Tangkal kebal dipakai empat lelaki dipercayai warga Indonesia yang disyaki merompak seorang peniaga getah beku di Sungai Sam, Dabong, dekat sini, gagal menyelamatkan mereka apabila mati ditembak polis, semalam.
Penjenayah terbabit dikatakan memakai lilitan tangkal azimat selain memasukkan kertas kuning mengandungi ayat suci al-Quran dan kalimah Allah pada tali pinggang mereka.
Selain itu, seorang daripada mereka turut menyimpan sebungkus pasir dalam beg plastik dipercayai digunakan untuk memukau mangsa ketika melakukan rompakan.
Ketua Polis negeri, Datuk Abd Rahim Hanafi, berkata penjenayah terbabit dipercayai menggunakan tangkal konon sebagai pelindung diri ketika melakukan jenayah dan sudah bergerak aktif sejak dua tahun itu termasuk menyamar sebagai anggota polis apabila didapati menggunakan jaket keselamatan milik pasukan keselamatan itu.
“Siasatan terhadap mayat penjenayah itu menemui pelbagai tangkal termasuk tiga yang dililit pada pinggang manakala satu lagi membabitkan sebungkus pasir.
“Kami percaya berdasarkan objek ditemui pada badan penjenayah itu, ia digunakan untuk memukau sebelum merompak mangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, semua penjenayah berkenaan ditembak mati selepas dipercayai terbabit dalam 35 kes rompakan di empat negeri iaitu Pahang, Perak, Terengganu dan Kelantan.
Sebelum kejadian, kumpulan itu dikatakan merompak seorang peniaga getah beku di Sungai Sam-Dabong, kira-kira jam 6 pagi semalam ketika mangsa mahu menghantar anak ke sekolah.
Kejadian itu menyebabkan penduduk yang mahu bekerja di kawasan Sungai Sam-Dabong dan Kuala Krai-Gua Musang terkandas berikutan laluan berkenaan dipasang garisan polis.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat diterima, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan terus mengadakan ‘Operasi Sepadu’ sebelum mengesan sebuah kereta yang dipercayai terbabit dalam kejadian rompakan itu.
“Setiba di tempat kejadian, anggota polis terus menghampiri sebuah kereta Proton Waja sebelum penjenayah melepaskan lima das tembakan menggunakan pistol jenis Revolver .38.
“Berikutan itu, polis terpaksa melepaskan tembakan menyebabkan semua empat penjenayah paling dikehendaki itu terbunuh,” katanya.
Menurutnya, polis turut menemui dua pucuk pistol, dua senapang angin, tujuh bilah parang, 12 butir peluru .38 termasuk tujuh yang masih belum digunakan serta pelbagai peralatan pecah rumah selain wang tunai bernilai RM11,850 dipercayai milik mangsa.
Katanya, modus operandi kumpulan penjenayah itu ialah menunggu mangsa mengambil wuduk sebelum memasuki rumah untuk melakukan rompakan.
“Dalam kejadian itu, mangsa berusia 32 tahun diikat dan diketuk penjenayah terbabit ketika mahu menghantar seorang anak ke sekolah berhampiran.
“Mangsa bersama isteri dan anak kemudian diikat menggunakan pita pelekat di mulut dan semua mereka sudah dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, siasatan turut mendapati kenderaan digunakan penjenayah itu dilaporkan hilang di Kota Tinggi, Johor.
“Seorang daripada penjenayah berusia 35 tahun berasal dari Machang itu turut menjadi individu paling dikehendaki kerana memiliki 21 rekod jenayah membabitkan kes rompakan bersenjata dan pecah rumah,” katanya.
