Tindakan seorang wanita membenarkan jiran masuk ke rumahnya selepas mendakwa kelaparan membawa padah apabila lelaki itu mencabulnya di Lorong Selamat, Kampung Selamat di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 9.30 malam, mangsa berusia 22 tahun mendakwa secara tiba-tiba dipeluk jirannya yang berusia 24 tahun sebelum meraba punggung dan dadanya beberapa kali.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) negeri, Superintendan Nordin Mustapa, berkata mangsa yang bekerja sendiri berada di ruang tamu rumah ketika itu manakala rakannya di dalam bilik, apabila didatangi lelaki itu dalam keadaan khayal dipercayai mengambil ganja.
Beliau berkata, lelaki itu mengadu kepada mangsa dia lapar dan atas dasar simpati selain mengenalinya sebagai jiran, mangsa membenarkannya masuk ke dalam rumah.
“Selepas diberi makan biskut dan air, lelaki itu tiba-tiba memeluk mangsa sebelum meramas beberapa bahagian badan mangsa. Dalam keadaan terkejut dan ketakutan, mangsa cuba meronta untuk melepaskan diri daripada pelukan suspek, namun gagal.
“Mangsa menjerit meminta tolong sebelum rakannya keluar untuk membantu, bagaimanapun dia dipukul suspek,” katanya.
Nordin berkata, keadaan bising dan jeritan mangsa turut menarik perhatian jiran lain yang bergegas ke rumah mangsa dan menahannya sebelum menghubungi polis.
Beliau berkata, siasatan mendapati suspek yang menganggur berasal dari Rompin Lama, Pekan dan menumpang di rumah rakannya tidak jauh dari rumah mangsa.
“Siasatan turut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah cabul dua tahun lalu. Dia dituduh di mahkamah pagi ini (semalam) mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya.
Nordin berkata, dalam kes berasingan, pihaknya menemui peralatan tajam, beberapa kunci kereta dan lebih 30 nombor dan abjad untuk plat kenderaan dalam kereta dinaiki seorang lelaki dan teman wanitanya di Kampung Pandan dekat sini, jam 5 pagi kelmarin, yang disyaki digunakan untuk samun dan pecah rumah.
