NDUSTRI penerbangan global kini berhadapan dengan pelbagai masalah untuk terus kekal relevan dan berdaya saing terutama bagi mengharungi tahun 2009 yang penuh dengan cabaran dan dugaan.
Minggu lalu, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) pada mesyuarat agung tahunan ke-65 di Kuala Lumpur telah menyemak semula unjuran prestasi kewangan industri penerbangan global yang dijangka mengalami kerugian sebanyak AS$9 bilion (RM31.5 bilion) berbanding ramalan awal pada Mac lalu sebanyak AS$4.7 bilion (RM16.45 bilion) ekoran penurunan perolehan.
Persatuan itu turut meramalkan kerugian sebanyak AS$10.4 bilion (RM36.4 bilion) pada 2008 berbanding jangkaan awal sebanyak AS$8.3 bilion (RM29.05 bilion).
Syarikat-syarikat penerbangan Asia Pasifik menerima tekanan hebat akibat krisis ekonomi yang menyaksikan trafik penumpang menyusut sebanyak 12.4 peratus berbanding kejatuhan keseluruhan industri penerbangan sebanyak 9.1 peratus.
Perolehan industri juga diramal merudum sebanyak AS$80 bilion (RM280 bilion) atau 15 peratus kepada AS$448 bilion (RM1.5 trilion).
Trafik penumpang pula akan menguncup sebanyak lapan peratus, permintaan kargo menurun sebanyak 17 peratus, hasil jatuh sebanyak tujuh peratus dan secara keseluruhan industri menyusut yang mengakibatkan pengurangan kapasiti sehingga enam peratus.
Ekoran itu sebanyak 50 syarikat penerbangan muflis sejak 18 bulan lalu.
Rantau Asia Pasifik diramal mengalami kerugian sehingga AS$3.3 bilion (RM11.55 bilion) sekiranya krisis semasa berterusan.
Hampir kesemua syarikat penerbangan di seluruh dunia kini menerima hakikat bahawa cabaran getir sedang menunggu mereka pada tahun ini.
Cabaran paling utama yang perlu diharungi oleh mana-mana syarikat penerbangan ialah ketidaktentuan harga bahan api yang menyaksikan sebahagian besar daripada kos operasi diperuntukan bagi pembeliannya.
Sebagai contoh, Malaysian Airlines System Bhd. (MAS) mengalami kerugian akibat tersalah menetapkan harga lindung nilai bagi kegunaan bahan apinya.
Berikutan itu, syarikat penerbangan kebangsaan itu merekodkan kerugian bersih RM695 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2009 berbanding keuntungan bersih sebanyak RM120.5 juta untuk tempoh yang sama tahun lalu.
Bagaimanapun, MAS tidak bersendirian dalam perkara ini kerana 40 syarikat penerbangan lain turut mengalami nasib yang sama dengannya.
Keadaan tersebut diburukkan lagi dengan kesan daripada krisis ekonomi global yang menyaksikan penurunan permintaan, khususnya untuk kelas pertama dan perniagaan yang menjana keuntungan lumayan kepada syarikat-syarikat penerbangan sebelum ini.
Tidak cukup dengan masalah sedia ada, penyebaran pendamik influenza A (H1N1) menyebabkan orang ramai mengambil keputusan membatal atau menangguhkan perjalanan mereka.
Sehubungan dengan itu, bagi memastikan industri penerbangan terus bertahan dalam jangka panjang, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyaran semua syarikat penerbangan terus bekerjasama dalam pelbagai bentuk.
Selain kerjasama antara pemain industri, kerajaan seluruh dunia perlu memberi komitmen dengan memperkenalkan polisi yang tepat berserta ketangkasan memberi respons terhadap sesuatu perkembangan.
Di sebalik semua cabaran dan bantuan yang diberikan bagi meringankan syarikat penerbangan, sudah tiba masanya industri itu mencari cara menyerap kejutan masa depan tanpa merasai impak yang serius. Pelbagai cabaran seperti insiden 11 September, sindrom pernafasan akut teruk dan kegawatan ekonomi yang pernah diharungi sebelum ini digunakan untuk menghadapi cabaran akan datang.
