“Saya tidak menyedari bagaimana kejadian itu berlaku kerana sedang tidur nyenyak dan tersentak apabila bas yang dinaiki sudah berada dalam parit.
“Sebaik tersedar, saya cuba diselamatkan rakan lain kerana tidak mampu bergerak akibat pening dengan tangan kanan terseliuh dan kedua-dua kaki kebas,” kata Muhammad Hasif Norhaizan, 9, seorang daripada 39 penumpang bas persiaran yang nyaris maut selepas terbabit kemalangan di Kilometer 316 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Tapah di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah hari itu, bas yang membawa rombongan pelajar berusia 12 dan 16 tahun bersama tujuh guru pengiring dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang ke Shah Alam, Selangor selepas menyertai kejohanan kriket Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Penang Free School, Pulau Pinang.
Katanya, dia tidak menyangka selepas pasukannya menjuarai kategori bawah 12 tahun, kejadian itu menimpa dirinya dan rakan sepasukannya.
“Kejayaan yang diperoleh seolah-olah tidak bermakna selepas terbabit kemalangan yang hampir meragut nyawa kami. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana semuanya selamat,” katanya ketika ditemui di Pusat Kecemerlangan Sukan Sekolah-Sekolah Daerah Batang Padang di sini.
Pengurus Kontinjen Kriket MSSM Selangor bawah 12 tahun, Mohd Hilmi Abu Hamad, 33, berkata dia mendengar satu letupan kuat sebanyak dua kali sebelum pemandu bas gagal mengawal kenderaan lalu terbabas, tergolek dan terhumban dalam parit di sebelah kiri lebuh raya itu.
“Ketika itu, saya berdoa kepada Tuhan semoga semua penumpang dalam bas ini selamat tanpa mengalami kemalangan jiwa,” katanya.
Beliau berkata, kejadian itu berpunca daripada tayar kiri hadapan bas yang tiba-tiba meletup.
“Kami cuba menyelamatkan diri dengan keluar daripada bas sebelum dibantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.
Bagaimanapun, dalam kemalangan itu seorang guru pengiring parah, manakala pelajar dan guru pengiring lain selamat dan dibawa ke Hospital Tapah untuk mendapatkan rawatan pesakit luar.
Seorang lagi pelajar yang terbabit kemalangan itu, Mohd Arif Sulaiman, 16, berkata ketika kejadian dia tidur dan hanya tersedar selepas terdengar bunyi kecoh dalam bas berkenaan.
“Kebanyakan penumpang yang duduk di bahagian kiri bas menyelamatkan diri dengan keluar melalui tingkap yang sudah pecah akibat hentakan kuat,” katanya.
Mohd Arif yang mewakili kontinjen kriket Selangor bawah 18 tahun itu luka di kedua-dua tangan manakala rakan di sebelahnya tidak cedera.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Roslan Bek Ahmad, berkata dalam kejadian itu, bas terbabit membawa 39 penumpang termasuk dua pemandu dan tujuh guru pengiring dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Shah Alam.
Dalam kejadian itu, seorang daripada guru pengiring parah manakala 17 pelajar yang cedera ringan berusia antara 12 dan 16 tahun itu dimasukkan ke Hospital Tapah manakala pelajar lain diberi rawatan pesakit luar di hospital sama.
Rombongan terbabit ditempatkan di Pusat Kecemerlangan Sukan Sekolah-Sekolah Daerah Batang Padang sebelum meneruskan perjalanan mereka dengan bas gantian.
