TV9 TV3

BIARPUN baru tiga tahun beroperasi, TV9 mencatat pertumbuhan memberangsangkan apabila memberi saingan hebat kepada stesen televisyen di bawah Media Prima Berhad (MPB), 8TV dan ntv7 untuk meraih kedudukan kedua bagi program Melayu di belakang TV3.

Penerbitan program realiti agak unik dan berbeza daripada stesen lain seperti Akademi Al-Quran, Akademi Nasyid, Gadis Melayu dan Idola Kecil, menjadikan TV9 mempunyai kelainan dan lebih dekat di hati penonton Melayu.

Selain itu, siri drama dan program kanak-kanak sama ada dari dalam dan luar negara turut mendapat perhatian terutama siri Upin & Ipin yang berjaya menarik perhatian kanak-kanak.

Ketua Penjenamaan, Pembangunan Perniagaan & Komunikasi Korporat TV9, Noor Amy Ismail, berkata sejak memulakan operasi pada 22 April 2006, stesen berkenaan menunjukkan pencapaian positif.

“Dengan persaingan hebat daripada stesen televisyen sedia ada bukan saja dari MPB malah stesen lain, kami sentiasa berusaha menyiarkan program terbaik menerusi pelbagai rancangan tempatan dan luar negara untuk menarik perhatian mereka.

“Sasaran penonton kini tertumpu kepada tiga kategori utama iaitu kanak-kanak berusia empat hingga 14 tahun, remaja dan belia bekerja berusia 15 hingga 24 tahun dan pasangan keluarga muda lingkungan 25 hingga 34 tahun.

“Dengan cara ini, TV9 memberi lebih tumpuan kepada penghasilan rancangan baru, sekali gus dapat menepati selera penonton,” katanya ketika mengetuai rombongan lawatan TV9 ke Balai Berita, Bangsar, baru-baru ini.

Menerusi kunjungan itu, pihaknya berharap hubungan silaturahim dan kerjasama dengan akhbar kumpulan New Straits Times Press (M) Sdn Bhd (NSTP) akan menjadi lebih akrab.

Hadir sama, Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh; Penolong Pengarang Hiburan Harian Metro, Hartati Hassan Basri; Penolong Pengarang Hiburan Berita Harian, Zainuri Misfar dan Pengarang Hiburan New Straits Times, Melanie Procter.

Menurut Amy, sebagai meraikan sambutan ulang tahun ketiga stesen berkenaan pada 22 April ini, pihaknya turut mengadakan beberapa aktiviti khusus seperti menyiarkan beberapa program baru selain Konsert TV9 Di Hatiku yang julung kali diadakan di Lumut, Perak pada 25 April ini.

“Selain mempelbagai promosi dan kempen berterusan menerusi televisyen, kami juga merancang mengadakan konsert khas yang disiarkan secara langsung menerusi TV9 menampilkan persembahan artis popular tanah air antaranya Ramli Sarip, Fabulous Cat, Elyana, Aizat dan kumpulan Hujan,” katanya.

Seiring dengan usia tiga tahun, TV9 giat mempromosikan tagline, Tiga Tahun Di Hatiku khas buat penonton setia mereka. Kini TV9 tidak lagi menggunakan tagline Dekat Di Hati, sebaliknya Di Hati kerana dalam tempoh tiga tahun, stesen itu sudah berada di hati penonton.

Beberapa program menarik turut disiarkan seperti Studio Nabil setiap Sabtu, jam 8.30 malam, paparan mengenai perkembangan dunia hiburan tempatan menerusi Galaksi menampilkan pengacara Nadia Shahrul Anuar setiap Jumaat, jam 8.30 malam.

Drama bersiri komedi seram, Caplos disiarkan setiap Jumaat dan Sabtu, jam 9 malam sejak 4 April, siri Lagenda: Merah Puteh jam 8.30 malam bermula 7 April.

Begitu juga program majalah masakan Ole-Ole Chef Zam dan Fimie yang turut membabitkan kanak-kanak dalam menyediakan pelbagai resipi masakan ringkas dan mudah.

Turut disiarkan program kartun animasi, Perman jam 5.30 petang bermula 5 April serta siri pengembaraan, Monster Kids jam 6 petang. Turut disiarkan secara ekslusif menerusi TV9, siri Upin & Ipin Maraton jam 5.30 petang hingga 7 malam pada 25 April.

Stesen berkenaan turut dikenali menerusi drama menarik seperti Akademi Polis musim ketiga, siri drama terbaru romantik komedi, Zafi & The Beast (Mei). Selain program realiti terbaru seperti Oo La La, gameshow kanak-kanak Hartamania (Jun), Gadis Melayu (Ogos) dan Idola Kecil musim kedua (November).

Selain itu, pada pada Ahad ini, jam 8 pagi hingga 6 petang, satu majlis dinamakan Splish Splash TV9 diadakan di Surf Beach @ Water Park, Sunway Lagoon khusus untuk meraikan media sempena ulang tahun TV9 ke-3.

Pelbagai aktiviti menarik dan menyeronokkan diadakan bagi mengeratkan lagi hubungan kerjasama di antara TV9 dan rakan media bersama ahli keluarga untuk memeriahkan sambutan ulang tahun TV9.

Program popular TV9, Nasi Lemak Kopi O yang dikendalikan Aziz Desa, Norazean Farrah Adeeba dan Sharifah Nur diadakan secara langsung dari Sunway Lagoon, jam 8 pagi diikuti Apa Ke Halnya bersama Mr Os, Shamsul Ghau Ghau dan Din Beramboi, jam 9.30 pagi. Acara kemuncak ialah majlis memotong kek bersama personaliti TV9.

This entry was posted in TV. Bookmark the permalink.

Leave a Reply