MUNGKIN idea mengeluarkan album berkembar bukan satu perkara baru dalam pentas muzik tempatan. Namun terbabit secara keseluruhan dalam pembikinan album meliputi tugas penulis lirik, produser, komposer dan penyanyi yang sama, Hazami adalah orang pertama.
Justeru, tidak salah jika penyanyi berbakat besar ini bakal mencatat nama dalam Malaysia Book of Records kerana mempunyai kebolehan pelbagai yang diterjemahkan menerusi album berkembarnya.
Di negara luar, ia adalah fenomena biasa yang tidak perlu digembar-gemburkan, tetapi di negara kita, mempunyai seseorang yang berkebolehan menulis lirik, menyanyi, menggubah lagu dan produser adalah purata satu hingga sepuluh dalam sejuta.
Tetapi, itulah Hazami, 34, penyanyi anak kelahiran Ipoh, Perak yang mempunyai kehebatan vokal hebat dan mantap selain berkreativiti tinggi menerusi lagu ciptaannya.
Selepas hampir tiga tahun penyanyi lelaki ini menyepikan diri, bukan bermakna untuk menoktahkan perjuangannya sebagai insan seni.
Malah, diam Hazami terselindung kerja kerasnya untuk bangkit semula selepas kecewa dengan penjualan album ketiganya berjudul Nyata.
Akui Hazami, sambutan terhadap Nyata kurang memberangsangkan berbanding dua album sebelum ini dan reaksi itu hampir membuatkannya menitis air mata.
Bagaimanapun, penyanyi yang terkenal dengan lagu Mungkir Bahagia tidak mahu menyalahkan sesiapa termasuk syarikat rakaman Warner Music kerana menganggap apa yang berlaku sudah ditakdirkan.
Menyentuh sama ada tuan empunya badan pernah merasai keperitan untuk teruskan perjalanan kariernya, Hazami mengakui namun tetap akan berusaha mengukir nama dalam pentas muzik tempatan kerana yakin dengan bakat yang ada.
“Tipu sekiranya saya katakan yang saya tidak pernah serik dengan apa menimpa diri, namun saya menganggap ada hikmah sebalik yang berlaku dan semua pengalaman itu mengajar dan mematangkan saya sebagai seorang insan seni.
“Tambahan pula, saya tidak mahu meletakkan titik noktah kepada perjuangan sebelum ini kerana yakin seseorang penyanyi itu akan mengalami musim naik dan turun popularitinya.
“Namun, turunnya populariti seseorang penyanyi itu bukan didefinisikan sebagai tanda penamat kepada kariernya dalam pentas muzik tempatan.
“Saya melihat fenomena ini dengan berpaksikan kepada unsur positif. Sekiranya saya terus kecewa dan menyerapkan unsur negatif membiak aktif dalam minda, sudah tentu saya mengucapkan selamat tinggal kepada dunia nyanyian.
“Justeru, selama hampir tiga tahun menyepikan diri, saya mencurahkan seluruh keringat dan tenaga untuk menyiapkan album keempat dan kelima yang bakal dilancarkan serentak tidak lama lagi,” katanya.
Menariknya, Hazami bangkit mengubati kerinduan peminat dengan menampilkan kejutan istimewa kerana menghasilkan album secara berkembar dan uniknya, ia memuatkan sebuah album Inggeris dan sebuah album Melayu.
Jelas sekali pemilik nama penuh Nor Kamal Hazami Ahmad ini begitu komited untuk kembali mewarnai dunia muzik tempatan dengan menghasilkan album berkembar berkenaan.
Malah, buat pertama kalinya juga Hazami memperlihatkan produk terbarunya itu direalisasikan di bawah syarikat rakaman miliknya, Hazami Records Sdn Bhd yang didaftarkan Januari tahun ini selepas kontraknya bersama syarikat rakaman Warner Music tamat.
Penghasilan album berkembar yang menelan kos hampir RM90,000 dianggap tidak munasabah apatah lagi bakal dipasarkan dalam Oktober ini kerana kemelut ekonomi negara masih dalam keadaan yang tidak memberangsangkan.
Tambah menghairankan harga yang akan dipasarkan untuk album berkembarnya hanya RM21.90.
Sesuatu yang gila untuk dilakukan, tetapi itu strategi Hazami untuk menaikkan kembali namanya di mata peminat hiburan tempatan
“Saya tahu ramai akan berpendapat saya gila kerana hanya meletakkan harga RM21.90 untuk album berkembar yang merangkumi 18 lagu.
“Tetapi, itulah strategi untuk menarik peningkatan permintaan terhadap album ini di mana dengan harga RM21.90, peminat dapat menghayati pelbagai irama serta melodi lagu.
“Walaupun ekonomi tidak memberangsangkan, namun saya yakin dengan pakej yang saya tampilkan kali ini, mampu memberi pulangan baik dalam terus mewarnai karier sebagai penyanyi,” katanya.
Projek album yang bermula sejak tahun lalu itu diberi judul Running (album Inggeris) dan Yang Pertama (album Melayu), menyaksikan Hazami membabitkan diri secara penuh dari segi komposisi lagu, lirik, susunan muzik hinggalah ke pemilihan kulit album.
“Hampir setiap hari, saya tidak cukup tidur. Bangun saja, terus buat kerja untuk menyiapkan projek album berkembar ini.
“Justeru, bagi memastikan ia berkualiti, semua kerja untuk menghasilkan album ini dilakukan sendiri agar ia bertepatan dengan kehendak pendengar dan pencinta muzik.
“Sepanjang proses rakaman, saya memberikan sepenuh penghayatan ke atas semua lagu yang disampaikan agar mesej bermakna dapat dikongsi bersama peminat,” katanya.
Menyentuh bagaimana timbulnya hasrat untuk menerbitkan album Inggeris, beritahu Hazami, ia bermula apabila adanya permintaan dari kalangan peminat bukan Melayu.
“Ada peminat bukan Melayu menggemari vokal saya dan menyarankan idea penghasilan album Inggeris. Ketika itu, saya fikir kenapa tidak? Lagipun, ia adalah satu idea baik.
“Bagaimanapun, ingin saya tekankan, album Running masih lagi mengekalkan gaya nyanyian vokal Melayu. Saya mahu orang luar mendengar album ini, tahu bahawa saya adalah rakyat Malaysia,” katanya.
Album keempatnya, Running bakal memuatkan sembilan lagu bahasa Inggeris. Antaranya, My Wish, Don’t Leave, Survivor, I Need You, I Gotta Mend My Broken Heart. Manakala, album kelimanya, Yang Pertama bakal memuatkan sembilan lagu bahasa Melayu termasuk Kuat, Petanda, Yang Pertama dan Kenangan Cinta Bahagia.
Menurut Hazami, album berkembarnya itu hanya akan dijual di laman web rasminya, www.hazami.com.my. Peminat juga boleh memuat turun lagu terbaru Hazami menerusi web berkenaan.
Sementara itu, Hazami turut melahirkan kekesalannya kerana ramai berpendapat dia meminta bayaran tinggi untuk membuat persembahan.
“Selepas lagu Kata memberikan hasil yang cukup lumayan apabila saya berjaya memenangi kategori Vokal Terbaik dan juara kategori Pop Rock pada Anugerah Juara Lagu ke-20 pada tahun 2006, ramai menganggap bayaran saya tinggi. Itu semua tidak benar.
“Sejujurnya, saya tidak pernah menaikkan harga, malah kadar bayaran masih sama seperti sebelumnya. Saya hairan bagaimana isu ini timbul hingga akhirnya memberi kesan kepada pendapatan yang dicari.
“Saya jujur mencari rezeki dalam pentas muzik tempatan kerana inilah kelebihan yang saya ada untuk bertapak di bumi ini. Tetapi, saya sedih bila ada pihak tertentu cuba mengambil kesempatan.
“Apa yang saya tahu, promoter sendiri yang pandai meletakkan harga tinggi sebaliknya saya bukan jenis begitu,” katanya Hazami.
