Juara dan naib juara di Batu Pahat layak ke final BIBH di Klang, Ahad ini
KECEKALAN semangat peserta Bintang Idola Berita Harian (BIBH) sememangnya kental. Jika sudah minat, apa saja halangan sanggup dilalui walaupun terpaksa menempuh perjalanan beratus kilometer.
Inilah yang berlaku di pertandingan BIBH di Batu Pahat, Johor. Kira-kira 200 orang menyertai peringkat saringan yang diadakan pada Sabtu lalu. Berdasarkan jumlah penyertaan tertinggi berbanding lima lokasi jelajah promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH 2008), penganjur bersetuju untuk memilih 12 peserta ke peringkat akhir yang dilangsungkan pada Ahad.
Agak mengejutkan apabila juaranya ialah peserta dari Sungai Petani, Kedah iaitu Syaifaana Mohamed Subri, 23 yang mendendangkan lagu Teratai Layu Di Tasik Madu.
Katanya, dia sudah menyertai BIBH di Sungai Petani tetapi gagal, namun bukan bermakna sudah putus asa dan ini dibuktikan apabila sanggup mencuba nasib sekali lagi di Batu Pahat. Percubaan di Batu Pahat tidak sia-sia apabila dipilih sebagai juara.
“Saya tidak mengejar hadiah tetapi mahu cari peluang melangkah ke dunia seni yang diidamkan. Alhamdulillah kemenangan ini menjadi satu lagi peringkat yang harus saya turuti iaitu di Klang pada 5 April. Kali ini saya akan melakukan persediaan lebih rapi.
“Saya tahu peserta yang bertanding di Klang nanti bukannya calang-calang kerana semuanya juara lokasi jelajah ABPBH2008 termasuklah sahabat saya dari Kedah, Noor Nazanil Farahan Mohd Hussin,” katanya yang ditemui sebaik diumumkan sebagai juara.
Menurut Syaifaana, menariknya pertandingan BIBH di Klang nanti bakal berhadapan tiga sahabatnya yang pernah bersaing di Sungai Petani.
“Ketika di Sungai Petani, Nurlida menang tempat pertama, Farahan kedua dan saya ketiga. Saya dan Noor berpakat untuk cuba lagi di lokasi lain. Noor memilih Kuala Terengganu dan menang. Saya memilih ke Batu Pahat dan Alhamdulillah ia juga berhasil.
“Maknanya selepas ini saya akan lakukan yang terbaik kerana matlamat saya selepas ini adalah untuk beraksi di pentas persembahan di ABPBH 2008 di Genting Highlands pada 12 April di hadapan bintang dan penonton di Arena Of Stars,” katanya.
Pertandingan BIBH di Batu Pahat diadili oleh tiga juri diketuai Penolong Pengarang Hiburan Berita Harian, Zainuri Misfar; komposer, Julfekar, dan pemain gitar Sweet Charity, Rosli Mohalim.
Kejutan berlaku apabila semua juri selepas berbincang dengan penganjur bersetuju supaya naib juara BIBH di Batu Pahat layak bertanding di peringkat akhir BIBH. Tempat kedua BIBH di Batu Pahat dimenangi oleh Muhammad Irwan Othman, 24 yang sebelum ini sudah mencuba nasib di jelajah promosi ABPBH di Pasir Gudang.
“Walaupun agak kecewa kerana tidak menjadi juara di Batu Pahat tetapi saya dikejutkan apabila pengacara, Isma Halil Hamzah mengumumkan keputusan penganjur bahawa tempat kedua juga layak bersaing pada peringkat akhir di Klang nanti.
“Inilah yang dikatakan memang rezeki. Bermakna saya masih berpeluang menunjukkan bakat saya dalam bidang nyanyian sekiranya menang pertandingan akhir BIBH sekali gus dapat beraksi pada malam kemuncak ABPBH 2008 di Genting Highlands,” katanya yang ditemani isteri, Nuraini Johari.
Tempat ketiga BIBH di Batu Pahat ini dimenangi Mohammad Azri Naadirin yang menyanyikan lagu Potret Monalisa nyanyian asal dari kumpulan Wings. Juara menerima RM500, sijil dan barangan kemas tajaan Rafflesia bernilai RM1,000; tempat kedua wang tunai RM300 dan RM200 (hadiah ketiga). Seramai 12 peserta bertanding di peringkat akhir BIBH di Batu Pahat.
Semua hadiah pemenang dan sijil penyertaan peserta disampaikan oleh oleh Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Berhad, Datuk Anthony Firdauz Bujang.
