Pakaian rekaan khas

Majlis gemilang anjuran Muzium Seni Institut Kostum Metropolitan yang diadakan di New York baru-baru ini bukan saja mempamerkan rekaan terbaru fesyen, malah menjadi medan selebriti bersaing untuk menarik perhatian orang ramai.

Kate Moss, Liz Hurley dan Victoria Beckham, misalnya, begitu menonjol ketika tiba dengan mengenakan pakaian rekaan khas.

Ketiga-tiga mereka jelas cuba mengatasi satu sama lain ketika menyertai ramai nama besar dalam industri hiburan Hollywood, termasuk Cindy Crawford, Gisele Bundchen, Justin Timberlake, Bruce Willis, Heidi Klum dan Kate Bosworth.

Bertaraf supermodel, Kate yang menjadi hos bersama majlis itu memilih rekaan ala dewa Greek berwarna emas dan aksesori kepala metalik.

Ditemani pereka fesyen, Marc Jacobs, Kate, 35, menyerikan lagi pesta fesyen tahunan paling berprestij di AS bertemakan Moden Sebagai Dewa.

Bagaimanapun, bukan Kate semata-mata yang menjadi perhatian.

Selepas disindir kerana memakai pakaian terlalu tua untuk usianya pada tahun lalu, Victoria belajar daripada kesilapan kali ini.

Bekas anggota Spice Girl berusia 35 tahun itu megah menonjolkan bentuk tubuhnya yang kurus dibaluti pakaian berbintik rekaan Marc Jacobs, kasut tumit tinggi Louis Vuitton dan cincin permata merah Chopard.

Model Estee Lauder, Liz Hurley pula meninggalkan tradisinya mengenakan pakaian singkat serta ilham Versace.

Tahun ini, Liz, 43, memilih gaun seperti puteri ilham pereka Lubnan, Elie Saab.

Seperti Victoria, Madonna juga memilih Marc Jacobs menjadi pereka fesyen pakaiannya.

Walaupun berusia 50 tahun, Madonna kelihatan ranggi dengan but sehingga paha dan pakaian beropol, tetapi rambutnya yang kebiruan menampakkan sedikit janggal.

Pemerhati berkata, Madonna mungkin mendapat ilham daripada cerita rakyat, Puss In Boots.

Menganggap Madonna gemarkan perhatian memang bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Tambahan pula dia sedar terpaksa bersaing dengan ramai selebriti dunia kelas A di majlis itu, Madonna terpaksa memilih rekaan yang benar-benar unik berbanding orang lain.

Bagaimanapun, di sebalik cubaannya itu, Madonna kelihatan janggal.

Pemerhati berkata, ropol keterlaluan, but tinggi dan hiasan rambut Louis Vuitton menjadikan dia lebih membawa ‘bencana’ dalam bidang fesyen.

Kemunculan Madonna pada majlis itu juga menjadi perhatian kerana ia adalah kali pertama penyanyi Material Girl itu diiringi teman lelaki yang jauh lebih muda daripadanya, Jesis Luz, di majlis gilang-gemilang seumpama itu.

Menyedari menjadi fokus jurugambar, Madonna turut bermegah dengan otot kekar pada tubuhnya.

Secara mudah, kemunculan Madonna kali ini sangat mengecewakan berbanding ketrampilannya di majlis Oscar pada Februari lalu.

Jessica Biel pula menyemarakkan acara itu dengan diiringi teman lelakinya, Justin Timberlake, dan Ketua Pengarang American Vogue, Anna Wintour.

Timberlake adalah hos majlis berkenaan.

Melalui gaun stail Sepanyol ciptaan Versace Atelier di tubuh, Jessica bangga menayangkan kakinya yang seksi dan bentuk tubuh menggiurkan.

Bagaimanapun, pujian tertinggi diberikan kepada supermodel yang kini hamil, Heidi Klum, kerana berjaya tampil elegan dengan pakaian rekaan J Mendel.

Sumber berkata, pakaian biru gelap dan mewah itu memerlukan masa satu bulan untuk disiapkan.

Warna biru dilihat mendominasi malam itu.

Turut memilih gaun biru adalah Cindy Crawford, Donatella Versace, Katy Perry, Brooke Shields dan Blake Lively.

Blake, 21, mempamerkan bentuk tubuhnya cantiknya di sebalik gaun Versace bersama kasut tumit tinggi metalik.

Pelakon membawa watak Serena van der Woodsen dalam Gossip Girl itu mengaku, bukan mudah memakai kasut bertumit tinggi itu.

“Anda boleh bayangkan bagaimana gementarnya saya melangkah dan menaiki tangga dengannya,” katanya.

This entry was posted in Fesyen. Bookmark the permalink.

Leave a Reply