Lagu Kumpulan INDIE
Read Here
ANTARA banyak kumpulan indie yang makin mencuri perhatian peminat muzik ketika ini, nama kumpulan Bau kurang dikenali ramai. Membawa nama yang unik, kumpulan ini sebenarnya sudah mencipta populariti sendiri apabila lagu mereka sering dijadikan lagu tema untuk drama TV.
Lagu seperti Warkah yang ditampilkan menerusi drama Sinderella dan dua lagu iaitu Anggun serta Demokratik Republik untuk drama Merah Puteh mengangkat nama kumpulan ini dalam kalangan peminat. Kumpulan ini yang mempunyai enam anggota iaitu Muhammad Iskandar Dahalan atau Iss selaku vokalis, Mohd Khairul Annuar Md Salleh (An, dram), Tengku Shafiz-Rullah Tengku Mohd Shahid (Ash, keyboard), Mohd Hizaruddin Mohd Rafee (Dino, gitar), Tengku Daud Shah Tengku Adnan (D, gitar) dan Nazrul Ahmad (Naz, bass), ditubuhkan pada 2002.
Kata An, nama kumpulan ini muncul menerusi perbincangan antara dia bersama Ash dan rakan mereka, Radhi OAG untuk mencari satu nama yang unik ketika di awal penubuhan kumpulan ini dulu. Biarpun kumpulan ini sudah tujuh tahun aktif dalam bidang muzik tempatan, mereka akui belum cukup popular.
“Walaupun kami kurang dikenali, kami melihat perkembangan kumpulan ini meningkat sejak awal hingga kini. Banyak perkara yang kami belajar termasuk pengalaman baru yang kami timba sepanjang mengadakan persembahan pentas.
“Apa yang dapat dilihat, persembahan kami menunjukkan peningkatan lebih baik dengan tahap keyakinan dan kematangan muzik yang disampaikan. Tidak dinafikan sukar kami teruskan perjuangan dalam bidang muzik memandangkan kurang dari aspek promosi dan terpaksa bergerak sendiri untuk segala aktiviti mahupun penerbitan album.
“Bagaimanapun, selepas kemasukan anggota baru iaitu Iss, D dan Naz sejak Mei tahun lalu menggantikan vokalis asal, Mohd Faizal Ali (Chot) dan Andee Azfar (bass), saya melihat kumpulan ini makin stabil dan membawa semangat baru.
“Jika diikutkan selepas Chot dan Andee keluar dari kumpulan ini atas komitmen lain, kami terpaksa berehat seketika selama dua bulan untuk mencari pengganti yang sesuai. Pada awal penyertaan tiga anggota baru ini, kami juga mengambil masa untuk menyesuaikan diri sesama anggota dan kini kami lebih yakin untuk mengadakan persembahan,” katanya.
Berbeza dengan kumpulan indie lain, anggota kumpulan ini hanya berkesempatan untuk meluangkan masa pada waktu malam dan hujung minggu untuk berlatih muzik. Bagi anggota kumpulan ini, mereka turut mempunyai komitmen lain sebagai sumber pendapatan tetap dan hanya bersama apabila mempunyai kelapangan.
“Kami bermain muzik kerana minat, tetapi kami tetap mempunyai komitmen terhadap kerja lain seperti biasa. Selalunya, kami mencari masa sesuai untuk berlatih dan paling kurang tiga jam seminggu. Setiap anggota mempunyai tanggungjawab dalam kumpulan dan kami berusaha memastikan masa untuk bersama kumpulan ada.
“Buat masa ini, kami selesa untuk bergerak bebas dengan label sendiri, Bau Music Group. Ada kelebihan dan kekurangan antara label indie dengan syarikat rakaman antarabangsa. Menerusi indie, kami bebas membuat pemilihan lagu mahupun konsep album yang ingin ditampilkan, tetapi masalah timbul dari aspek promosi dan bajet untuk penerbitan album baru seterusnya.
“Bagi syarikat rakaman antarabangsa, soal penerbitan album lebih sistematik, tetapi akan hilang fokus apabila terlalu ramai artis bernaung di bawahnya,” katanya.
Ash pula menyatakan promosi kumpulan ini menerusi drama TV memberikan kelebihan kepada mereka. Berdasarkan sambutan penonton pada drama tempatan yang meningkat, ia secara tidak langsung memberi peluang kepada mereka untuk mempromosikan lagu baru.
“Kelebihan lagu yang dimainkan menerusi drama TV menggambarkan lagu itu dapat dilihat secara visual. Walaupun visual itu bukan penyanyi sebenar, tetapi pelakon, penonton dapat penghayatan lagu itu pada ekspresi lakonan dan plot drama berkenaan.
“Pada masa kini, promosi TV memberi pengaruh besar berbanding radio. Malah, daripada TV promosi juga dapat disampaikan menerusi radio selepas itu. Bagaimanapun, saya berpandangan pemilihan lagu yang sesuai penting mengikut plot atau sesuatu adegan.
“Bagi kumpulan ini, kami memberi kebebasan kepada setiap anggota untuk menyumbang lagu ciptaan sendiri. Memang sukar mencari lagu yang boleh dijangka hits, tetapi tidak salah menggunakan kreativiti daripada individu berbeza untuk mencari kelainan pada lagu,” katanya.
Sebelum ini, lagu kumpulan ini juga pernah digunakan untuk lagu tema drama bersiri Gol & Gincu, Goda, Intan Sayang Manja dan terbaru, drama bersiri Ponti Anak Remaja. Kumpulan ini pernah menghasilkan album pertama, Wajah Kita pada 2004 diikuti mini album atau Extended Play (EP) pertama iaitu Bau, yang berada di pasaran tahun lalu. Album Wajah Kita terjual sebanyak 10,000 unit manakala EP pertama, Bau sekadar mencatat 3,000 unit. Untuk projek terbaru, kumpulan ini masih dalam proses pembikinan EP kedua yang akan dipasarkan pada awal bulan depan.
Dalam EP kedua ini memuatkan enam lagu termasuk tiga lagu yang sudah dirakam iaitu Manifesto, Demokratik Republik dan Anggun. Kata Ash, penerbitan album berkonsep EP memberi kelebihan dari aspek jumlah lagu yang sedikit, penjimatan kos pembikinan sehingga 50 peratus dan peminat berpeluang membeli album pada harga serendah RM15.
Dari aspek genre muzik, kumpulan ini masih selesa memperjuangkan muzik moden rock. Tidak terikat pada satu konsep rock semata-mata, mereka mahu mempelbagai muzik rock untuk ditampilkan menerusi lagu mereka. Hingga kini, mereka akui terima banyak peluang untuk mengadakan persembahan pentas.
Di samping kesibukan menghasilkan album baru dan memenuhi jemputan persembahan pentas, anggota kumpulan ini berhasrat untuk aktif dalam mempromosi Bau dalam kalangan peminat. Kata Dino, sambutan yang diterima daripada peminat hingga kini cukup memberangsangkan. Walaupun mereka lebih dikenali pada nama kumpulan berbanding wajah sendiri, itu tidak dijadikan halangan untuk mereka terus aktif bermain muzik dan menghiburkan peminat.
“Kami tetap gembira apabila mendapat komen positif daripada peminat yang menyaksikan persembahan kami sebelum ini. Apa yang jelas, sokongan peminat pada kami memberi makna yang besar untuk kami teruskan perjuangan dalam bidang ini.
“Bagi peminat yang ingin mendapatkan maklumat terkini dan mendengar lagu terbaru kami boleh melayari laman web di www.myspace.com/baufc. Kami berharap sokongan peminat berterusan dan dapat menghasilkan lagu yang lebih baik untuk kepuasan peminat dan kami sendiri,” katanya.
>Profil
NAMA: Muhammad Iskandar Dahalan
NAMA KOMERSIAL: Iss
TARIKH LAHIR: 27 November 1980
UMUR: 29 tahun
ASAL: Negeri Sembilan
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
KERJAYA: Ahli perniagaan dan vokalis
>Profil
NAMA: Mohd Khairul Annuar Md Salleh
NAMA KOMERSIAL: An
TARIKH LAHIR: 20 Mei 1983
UMUR: 26 tahun
ASAL: Johor Bahru
PENDIDIKAN: Diploma Multimedia, Universiti Putra Malaysia (UPM)
KERJAYA: Pereka grafik, Sledgehammer Communications Sdn Bhd dan pemain dram
>Profil
NAMA: Tengku Shafiz-Rullah Tengku Mohd Shahid
NAMA KOMERSIAL: Ash
TARIKH LAHIR: 4 Jun 1983
UMUR: 26 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
PENDIDIKAN: Diploma Kejuruteraan Bunyi, School Of Audio Engineering, Subang, Selangor
KERJAYA: Pegawai Eksekutif, Curio Communications Sdn Bhd, produser dan pemain keyboard
>Profil
NAMA: Mohd Hizaruddin Mohd Rafee
NAMA KOMERSIAL: Dino
TARIKH LAHIR: 2 Oktober 1981
UMUR: 28 tahun
ASAL: Selangor
PENDIDIKAN: Diploma Muzik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor
KERJAYA: VTR Operator, Asia Pacific Video Lab dan pemain gitar
>Profil
NAMA: Tengku Daud Shah Tengku Adnan
NAMA KOMERSIAL: D
TARIKH LAHIR: 26 Mei 1978
UMUR: 31 tahun
ASAL: Selangor
PENDIDIKAN: Diploma Teknologi Maklumat, Informatics
KERJAYA: Pengarah, Dancom Telecommunications, Pengarah Urusan Kemestika Sdn Bhd dan pemain gitar
>Profil
NAMA: Nazrul Ahmad
NAMA KOMERSIAL: Naz
TARIKH LAHIR: 13 Januari 1979
UMUR: 30 tahun
ASAL: Johor Bahru
PENDIDIKAN: Diploma Kejuruteraan Awam, UiTM
KERJAYA: Jurutera dan pemain gitar bass

Use the form below to search the site:
Suara vokalis baru x best la.Muka pn dh bjanggut.Tak padan dgn imej bau yg funky.iss nyanyi lagu jiwang sesuai la.Suara chot lg best.Cari je lah vokalis lain kalo chot taknak msuk bau balik..Harap korg msih di glass record sbb sound lagu2 korg dlm album ptama (wajah kita) mmg kualiti maksimum abis! Lagu pn sume best2!
semoga name kumpulan bau akn popular cam kumpulan indie yg dh sdia ada!!!!jgn pernah give up n truskn usaha korg…peminat stia korg trutama ash!!!!
sapa ada copy album wajah kita tlg email sy mcfly143@yahoo.com..nak cari kat kedai mmg dah takde stok..
ade perubahan ahli band rupenyer..patut la suara vocalist die lain..dulu BAU pernah perform lagu warkah kt UITM, tak sedap la vocal budak baru tu..suka yang version kat dlm cite sinderella..