Kalau tak silap Siti, pada awal dulu saluran TV9 mensasarkan kelompok penonton Melayu dan dewasa. Siti melihat sasaran itu sangat tepat pada masa itu. Stesen televisyen selalu terlupa bahawa orang Melayu dan dewasa juga menjadi penyumbang kepada rating. Mereka pula mempunyai kuasa membeli bagi stesen televisyen memancing pengiklan.
Untuk penonton pelbagai kaum yang muda termasuk Melayu, mereka sudah ada TV3. Tetapi golongan berumur tidak diberikan banyak program di TV3. Maka TV9 menjadi pelengkap, apa lagi banyak program bercorak Islam. Ini benar-benar memberi kepuasan kepada golongan sasaran TV9.
Tapi sekarang Siti tengok TV9 agak tersasar daripada konsep asal. Kelihatan juga TV9 mahu jadi TV3 dengan menyulam elemen-elemen pop yang berlebihan. Kalau sudah jadi TV3, lebih baik tengok TV3 saja. Penonton memilih TV9 kerana apa yang mereka mahu tidak terdapat di TV3. Ini adalah antara rungutan penonton TV9 kepada Siti.
Kata mereka, program-program yang menjadi tarikan di TV9 serta bercorak agama sudah terpelanting ke larut malam. Sepatutnya program itu pada waktu perdana. Tapi waktu perdana diambil oleh program yang lebih kurang sama dengan TV3.
Apabila Media Prima mempunyai banyak saluran televisyen, mereka boleh menjuruskan sasaran yang lebih tepat kepada penonton. 8TV misalnya untuk penonton Cina, ntv7 sasaran kepada masyarakat urban, TV3 untuk pop dan remaja dan TV9 untuk golongan Melayu dan peringkat umur dewasa.
Bagaimana pun apabila TV9 mahu mencuri konsep TV3, Siti melihat ini bukanlah suatu yang baik sama ada kepada TV9 dan juga penonton yang sudah jatuh hati dengan TV9. Kita kena realistik bahawa tak semua penonton suka dengan konsep TV3 yang terlalu menjurus kepada konsumerisme.
Siti fikir lebih elok kalau TV9 kembali kepada konsep asal dulu. Daripada reaksi yang Siti dapat, kelahiran TV9 telah memenuhi keperluan golongan sasarannya. Kena ingat itu.
SITI JARUM: Manis dan sopannya pengacara-pengacara TV9.
Selepas Siti minta maaf
Minggu lepas Siti tak menulis dalam kolum ini. Siti menyepikan diri selama seminggu. Siti faham apalah sangat dengan kolum ini. Buktinya minggu lalu tak ada rusuhan di depan pejabat Siti kerana Siti tak menulis minggu lepas. Ada atau tidak, orang tak terasa pun.
Orang kata, setiap minggu kerja Siti membelasah sampai tercungap-cungap. Siti ada terima e-mel bertanya, kenapa saban minggu Siti garang sangat? Kenapa bahasa Siti saban minggu sangat sarkastik? Pedih sangat. Siti sebenarnya tak ada jawapan. Mungkin itu kesan dari persekitaran Siti.
Sebelum ini Siti pernah minta maaf kalau sikap Siti meninggalkan goresan merah di hati orang tertentu. Kalau orang kata Siti ini sangat ego, mereka silap. Orang ego sama sekali tak akan minta maaf walaupun salah. Siti bukan jenis itu. Siti minta maaf dengan harapan semua akan jernih. Siti membuat semua itu demi kejernihan.
Tapi selepas Siti berlembut serta minta maaf, Siti lihat semacam tak ada nilainya. Pihak berkenaan terus buat perkara yang seperti mencabar Siti. Mana boleh macam tu, bro. Tak eloklah. Pekerti awak seperti yang dikhabarkan kepada Siti adalah orang yang baik-baik dan sangat penyabar pula. Jauh lebih baik segala segi daripada Siti. Tapi kenapa awak terus macam dulu juga, macam tak reti bahasa. Orang baik-baik bukan macam ni. Tolonglah jaga hati Siti sama. Mana perginya kejujuran, ketelusan dan keikhlasan yang dijaja di sana sini itu?
SITI JARUM: Sentiasa sabar.
Isu kerudung ungu
Siti sebenarnya sejak lama dulu penat memikirkan apa yang ada dalam kepala otak sesetengah daripada kita. Memang penat sangat. Ada sesetengah orang kita berlagak Islamik. Topeng Islamik hanya untuk mengenakan orang lain saja.
Apabila ada artis yang berubah pakai kerudung misalnya, puak ini bagai nak rak puji sana puji sini. Biarlah, kalau dia pakai baguslah tapi janganlah puji melangit nanti artis itu pula yang jatuh berdebuk. Bila artis balik umrah, sibuk tanya bila nak pakai kerudung. Tapi pakai kerudung pun jadi isu malah lebih hangat lagi.
Tidak berapa lama dulu seorang teman Siti menjadi cover girl sebuah majalah. Dia pakai kerudung ungu . Biasalah kerudung sekarang ini sudah dipergayakan macam-macam. Siti tidak pernah menganggap mempergayakan kerudung sebagai satu masalah. Asalkan bertudung, baguslah. Siti tengok cover majalah itu cantik dan tak ada cacat celanya. Tambahan pula teman Siti manis orangnya.
Tapi dengan tak sangka-sangka ada puak-puak yang menganggap mereka lebih Islamik. Mereka melabelkan kerudung ungu teman Siti sama dengan yang dipakai pada biarawati. Isu ini menjadi heboh seolah-olah teman Siti melakukan kesalahan akidah yang besar. Rupanya tanggapan bahawa kerudung itu serupa dengan biarawati sudah lama, cuma Siti baru diberitahu.
Darah Siti tiba-tiba menyirap. Siti kata kepada teman Siti, pedulikan tanggapan daripada orang yang otak senget itu. Orang beginilah yang selalu nampak kesilapan orang lain atau sengaja nak membuat kontroversi. Siti minta puak-puak ini hentikanlah kerja melabel orang. Kalau dia orang masih menjadikan kerudung ungu ini sebagai isu agama, Siti tak akan berdiam diri. Siti tak nak teman Siti menangis lagi kerana isu ini. Siti dah puas tengok dia menangis.
