Rayqal Anak Nora Danish

“Saya berdoa semoga Rayqal menjadi anak yang soleh dan berjaya dalam hidupnya bila dewasa nanti. Kalau boleh, saya ingin melihat dia menghafal al-Quran pada usia empat tahun.

“Sekalipun saya dan bekas suami kini tinggal berasingan selepas bercerai, saya tetap pastikan Rayqal membesar seperti anak orang lain yang mendapat kasih sayang secukupnya daripada ibu dan bapa,” kata pelakon Nora Danish, 26, ketika ditemui pada majlis cukur jambul anak sulungnya, Rayqal atau Putera Rayqal Rizal Ashram yang kini berusia dua bulan setengah di kediaman keluarga bekas mentuanya di Tar Villas, di sini, semalam.

Pelakon yang popular menerusi drama bersiri Puteri ini berkata, dia dan keluarganya sepakat untuk buat majlis cukur jambul di kediaman keluarga bekas mentua kerana kawasannya lebih besar dan selesa.

“Saya bersyukur kerana majlis berjalan lancar. Saya juga tidak berasa janggal mengadakan majlis ini di sini kerana Rayqal tetap darah daging dan cucu pertama dalam keluarga Rizal (Rizal Ashram Ramli).

“Hubungan saya dengan bekas keluarga mentua tetap baik, sama seperti dulu. Begitu juga hubungan dengan bekas suami. Malah, selepas bercerai, saya dan Rizal masih berkawan baik kerana kami ada tanggungjawab untuk sama-sama membesarkan Rayqal,” katanya.

Nora yang kini berstatus ibu tunggal mengakui bahagia dengan kehidupannya sekarang.

“Saya tidak menghadapi masalah untuk membesarkan Rayqal kerana ibu saya juga berstatus ibu tunggal. Bapa meninggal dunia ketika saya berusia 12 tahun dan ibu yang mengambil alih tugas membesarkan kami empat beradik hingga dewasa.

“Rayqal pula anak yang baik dan tidak susah untuk dijaga,” katanya.

Nora juga menafikan dia menyorokkan anaknya daripada perhatian media sebelum ini.

“Saya bukan menyorokkan anak saya, tetapi dia masih kecil ketika itu. Sekarang saya tiada masalah jika ada media ingin mengambil gambar anak saya kerana dia besar sedikit,” katanya.

Majlis cukur jambul itu bermula kira-kira jam 10 pagi dan dihadiri lebih seratus anggota keluarga terdekat.

Acara disemarakkan dengan bacaan marhaban oleh kumpulan Al Firdaus yang diketuai Maimunah Ali.

Hadir sama, bekas ibu dan bapa mentua, bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib, Puan Sri Raja Noora Ashikin Raja Abdullah; bekas suami Nora, Rizal, 38, dan ibu Nora, Sally Talib, 52, dan anggota keluarga terdekat kedua-dua pihak.

Antara rakan artis yang hadir ialah pelakon, Lisa Surihani dan Diana Johor.

This entry was posted in Artis, Nora Danish. Bookmark the permalink.

Leave a Reply