ENAM personaliti pelapis yang menjadi kebanggaan stesen TV3 ini bukan saja berbakat besar malah mempunyai pakej lengkap untuk bergelar pengacara berkaliber pada masa depan sekali gus memantapkan lagi nama stesen ini dari semasa ke semasa.
Mereka ialah Nurul Shuhada Nurul Ain Mohd Zain (Nurul), Teh Syuhaidah Mat Sharip (Teh), Ahmad Fedtri Yahya (Ahmad Fedtri), Nazrah Noor Rahmat (Nazrah) Mior Abd Malik Raiyani (Mior) dan Akbar Sahari (Akbar).
Justeru, sempena sesi fotografi khas bersama enam personaliti pelapis ini khusus untuk meraikan ulang tahun ke-25 TV3, mereka juga sudi berkongsi visi dan misi dengan pembaca akhbar ini, sekali gus bercerita mengenai ikon mereka dalam bidang penyiaran.
Jika pengacara jelita Majalah 3, Nurul mengagumi Wan Zaleha Radzi yang juga ikonnya dalam program itu, Teh (pembaca berita Buletin Pagi/wartawan/pengacara 999), Ahmad Fedtri (MHI), Nazrah (Al-Hidayah), Mior (Buletin Pagi/Berita Terkini dan Buletin 1.30) dan Akbar Sahari (pengacara Scoreboard) juga mempunyai ikon masing-masing yang tidak kurang hebatnya.
Malah, sepanjang sesi fotografi yang diatur Rap di Studio Balai Berita, Kuala Lumpur, baru-baru ini, mereka cukup profesional dan memberikan kerjasama terbaik sekalipun baru kali pertama digandingkan dalam sesi fotografi berkenaan.
Nurul beri tempoh 5 tahun
Nurul Shuhada Nurul Ain Mohd Zain
(Pengacara Majalah 3)
SEJAK mengambil alih Majalah 3 dari Norzie Pa’ Wan Cik, Januari tahun lalu, Nurul mengakui dia semakin serasi mengacarakan program berbentuk semi dokumentari itu.
Nurul, 25, yang menjadikan Wan Zaleha Radzi sebagai ikonnya dalam bidang penyiaran berkata, sebagai generasi pelapis, masih banyak kelemahan yang perlu diperbaikinya ketika mengacarakan program berkenaan.
“Antara yang perlu diperbaiki ialah dari segi perkembangan cerita, garapan cerita yang lebih menarik untuk meraih perhatian penonton dan pada masa sama menghasilkan segmen yang boleh dihubungkan dengan kehidupan seharian,” katanya.
Nurul yang hangat bercinta dengan angkasawan kedua negara, Mejar Dr Faiz Khaleed, 28, berkata, dia mengagumi Wan Zaleha yang cukup sinonim dengan Majalah 3 sejak dia menjadi juri dan memilihnya sebagai pemenang dalam program Malaysian Top Host sebelum ini.
“Bagi saya Wan Zaleha mempunyai kredibiliti tersendiri dan setiap topik dipaparkan dalam programnya memang menepati cita rasa penonton.
“Sebagai pelapis, saya tampil dengan cara dan identiti sendiri dan tidak terikut-ikut dengan gayanya mengacara. Jika dia mengacara dengan bahasa baku, saya pula lebih suka tampil dengan gaya santai, tapi penuh informasi,” katanya. “Terus terang, perjalanan saya masih jauh untuk mencapai apa yang dikecapi hari ini. Apatah lagi, dia sudah lebih sedekad dalam bidang penyiaran.
Bagaimanapun, saya memberi tempoh lima tahun lagi untuk mengukuhkan nama sedia ada,” katanya.
Pada masa sama, kata Nurul, dia melihat persaingan dengan muka baru dalam bidang penyiaran sebagai satu perkara yang sihat dan positif.
“Berbanding dulu, stesen TV hanya mempunyai dua atau tiga saluran, tetapi sekarang sudah banyak.
Justeru, persaingan dalam bidang penyiaran itu perlu kerana kita juga memerlukan suntikan baru dalam bidang ini,” katanya.
Teh belajar daripada Zakiah
Teh Syuhaidah Mat Sharip
(Pembaca Buletin Pagi /wartawan dan pengacara program 999)
PERSONALITI TV3 bermata galak, Teh Syuhaidah Mat Sharip atau Teh menjadikan pengacara program 999 sejak 2003, Zakiah Anas sebagai ikon sejak dulu. Malah, Teh, 30, juga bertuah kerana mendapat kepercayaan penerbit untuk bergilir dengan Zakiah, 42, sebagai pengacara program 999 sejak Januari lalu.
Pemenang tempat kedua program Malaysia Top Host, empat tahun lalu ini ini mengagumi Zakiah kerana komitmen yang diberikannya kepada program bercorak jenayah yang menemui penonton TV3, setiap khamis itu.
“Selain menyukai caranya mengendalikan program 999, saya juga mengagumi Zakiah kerana komitmen diberikannya kepada program ini. Ada juga ilmu yang diperturunkannya kepada saya sekalipun dia tidak banyak masa untuk program ini.
“Zakiah juga banyak mengajar untuk mengawal ketakutan kerana saya memang takut apabila melihat darah terutama ketika membuat tugasan berkaitan kemalangan jalan raya. Hasil bimbingannya, saya sudah boleh mengatasi kelemahan itu,” katanya.
Anak keempat daripada lima beradik dari Seremban, Negeri Sembilan yang juga pembaca berita Buletin TV3 sejak Jun lalu berkata, dia juga tidak bimbang jika ada orang membandingkannya dengan Zakiah.
“Sebagai generasi pelapis, saya ada cara sendiri dan tidak terikut dengan cara orang lain. Setakat ini, belum ada orang membandingkan saya dengan Zakiah.
“Apapun, kini saya sudah boleh membahagikan masa dengan baik antara membaca berita dengan program 999 kerana saya membaca Buletin Pagi pada waktu pagi dan sebelah malam pula saya beri fokus untuk laporan program 999,” katanya.
Dari segi persaingan dengan bakat baru dalam bidang pengacaraan pula, Teh lebih suka berpijak di bumi nyata.
“Persaingan ada di mana saja dan membabitkan apa profesion sekali pun. Saya tidak takut dengan persaingan terutama dalam kalangan pengacara baru kerana apa yang penting bahan yang nak sampaikan dalam program itu bermutu dan memenuhi cita rasa penonton,” katanya.
Ahmad Fedtri rempuh cabaran
Ahmad Fedtri rempuh cabaran
Ahmad Fedtri Yahya
Penerbit/Pengacara MHI
PENERBIT dan pengacara program bual bicara popular Malaysia Hari ini (MHI), Ahmad Fedtri Yahya cukup mengagumi pengacara berkaliber Mahathir Lokman sekali gus menjadi ikonnya dalam bidang penyiaran.
“Saya mengagumi Mahathir kerana kebolehannya menguasai pelbagai bahasa asing seperti Inggeris, Mandarin dan Perancis. Saya percaya sukar untuk mencari personaliti berkebolehan sepertinya sekarang kerana rata-rata pengacara baru lebih ghairah mencipta nama dan glamor berbanding menimba ilmu dalam bidang ini.
“Sebab itu, apabila ditanya soal berkaitan isu semasa, rata-rata tidak tahu. Terus terang, mencari personaliti yang pandai bercakap memang mudah, tapi personaliti yang bijak pada waktu sama, itu yang sukar sekarang,” katanya.
Ahmad Fedtri, 28, dari Pantai Remis, Perak dan sudah bersama warga MHI sejak empat tahun lalu berkata, dia menyertai bidang itu kerana minat yang mendalam dalam bidang penyiaran.
“Saya masuk dalam bidang ini pada usia muda iaitu 24 tahun. Berbanding anak muda lain, saya masuk bidang ini bukan nak cari glamor sebaliknya kerana ingin menimba ilmu dalam bidang ini.
“Sebagai pengacara program bual bicara saya juga berhadapan dengan cabaran terutama berkaitan topik mencabar seperti ekonomi kerana tidak ada asas dalam bidang itu.
“Bagaimanapun, saya melihat cabaran itu dari sudut yang positif kerana kejayaan MHI bukan dari segi individu sebaliknya secara berpasukan,” katanya.
Nazrah berdakwah melalui Al-Hidayah
Nazrah Noor Rahmat
(Pengacara program Al-Hidayah)
NAZRAH Noor Rahmat, 25, menyertai TV3 selepas muncul sebagai pemenang Teman Muhasabah Al-Hidayah yang dianjurkan tahun lalu.
Begitu pantas masa berlalu, diam tidak diam kini genap satu tahun Nazrah, graduan jurusan Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengendalikan program yang pernah menampilkan Raja Mazian Raja Mohamed sebagai perantara.
“Cita-cita saya adalah untuk menjadi akauntan sebab itu melanjutkan pengajian dalam jurusan berkenaan. Namun, ibu orang yang beria-ia menyuruh saya mengikuti uji bakat Teman Muhasabah Al-Hidayah kerana ia bercorak keagamaan.
“Alhamdulillah, jalan saya dipermudahkan lalu muncul sebagai pemenang. Walaupun pada awalnya bimbang dan takut memikul tanggungjawab ini, saya reda kerana produser dan Kak Mazian sendiri meyakinkan saya untuk menggalas tugas ini.
“Sememangnya, Raja Mazian adalah ikon saya kerana dia paling banyak memberi tunjuk ajar selain Ahmad Nor Sulaiman,” katanya.
Nazrah berkata, sejak pembaharuan dilakukan awal Januari lalu, rating Al-Hidayah yang disiarkan setiap Jumaat jam 1.30 tengah hari mengalami peningkatan.
“Kalau dulu penonton hanya mendengar tazkirah atau doa dibacakan ustaz sekarang ini, melalui segmen doa Al-Hidayah menyelitkan visual supaya penonton lebih fahami sunnah Rasulullah,” katanya.
Menyimpan impian mengajak golongan remaja mendekati program keagamaan, Nazrah berharap suatu hari nanti diberi peluang mengendalikan program temu bual berunsur keagamaan.
“Bagaimanapun, ia dipersembahkan secara ringan supaya semua golongan sama ada yang menutup aurat atau tidak, berpengetahuan agama atau tidak dapat memperoleh kebaikan daripadanya,” katanya.
Mior lalui situasi cemas
Mior Abdul Malek Raiyani
(Pembaca Berita Buletin Pagi/Berita Terkini/Buletin 1.30)
BERKULIT sawo matang dan memiliki senyuman manis, kekerapan jejaka kecil molek ini muncul di Buletin Pagi, Berita Terkini dan Buletin 1.30, membuatkan wajah Mior Abdul Malek Raiyani, 26, semakin dikenali ramai.
“Minat menjadi pengacara atau pembaca berita sudah lama, sejak di Universiti Utara Malaysia (UUM) lagi. Malah pernah menjadi penyampai radio Uni Utama FM di kampus.
“Tamat pengajian, saya bertugas sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Dewan Perundangan Melayu, Pulau Pinang. Selepas itu, saya dimaklumkan seorang rakan, TV9 mengadakan uji bakat untuk mencari pengacara.
“Kerana minat yang mendalam saya menghadirinya dan tidak sangka diterima bekerja di stesen itu sebagai wartawan penyiaran pada 2007. Selain itu, saya diberi kepercayaan mengendalikan program Galaksi dan Filem di 9.
“Walaupun hanya enam bulan bersama TV9 kerana berhijrah ke TV3, dalam tempoh yang singkat itu saya banyak belajar selok-belok penyiaran, suntingan dan pelbagai lagi.
“Beberapa bulan bertugas sebagai penerbit bahagian Berita dan Ehwal Semasa di TV3, akhirnya Julai 2008 saya ditawarkan menjadi pembaca berita,” katanya.
Mengagumi Datuk Mahathir Lokman dan Azmi Aziz, Malek, Mior pernah berhadapan dengan situasi mencemaskan sewaktu pelantikan Menteri Besar Perak baru-baru ini.
“Saya sudah bersedia membawa berita yang lain, alih-alih produser menukarnya dengan berita pengumuman perlantikan Menteri Besar Perak pada saat akhir.
“Selain situasi sedemikian, masalah teknikal juga cabaran yang perlu dihadapi pembaca berita. Namun, kami perlu bertindak bijak supaya masalah yang berlaku di studio tidak dapat dikesan penonton,” katanya.
Akbar mahu sehebat mentor
Akbar Sahari
(Pengacara Scoreboard)
AKBAR Sahari, 34, pernah bekerja dengan TV3 pada 1995 dan berhenti tiga tahun kemudian untuk menimba pengalaman baru dengan menyertai sebuah produksi sehingga 2003.
“Di sana, saya bertugas sebagai penolong penerbit kepada Zainal Abidin Rauf, juga insan yang bertanggungjawab memperkenalkan saya kepada dunia pengacaraan.
“Pembabitan dalam bidang pengacaraan berlaku secara kebetulan tanpa dirancang atau atas dasar minat. Semuanya berlaku apabila penganjur Piala Malaysia 1999 mahu ketengahkan wajah pengulas sukan yang baru.
“Buntu mencari siapa yang sesuai dan memahami sukan bola sepak, abang Zainal menawarkan bantuan untuk melatih saya sebagai pengulas sukan. Mulanya, saya tidak mahu, tetapi akhirnya terpaksa mengalah kerana sukan sudah sebati dengan jiwa saya.
“Program pertama saya jayakan adalah siaran langsung perlawanan Piala Malaysia pada 1999 antara Kelantan dengan Selangor di Stadium Sultan Mohammad ke-4, Kota Bharu, Kelantan.
“Meskipun tiada sebarang pengalaman atau pendedahan, rata-rata memberikan komen positif terhadap cara saya melakukan ulasan yang dianggap baik untuk pendatang baru. Kemudian pada 2004 saya kembali menyertai TV3,” katanya.
Akhbar berkata, pencapaian peribadi paling membanggakan sepanjang hampir lima tahun mengendalikan Scoreboard yang bersiaran setiap Selasa, 12.30 tengah malam apabila permasalahan antara Persatuan Takraw Malaysia dan persatuan peringkat dunia dapat diselesaikan.
Pasukan Scoreboard berjaya menyatukan kembali dua persatuan itu selepas sekian lama berpecah. Selain, pelbagai lagi permasalahan dalam arena sukan tanah air yang berjaya diselesaikan.
“Boleh dikatakan Scoreboard kini menjadi medium rujukan pelbagai pihak termasuk media yang sering melakukan berita susulan daripada isu yang kami cetuskan.
“Tinggal lagi, impian kami untuk melihat sukan menjadi satu budaya di negara ini, sebagaimana saranan bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman. Apabila ia menjadi budaya barulah kita dapat lahirkan atlit yang hebat.
“Saya juga berharap supaya waktu siaran program Scoreboard ini dipercepatkan kerana saya berpendapat program sukan tidak sesuai ditayangkan pada waktu malam apatah lagi sasaran penontonnya adalah atlit dan pelajar.
“Seharusnya, kita memupuk atlit dan pelajar berdisiplin. Namun, orang akan mempersoalkan di mana letaknya tanggungjawab kami jika program ini sendiri bersiaran jam 12.30 tengah malam.
“Untuk diri sendiri pula, saya berharap dapat menjadi sehebat mentor saya Zainal Abidin Rauf kerana kehebatannya membuat ulasan untuk pelbagai jenis sukan,” katanya.
