Aktor hebat filem Melayu

KEGEMILANGAN Nordin Ahmad sebagai aktor hebat filem Melayu tidak pernah menggugat kesetiaannya kepada Salmah Ibrahim. Malah, perkahwinan yang dibina bermula daripada hidupan susah hingga senang itu berkekalan hingga akhir hayat. Biarpun Nordin dikelilingi ramai seniwati terkenal dan peminat wanita yang cantik molek, namun sedikit pun tidak menerbitkan perasaan cemburu dalam diri Salmah. Hubungan mesra antara Nordin dan seniwati terkenal hanya terjalin di babak lokasi saja dan tidak pernah terbawa-bawa hingga ke luar penggambaran.

Ini juga diceritakan Datin Rosnani Jamil (Mak Nani) mengenai pengalamannya berlakon dengan Nordin sebagai kekasih dalam filem Sri Mersing pada siri akhir Cinta Lara Nordin & Salmah yang dilaporkan wartawan Rap, Sakini Mohd Said (sakini@hmetro.com.my).

BEGITU sukar untuk menyelami kisah percintaan antara hero filem Melayu tersohor, Allahyarham Nordin Ahmad bersama isteri yang disayanginya hingga ke akhir hayat, Salmah Ibrahim.

Itulah yang membuatkan ramai tertanya-tanya apakah yang ada pada Salmah hingga berjaya merantai hati Nordin. Tambahan pula, rakan taulan mereka juga tidak tahu realiti episod cinta pasangan ini.

Memandangkan Datin Rosnani Jamil (Mak Nani) dengan Salmah Ibrahim berasal dari kampung yang sama (Padang) cuma berlainan daerah saja, sudah tentu menyimpan seribu satu rahsia isteri kepada aktor hebat itu. Justeru, tidak mustahil Mak Nani mengetahui bagaimana cinta mereka berputik.

Namun begitu, agak mendukacitakan kerana Mak Nani juga tidak tahu babak percintaan mereka berdua berikutan ketika kemasukannya ke Malay Film Production (MFP) ketika itu sebagai pelakon, pasangan ini sudah lama berkahwin.

Hubungan yang sekadar berpaksikan rakan sekerja membataskan Mak Nani untuk mendalami kisah percintaan pasangan ini walaupun secara faktanya, dia dan Salmah berasal dari kampung yang sama.

“Kalau tidak silap saya, Nordin dan Salmah sudahpun berkahwin sekitar 50-an. Saya pula memulakan kerjaya sebagai pelakon di MFP pada 1952. Jadi, sudah terlambat untuk menyaksikan semua itu.

“Sebenarnya, tidak timbul persoalan kenapa Nordin memilih Salmah yang hanya penari dan pelakon biasa sebagai isteri berbanding dengannya, seorang aktor hebat filem Melayu. Ingin saya jelaskan di sini, mereka berkahwin sebelum Nordin mengecapi erti kegemilangan dalam karier seni lakonannya.

“Malalui pengetahuan saya, ketika itu Salmah dan Nordin bersama-sama memulakan karier sebagai penari dan watak pembantu saja di Shaw Brothers. Tetapi, apabila Nordin berlakon dalam filem Anakku Sazali dan Semerah Padi pada 1956, namanya melonjak naik dan ditawarkan bekerja di Studio Cathay Kris dengan tawaran menarik serta menjadi kesayangan Cathay.

“Pembabitannya di Cathay bukan saja membuka ruang yang lebih besar kepadanya, malah menjadikan Nordin antara aktor hebat filem Melayu. Salmah pula, selepas Nordin memulakan karier di Cathay, dia tidak lagi aktif berlakon kerana menumpukan sepenuh masa berniaga nasi padang di Tajong Katong di samping menjadi suri rumah sepenuh masa,” katanya.

Begitupun, Nordin dijulang namanya sebagai aktor hebat filem Melayu dan ramai peminat wanita yang cantik molek ingin mencuri hatinya, namun kesetiaan Nordin kepada Salmah tidak pernah rapuh, malah sayangnya pada isteri dibawa hingga ke mati.

“Saya kagum melihat karakter Nordin yang berusaha dengan baik mempertahankan mahligainya bersama Salmah. Sepanjang mengenali Nordin, hinggalah dia bertukar kerja ke Cathay, Nordin bukanlah seorang yang suka buang masa, wang ringgit serta berfoya-foya dengan perempuan lain.

“Biarpun dia memperoleh pendapatan lumayan di Cathay dan digilai ramai peminat wanita, Nordin tidak pernah mengambil kesempatan itu untuk mencurigai kasih Salmah.

“Malah, kalau difikirkan, Nordin boleh saja berbuat demikian dengan apa yang dia ada ketika itu. Rupa usah cakaplah, sememangnya digilai ramai wanita, duit dan populariti sentiasa berada di genggaman Nordin. Namun, Nordin tetap bersama Salmah.

“Dalam filem Sri Mersing tahun 1961 arahan Allahyarham Salleh Ghani, saya berdampingan dengan Nordin sebagai heroin dan terserlah keperibadian dirinya.

“Semasa waktu makan, saya lihat Nordin tidak bercampur dengan artis wanita, malah dia sibuk bersama dengan teman serta kru produksi bermain terup. Hinggakan, sampai satu saat, Nordin tidak kisah sama ada makan atau tidak semata-mata bermain terup.

“Langsung tidak pernah Nordin bertepuk tampar atau bergaul mesra dengan artis wanita sepanjang proses penggambaran. Hero filem Seri Mersing itu hanya berbual mesra dengan artis wanita dalam babak lakonan saja. Di luar, langsung tiada.

“Cuma, apa yang saya ingat ada satu ketika saya terbual dengan Nordin mengenai matahari. Dialognya begini…Abang, di sini matahari besarlah…dan Nordin menjawab…Ye lah, matahari di Singapura kecil.

“Bila diingat kembali, memang kelakar. Ye lah, tentu matahari di Mersing kelihatan lebih besar dari Singapura kerana berdekatan dengan Laut China Selatan. Penggambaran filem Sri Mersing dilakukan di luar Singapura iaitu di pantai Mersing, Johor kerana pengarah nak bersamaan judulnya.

“Itulah, kerana tidak terlalu rapat dengan Nordin hinggakan dialog mesra antara saya dengannya, masih diingat hingga hari ini. Dari situ, jelas menampakkan betapa luhur serta tulusnya Nordin menjaga kebahagiaan rumah tangganya,” beritahu Mak Nani.

Ketika era kegemilangan Nordin sebagai hero filem Melayu, dia banyak bergandingan dengan seniwati cantik dan terkenal seperti Maria Menando, Kasma Booty dan terutama Latifah Omar.

Malah, Nordin dan Latifah dikatakan ‘pasangan sesuai’ filem Melayu. Sudah tentu, keadaan ini sedikit sebanyak menguji kesabaran Salmah sebagai isteri kepada aktor terhebat itu.

Bagaimanapun, itu langsung tidak menimbulkan rasa cemburu dalam diri Salmah apabila melihat suaminya berlakon dengan seniwati berkenaan.

“Saya ingat lagi dialog antara Salmah dengan Latifah. …Hai madu, apa khabar hari ini?… Dek kerana Latifah seringkali digadingkan bersama dalam filem sebagai heroin aktor hebat filem Melayu itu, Salmah dengan selamba memanggilnya ‘madu’.

“Sejujurnya, saya tengok tidak pernah Salmah bersikap cemburu terhadap Latifah atau mana-mana seniwati, malah sempat bergurau mesra lagi. Saya percaya Salmah tidak kisah dengan siapa Nordin berlakon. Begitu teguhnya kepercayaan Salmah kepada suaminya itu walaupun dia tahu yang dirinya bukanlah secantik mana. Mungkin, kerana persefahaman jitu antara kedua-dua pasangan ini membawa kasih mereka hingga ke mati,” katanya.

Tambah Mak Nani, dia percaya Nordin begitu mempertahankan kasihnya terhadap Salmah mungkin disebabkan pengorbanan besar isterinya itu yang sanggup hidup susah senang bersama-samanya.

Apatah lagi, sepanjang mengenali Nordin, tidak pernah melihatnya memarahi Salmah ataupun bercakap ketidakpuasan hati mengenai rumah tangga mereka.

“Seperti saya maklumkan tadi, sebelum Nordin terkenal, mereka bersama-sama memulakan karier di Shaw Brothers dan ketika itu, watak yang dibawa adalah pembantu saja. Semua yang bekerja di situ, menerima gaji yang kecil termasuk Nordin dan Salmah.

“Disebabkan gaji yang tidak seberapa dan terpaksa membesarkan tiga anak angkatnya itu, Salmah tidak kisah berniaga untuk menjana pendapatan keluarga. Malah, tidak pernah sekalipun kedengaran Salmah kesal dengan kehidupannya atau letih kerana berniaga.

“Kerana kesusahan hidup, Salmah tidak malu berniaga goreng pisang dan emas untuk meringankan beban yang ditanggung suaminya. Hinggalah Nordin berjaya menjulang namanya, Salmah masih setia di sisi dan berniaga walaupun difikir pendapatan mereka ketika itu sudah lebih daripada cukup.

“Tambahan pula, Salmah seorang yang sangat berdikari dan tidak pernah mempamerkan sikap menunjuk-nunjuk atau gedik ketika berjalan dengan aktor hebat filem Melayu itu. Mungkin, ini adalah formula kesetiaan Nordin dan Salmah yang hanya bercerai mati saja memutuskan kasih mereka,” katanya.

This entry was posted in Artis. Bookmark the permalink.

One Response to Aktor hebat filem Melayu

  1. Pingback: Actors | Malay movie

Leave a Reply