Cerita Cinta Rossa

SEBAGAIMANA nama mini konsertnya, Cerita Cinta Rossa, realitinya jelas ramai mahu tahu hakikat sebenar perjalanan cinta penghibur terkenal, Sri Rosa Roslaina Handiyani (Rossa), 30, bersama suami.

Bukan sekali dua, bahkan acap kali Rossa diterjah soalan perihal pergolakan rumah tangganya yang dikatakan sudah setahun tidak lagi tinggal sebumbung dengan suaminya pemuzik, Yoyo Presetyo. Rossa dan Yoyo bernikah pada 18 Mac 2004, dikurniakan seorang anak, Rizky Langit Ramadhan, 2.

Apa juga dijelaskan, termasuk kerisauan hatinya andai jodoh tidak panjang lalu memegang status baru,’janda muda,’ namun timbul persoalan seolah-olah kenyataannya selama ini lebih meraih simpati.

Setakat ini cuma komen di pihak Rossa saja, tetapi tidak reaksi Yoyo. Namun, ketika ditemui di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, Rossa menyangkal menagih simpati media, sebaliknya menjelaskan situasi dihadapi kini.

“Sudah menjadi kewajipan saya sebagai artis untuk menjelaskan apa terjadi dalam hubungan saya dan suami. Saya tidak jelaskan secara terperinci cuma saya rasa yang berpatutan saja,” katanya.

Sebagai wanita dan ibu, Rossa akur tanpa kecekalan serta berfikiran rasional tidak mudah untuk menghadapi situasi kini, justeru dia tidak mahu terlalu memikirkan apa difikirkan pihak lain terhadapnya.

“Kalau kita terlalu fikir apa difikirkan orang terhadap kita, umpamanya soal menagih simpati atau apa saja, boleh gila kita dibuatnya. Jauh di sudut hati, bohong kalau saya kata tidak takut untuk berstatus solo, namun jika suratan takdirnya begitu, saya harus menghadapinya juga,” katanya.

Untuk menyenangkan hati, selain sibuk dengan showbiz, Rossa melakukan solat istiqarah pada masa lapang. Malah beberapa bulan kebelakangan ini, penyanyi kelahiran Sumedang, Jawa Barat ini aktif mengikuti kegiatan kerohanian yang diadakan kumpulan dinamakan pengajian Orbit.

Difahamkan, kumpulan pengajian itu kerap bertemu, termasuk di kediaman ketua mereka, Muhammadiyah Prof Dr Din Syamsuddin, untuk mengadakan pengajian dan pengkajian ayat suci Al-Quran.

Dibanding penyanyi lain, Rossa boleh dikata mewah dengan lagu cinta yang menyentuh emosi. Bermula dengan Nada-Nada Cinta, membara dengan Perawan Cinta, Terlalu Cinta, Atas Nama Cinta dan Ayat-Ayat Cinta, fitrahnya kini penyanyi yang ramah ini seperti kehausan cinta sejati.

Menyelusuri satu persatu lagu dalam album terbarunya seperti Hati Yang Kau Sakiti, Kecewa, Sakit Hatiku tidak terkecuali lagu rancak Hey Ladies, ia persis ekspresi wanita yang patah hati.

Bagi Rossa, dirinya cukup serasi menyanyikan lagu cinta kerana secara peribadi dia mengakui mudah jatuh cinta dengan sesiapa saja terutama mereka yang berurusan dengan kerjaya nyanyiannya itu.

“Mereka yang dekat dengan saya memahami sifat saya yang dikata mudah jatuh cinta itu. Malah dengan rakan wartawan walau baru pertama kali bertemu, jika ada serasi, saya cepat mesra,” katanya.

Menyorot nostalgia cinta silamnya, Rossa berkata sebelum berkahwin dia pernah jatuh cinta dengan tiga lelaki. Sekalipun tiada jodoh, hubungan dia dengan bekas teman lelaki bahkan isteri masing-masing cukup akrab dan bagaikan keluarga sekiranya mereka memerlukan satu sama lain.

Lalu apabila diusik, seandainya jodohnya dengan Yoyo tidak berpanjangan, apakah ada kemungkinan kasihnya akan bertaut kembali pada salah seorang teman lelakinya dulu, Rossa ketawa lalu menangkisnya dalam bahasa Inggeris,” No way, I better find somebody else!”

>Profil

NAMA SEBENAR: Sri Rosa Roslaina Handiyani

TARIKH LAHIR: 9 Oktober 1978

ASAL: Sumedang, Jawa Barat

PENDIDIKAN: Sarjana Komunikasi, Universiti Indonesia

ANAK: Rizky Langit Ramadhan, 2 tahun 8 bulan

ALBUM: Nada-Nada Cinta (1996), Untukmu Sahabat (1988), Tegar (1999), Hati Yang Terpilih (2000), Kini (2002),

Kini Repackage (2003), Kembali (2004), The Best Of Rossa,Yang Terpilih (2006), OST. Ayat Ayat Cinta (2007), Rossa (2009).

PENCAPAIAN: Penyanyi Wanita Terbaik, Kategori Pop Progresif, Anugerah Muzik Indonesia (AMI) Sharp Awards pada (2001/2002), Penyanyi Wanita Terbaik MTV Indonesia (2000) dan Bintang Pilihan Peminat menerusi majalah Cek dan Ricek (2000).

DRAMA: Dua Sisi Mata Uang (1996) dan Perisai Kasih Yang Terkoyak (2002).

This entry was posted in Artis. Bookmark the permalink.

Leave a Reply