Intro2u.net >Artis > Malam ABPBH 2008

Malam ABPBH 2008

By admin

Read Here

Iqram, Irma Hasmie, Aiman tidak lepaskan peluang untuk bergaya pada malam kemuncak ABPBH 2008

BIDANG kain ela yang tergulung cantik di butik pereka fesyen milik Michael Shu terletak di tingkat satu, bangunan Parkroyal agak berselerak. Ini semua gara-gara untuk merealisasikan konsep fotografi menggandingkan tiga daripada 11 selebriti yang menggunakan khidmat pereka fesyen berusia 33 tahun itu.

Tidak sia-sia kain ela itu menjadi ‘korban’ dan hasilnya yang menjadi latar belakang fotografi dan props di satu sudut butik pereka itu memberi mood berbeza kepada Iqram Dinzly, Irma Hasmie dan Aiman.

Mujur juga tindakan ‘merosakkan’ kain itu buat sementara waktu tidak mengundang kemarahan Michael. Malah, sambil berseloroh pereka bertubuh gempal itu memuji hasil gambar yang dirakamkan.

Bergaya di depan kamera bukan satu masalah besar buat Iqram dan Irma. Cuma Aiman masih kekok lagi untuk memberi aksi menarik. Tapi kalau mahu dibandingkan di awal kemunculannya di persada seni dengan sekarang, ternyata penyanyi yang mula dikenali selepas menyertai Akademi Nasyid ini semakin berubah.

Iqram pula tidak lokek membantu Aiman menata gaya yang sesuai.
MICHAEL berbincang bersama Iqram, Aiman dan Irma megenai pakaian yang akan diperagakan pada malam ABPBH 2008.

Berbeza dengan dua bintang muda tetapi sudah biasa melaram rekaan, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 menjadi medan sulung buat Aiman menggunakan khidmat Michael sebagai pereka bajunya nanti.

Bakal mengenakan jaket songket dan sut berwarna kusam (pastel) rekaan pereka itu, Aiman yang tersenarai sebagai calon Artis Baru Lelaki Popular dan Artis Nasyid Popular meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Michael untuk baju yang bakal digayakan nanti.

“Tak sangka juga saya dapat peluang indah untuk mengenakan sut rekaannya. Sebagai bakat baru, saya menerima pelawaannya dengan hati terbuka. Saya difahamkan rekaan baju saya itu lebih kepada gambaran penyanyi nasyid yang saya sertai,” kata Aiman yang cukup dikenali dengan lagu Dusta Berkalang Noda.

Mengenai debaran menjelang kemuncak APBBH 2008 pada 12 April ini, Aiman yang sedang merancang pembikinan album sulung di bawah terbitan Arteffects Production ini tidak langsung berharap apa-apa.

“Apa yang saya harapkan majlis itu nanti akan berjalan lancar. Saya hanya mahu bergembira di sana (Genting Highlands) dan mahu menikmati keseronokan apabila dapat berkumpul sama-sama dengan anak seni yang lain,” katanya sambil memberitahu album sulungnya akan diedarkan di pasaran tidak lama lagi.

Bagi Iqram pula dia akan mengenakan jaket dengan perincian kombinasi warna berbeza menampilkan warna bumi sebagai pilihan utama. Mengakui senang bekerjasama dengan Michael, Iqram berharap pereka fesyen kelahiran Bentong, Pahang itu akan memenuhi impian mereka pakaian yang diidamkan.

Biarpun dia dan Irma tidak tercalon dalam sebarang kategori atau sebagai penyampai trofi, kehadiran mereka sebagai tanda sokongan kepada Berita Harian yang tidak jemu memberi sokongan padu terhadap pacuan kerjaya mereka.

Kata Iqram, dengan menghadiri ABPBH, lima entiti dapat bertemu mesra merapatkan silaturahim. Biarpun belum dapat memboloskan diri dalam mana-mana kategori di ABPBH, Iqram menganggap satu bonus jika namanya tersenarai dalam kategori tertentu pada masa mendatang.

“Bayangkan kilauan bintang insan kreatif daripada barisan pelakon, pengacara, penyanyi, penyampai, penyampai radio dan pereka fesyen bersatu dalam sebuah majlis berprestij seperti ABPBH. Mesti ‘gempak’ jadinya, malahan boleh mengeratkan silaturahim sesama kita.

“Biarpun tidak tercalon, saya yakin ada kelompok peminat tersendiri yang mungkin tidak pernah mengundi saya dan lebih gemar menonton bakat saya di kaca TV dan pawagam. Ia bukan alasan untuk saya patah semangat dan berpeluk tubuh,” kata Iqram yang sedang menjalani penggambaran drama 13 episod berjudul Ladoce Amira bagi slot Lestary menampilkan pelakon lain seperti Faezah Elai, Linda Hashim, Siti Elizad, Fizo Omar dan Kuza.

Bersama Nabil di permaidani merah

UNTUK penampilan Irma, Michael berkira-kira untuk menghasilkan gaun pendek meleret di bahagian belakang berwarna merah hati. Menurut Irma yang baru saja selesai penggambaran drama Segalanya Ku Terima arahan Raja Ahmad Alauddin, Michael dianggap sebagai seorang baik hati dan tidak kedekut.

“Dia meletak hubungan kami bukan atas dasar artis dan pereka fesyen, malah sebagai kawan. Sikapnya yang peramah membuatkan dia senang didekati. Untuk urusan rekaan baju, dia sentiasa terbuka kepada idea masing-masing.

“Dia buat pakaian bukan untuk dirinya, lalu dia sentiasa meminta pendapat selebriti yang terbabit supaya hasilnya nanti memuaskan hati kedua belah pihak,” katanya.

Kemungkinan besar ketika malam kemuncak ABPBH 2008 nanti, Irma akan berjalan beriringan bersama Nabil di laluan permaidani merah. Baru saja ‘kehilangan’ anak angkat yang dibela bernama Nur Hanie Nabila, Irma mengakui sangat merinduinya. Hingga saat ini, dia belum terfikir untuk mencari anak angkat yang baru.

“Irma menjaganya dulu atas niat ikhlas nak bantu apa yang patut. Masa itu, Irma tak pernah merancang untuk membela anak angkat. Semuanya bermula apabila ada kawan yang bertanya sama ada Irma berminat nak anak angkat atau sebaliknya,” kata Irma yang memberitahu ada pihak yang bertanyakan kepadanya jika masih berminat untuk membela anak angkat lagi.

Michael nafi tamak

SEMENTARA itu, Michael menafikan yang dia bersedia mereka pakaian untuk 11 selebriti itu atas dasar tamak. Di kalangan pereka lain yang terbabit dengan ABPBH 2008, tak dinafikan Michael menjadi pereka yang paling banyak menerima permintaan daripada artis.

Katanya, tidak perlu timbul isu itu kerana sebaliknya artis sendiri yang begitu berminat menggunakan khidmatnya.

Ditanya mengenai tema kali ini mengangkat martabat Sentuhan Tenun sebagai satu manifestasi memastikan fabrik tempatan seperti songket diberi perhatian.

“Difahamkan antara sebab Berita Harian menggunakan tema ini kerana mahu masyarakat terus menghargai khazanah tempatan daripada terus-terusan menggunakan fabrik luar,” kata Michael yang sudah biasa berkawan dengan orang Melayu.

Mengenai baju yang perlu disiapkan, kata Michael, setakat ini sudah 50 peratus dilaksanakan. Dibantu lima orang pekerja, Michael bangga jika dapat melihat artis yang menggunakan khidmatnya kelihatan cantik pada ABPBH 2008 nanti.

Profil Michael Shu

Nama sebenar: Shu Pei Loong

Komersial: Michael Shu

Tarikh lahir: 26 Oktober 1976

Tempat lahir: Bentong, Pahang

Umur: 33

Status: solo

Pendidikan: Diploma pemasaran dan fesyen

Pembabitan sejak: 12 tahun namun cuma dua tahun kebelakangan ini saja namanya mula meledak.

Related Content

Leave a Reply

Search Here

Categories

Ads

Stats


View My Stats

Become a BLOGGER

Do you think this site is useful?
Do you have something in your mind? Have something to share?

Post Your latest news or info by simply register here

UserOnline