Kerajaan akan menawarkan jawatan dan gaji
yang kompetetif untuk menjadikan perkhidmatan awam sebagai kerjaya pilihan
pertama, kata Ketua Setiausa Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
Katanya kerajaan akan mewujudkan satu skim gaji dan jawatan yang menarik
kepada pemohon yang berminat mengisi jawatan di perkhidmatan awam berdasarkan pengalaman kerja dan kelayakan akademik.
“Sebagai contoh, sekiranya pemohon mempunyai pengalaman selama 10 tahun di sektor swasta dan berminat untuk berkerja di sektor awam, beliau tidak perlu bermula dari peringkat bawah dan akan ditawarkan gaji yang setimpal dengan pengalaman,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri rancangan Dialog di Radio Televisyen Malaysia, Angkasapuri di sini malam ini.
Beliau turut meminta penjawat awam supaya sentiasa melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa dalam pelaksanaan tugas bagi memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan dan pada masa yang sama memelihara integriti kerajaan.
“Kerajaan akan memberi kenaikan gaji dan kenaikan pangkat kepada penjawat
awam yang menghasilkan prestasi yang membanggakan tak kira sama ada mereka
tergolong dalam jawatan rendah atau tinggi,” katanya.
Mohd Sidek juga meminta orang ramai memberi cadangan yang boleh menambah
baik perkhidmatan sektor awam, yang seringkali dipandang negatif sebelum ini kerana pelbagai masalah.
