PAKEJ perkahwinan ditawarkan
Read Here
PAKEJ perkahwinan ditawarkan pengusaha majlis kahwin atau mak andam membawa kesan besar terhadap sesuatu majlis yang diidamkan bakal mempelai. Tersilap memilih pakej, perkahwinan kelihatan tidak sempurna dan hati juga kesal kerana majlis yang lazim dilalui sekali seumur hidup itu meninggalkan banyak cerita kurang menyenangkan. Ibarat kata, wang habis, tetapi ada rasa terbuku di hati.
Sehubungan itu, pertimbangan akal dan perkiraan perbelanjaan adalah penting dalam menentukan kesempurnaan majlis. Tidak hairanlah ada pasangan yang sanggup membuat pencarian berbulan lamanya untuk mendapatkan pakej yang berkenan di hati. Pepatah ‘biar lambat asal selamat’ juga mungkin boleh dimanfaatkan bagi bakal mempelai yang akan melalui gerbang perkahwinan kerana pilihan yang tepat dan betul pastinya membuahkan hasil yang manis walaupun majlis sudah selesai.
Perancang perkahwinan: Majlis pasti penuhi impian pengantin dengan perancangan teratur
KERJA menyempurnakan majlis perkahwinan antara dulu dan kini jauh berbeza. Jika dilihat semula sekitar zaman 1970-an, bakal pengantin tidak mempunyai pilihan dalam banyak segi. Lazim didengar ada yang menyarungkan persalinan ibu untuk majlis perkahwinan mereka sebagai mengimbas kembali nostalgia perkahwinan kedua orang tua.
Sama ada ingin berbelanja secara berhemah atau mengimbas kembali nostalgia perkahwinan ibu bapa, hal berkenaan tidak menjadi masalah, malah gaya berkenaan pernah hangat dalam senario perkahwinan di negara kita suatu masa dulu.
Majlis tetap meriah kerana persalinan yang lazim ‘dikitar semula’ itu, songket misalnya, masih elok dan tetap utuh tidak dimakan usia kerana fabrik berkenaan tidak ditelan zaman apatah lagi dimamah usia.
Begitupun, arus kemodenan menyaksikan pelbagai pembaharuan berlaku dalam memenuhi kehendak pengguna. Apabila ada permintaan, tentunya ada pengusaha yang akan memenuhi kehendak mereka yang memerlukan perkhidmatan berkenaan.
Perancang perkahwinan butik TH Collection, Manisha Halil, berkata pasangan pengantin kini cukup bertuah kerana ada pelbagai pakej yang ditawarkan untuk memenuhi impian mereka.
“Pendek kata, mereka tidak perlu bersusah payah menyediakan kelengkapan sendiri dengan bertungkus lumus siang malam untuk menjadikan perkahwinan mereka meriah dan menjadi seperti apa yang diinginkan.
“Seperti yang kita maklum, kenduri kahwin adalah jamuan atau majlis besar yang membabitkan banyak pihak. Justeru, bukan senang untuk memuaskan hati semua pihak dan di sinilah pentingnya pengantin bijak mencatur masa memilih apa yang perlu mereka lakukan sendiri atau menyewa pakej yang ditawarkan pengusaha,” katanya ketika ditemui di butik TH Collection, baru-baru ini.
Sebagai perancang perkahwinan, Manisha menggalakkan bakal pengantin mengadakan perbincangan dengan pengusaha pakej supaya apa yang mereka idamkan mahu menepati kehendak.
“Apabila ada perbincangan, kita tahu apa yang bakal pengantin mahu, bagaimana corak dan perjalanan majlis yang mereka kehendaki dan paling penting segala-galanya berjalan lancar.
“Untuk melancarkan majlis perkahwinan, adalah lebih elok sekiranya mereka mengambil pakej lengkap serba berdiri seperti pakej yang ada menyediakan busana, tatarias, pelamin, bunga tangan dan kelengkapan lain,” katanya.
Kadangkala, kesibukan menguruskan majlis membuatkan ada yang terlepas pandang mengenai perhiasan, cenderahati, foto, kemasan meja untuk makan beradat dan pengapit.
“Perkara remeh temeh ini sering diabaikan kerana ada yang beranggapan urusan berkenaan boleh diselesaikan dalam masa singkat. Pada halnya, yang remeh temeh itulah yang wajar diletakkan dalam senarai kerana tidak mudah membuat tempahan untuk urusan foto dan tatarias pada saat akhir.
“Lebih-lebih lagi kalau majlis berkenaan dilangsungkan pada musim cuti persekolahan yang mana masa berkenaan sering menjadi pilihan kebanyakan mempelai untuk berkahwin,” katanya.
Manisha berkata, TH Collection menawarkan pelbagai jenis pakej untuk dipilih bakal pengantin dan setiap pakej mempunyai keistimewaan tersendiri dengan mengambil kira kepentingan bakal raja sehari.
TH Collection boleh dikunjungi di FF13, Tingkat Satu, Pertama Kompleks, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur atau hubungi talian 012-6628510 serta e-mel: thbridalcollection@yahoo.com.
Teliti pakej jadi pilihan
SEGALA-GALA perlu kelihatan sempurna pada majlis perkahwinan yang dianggap hari termeterai janji sehidup semati dengan harapan berkekalan ke anak cucu. Oleh itu, tidak hairanlah ada yang sanggup membuat persiapan awal dengan tempoh masa yang lama supaya apa yang dihajati tercapai pada majlis besar itu.
Sehubungan itu, pakej yang dipilih juga perlu diteliti supaya ia memudahkan kerja kahwin yang dilakukan. Apabila urusan kenduri kendara berjalan lancar, pengantin duduk bersanding juga senang hati dengan senyuman terpancar indah pada wajah
Menyentuh mengenai pakej, TH Collection menawarkan lima pakej iaitu Dua Sejoli, Teratak Ibunda, Anjung Mempelai, Mahligai Syahdu dan Istana Cinta. Harganya bermula RM499 hingga RM2,699 saja.
“Lima pakej itu adalah pakej asas yang ditawarkan TH Collection. Bagaimanapun, bakal mempelai tidak perlu gusar untuk mengunjungi TH Collection kerana kami turut menawarkan perkhidmatan yang tidak tertakluk kepada pakej semata-mata.
“Sudah menjadi gaya kini, ada pengantin yang ingin mengabadikan penampilan mereka dalam persalinan budaya lain seperti Jawa, Jepun, Cina dan Barat. Jadi, mereka boleh menyewa persalinan saja jika mahu,” katanya.
Bagaimanapun, TH Collection turut menawarkan perkhidmatan sewaan busana, aksesori, gubahan hantaran atau perkhidmatan fotografi tanpa perlu mengambil pakej demi untuk memudahkan urusan perkahwinan yang sewajarnya diraikan dengan meriah.
Lebih mengujakan, TH Collection tidak hanya mengehadkan perkhidmatan sekitar Lembah Klang saja kerana pakej berkenaan turut dilakukan sehingga ke luar Semenanjung,
“Ada bakal mempelai yang melangsungkan perkahwinan di luar Lembah Klang. Jadi TH Collection turut menyumbangkan idea bagi memanfaatkan lagi suasana dan majlis perkahwinan mereka.
“Dalam erti kata lain, kami bersedia meneruskan khidmat yang diminta pelanggan walaupun hingga ke Negeri Di Bawah Bayu. Bagi tempahan di luar kawasan misalnya, akan dikenakan caj tambahan termasuk penginapan jika perlu,” katanya.
Manisha menegaskan, bakal mempelai tidak perlu teragak-agak untuk mengunjungi TH Collection kerana segala-galanya boleh dirundingkan termasuklah pakej bagaimana yang diinginkan pengantin.

Use the form below to search the site:
Saya setuju dgn kata-kata anda.
Untuk pakej andaman pengantin bagi bakal mempelai di negeri Johor,