, Simpang Empat, Alor Gajah

* Jika menggunakan lebuh raya Utara Selatan, pintu masuk adalah menerus Tol Simpang Ampat

* Lokasinya kira-kira 30 kilometer dari bandaraya Melaka Bersejarah dan 120 kilometer dari Kuala Lumpur.

* 45 minit perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

* Dua jam perjalanan dari Johor Bahru atau hampir tiga jam dari Singapura.

* 10 minit perjalanan dari Stesen Keretapi Tampin, Negeri Sembilan

* Bayaran masuk ke taman ini adalah sebanyak RM42 untuk dewasa dan RM37 untuk kanak-kanak.

* Ia dibuka dari jam 11 pagi hingga 7 malam pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat, manakala Sabtu, Ahad dan cuti sekolah dibuka dari jam 9 pagi hingga 8 malam.

This entry was posted in Travel. Bookmark the permalink.

Leave a Reply