Memelihara kucing sebagai hobi

ARTIS serba boleh, Raja Azura Tengku Ahmad Tajuddin, 37, tidak pernah terfikir langsung memelihara kucing sebagai hobi. 
Apatah lagi bimbang tidak mempunyai masa yang lapang untuk menguruskannya selain kerisauan penyakit yang dibawa haiwan berkenaan.

Begitupun selepas dilantik sebagai pengacara program realiti membabitkan kucing, Friskies…Meow Belai Si Comel yang ke udara di TV3, Raja Azura atau lebih mesra disapa Kak Engku turut menyahut cabaran membela kucing.

Menerusi program itu, setiap peserta terpilih diberikan seekor kucing oleh Friskies dan Persatuan Menolong Haiwan (SPCA).

Sebagai pengacara program pula, Kak Engku tentunya tidak mahu terlepas peluang merasai sendiri pengalaman bagaimana membela kucing.

Telahan Kak Engku ternyata meleset apabila kucing yang diberikannya kini menjadi kesayangan mereka sekeluarga.

“Kucing yang diberikan kepada saya oleh SPCA berusia sekitar tiga bulan. Sebelum ini memang saya rasa tidak sesuai untuk membeli bintang terutama kucing kerana bimbing bulu binatang itu akan menyebabkan penyakit seperti asma terutama kepada kanak-kanak.

“Begitupun, kucing yang diberi nama Cinta itu ditatang dengan manja oleh kami sekeluarga.

“Anak-anak juga cukup menyayangi kucing itu. Saya bertuah kerana suami (Adzmin Osman) mempunyai pengalaman membela kucing, jadi segala urusan berkaitan penjagaan bintang itu kebanyakannya dilakukan suami,” katanya.

Kucing juga memerlukan pemerhatian dan penjagaan khusus. Secara tidak langsung selepas memelihara kucing itu, banyak perkara yang diketahui membabitkan penjagaan kucing.
 
“Jika dulu saya hanya tahu menjaga kucing jalanan yang hanya diberikan makanan sisa ikan atau nasi. Menjaga kucing juga perlu mengeluarkan wang. Saya terpaksa membelanjakan kira-kira RM150 untuk pelbagai peralatan dan vitamin yang diperlukan kucing. Tujuannya adalah supaya kucing berkenaan sihat dan mempunyai bulu yang cantik.
 
 

“Saya juga mandikan kucing sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Kadangkala saya membawanya menjalani pemeriksaan kesihatan di Klinik Haiwan berhampiran.

“Sejak mempunyai kucing ini, baru saya tahu penjagaan kucing yang sebenarnya. Kucing itu bukan saja ditatang dengan kasih sayang, malah diajar untuk membuang najis di tempat dikhaskan.

“Tugas saya adalah memastikan kucing berkenaan mendapat makanan yang cukup. Selain memberikan makanan Friskies, saya menyediakan pasir khas untuk najis kucing,” kata Kak Engku yang juga penyampai radio di Sinar FM.

Menurut Kak Engku lagi, anak-anaknya, Megat Muhammad Raziq, 6; Megat Luqman Haqim, 5, dan Puteri Mia Maizura, 2, cukup menyayangi kucing mereka.

Sehingga sering meluangkan masa bersama binatang kesayangan mereka itu.

Secara tidak langsung, ia juga mengakrabkan hubungan sesama keluarga.

Malah, dia mengakui semakin ramai individu yang memilih untuk membela haiwan peliharaan kerana sifatnya yang manja dan menghiburkan khususnya kepada kanak-kanak. Memelihara haiwan seperti kucing mungkin nampak mudah, tetapi kerjanya renyah.

“Kita perlu memastikan persekitaran rumah sentiasa bersih dan tidak diserang penyakit yang boleh berjangkit kepada kanak-kanak di rumah,” katanya.

Program Friskies…Meow Belai Si Comel berkongsi pengalaman membelai kucing peliharaan di samping memberikan penonton maklumat dan tip penjagaan kucing yang lebih teratur dan tepat oleh pakar veterinar SPCA.

Berbeza dengan pertandingan kucing yang lain, program ini memerlukan sepenuh komitmen peserta yang sanggup memelihara dan menjaga anak kucing terbiar yang diambil dari SPCA seawal bulan pertama kelahiran kucing itu.

Kemuncak pertandingan menyaksikan kemenangan kepada, Izawati Muhammad yang memenangi hadiah wang tunai RM10,000 diikuti kedua, Syazwan Khairuddin menerima RM5,000 manakala Sharifah Zuria Syed Abu Bakar Sidik (tempat ketiga) menerima RM3,000. Semua pemenang turut menerima belaian makanan daripada Friskies selama setahun.

Tiga lagi peserta yang berjaya mara ke peringkat akhir iaitu Zuraidah Darus, Suriana Soria serta Mohd Kamell Bashah Ibrahim turut menerima hadiah sagu hati wang tunai berjumlah RM1,000.

This entry was posted in Artis. Bookmark the permalink.

Leave a Reply