KRU Studios satukan barisan pelakon pelbagai negara, 70 peratus dialog dalam bahasa Inggeris
PENERBITAN filem epik aksi, Merong Mahawangsa membawa misi besar KRU Studios untuk menerjah pasaran antarabangsa, sekali gus memberi kelainan dengan mempertingkatkan mutu industri perfileman tempatan di mata dunia.
Pengarah Urusan KRU Studios, Norman Abdul Halim berkata, kesungguhan untuk membawa Merong Mahawangsa ke mata dunia dibuktikan apabila ia menyatukan barisan pelakon pelbagai negara iaitu United Kingdom, Australia, Sweden serta Hong Kong.
Merong Mahawangsa juga katanya, mengangkat bahasa Inggeris sebagai bahasa utama apabila 70 peratus daripada dialog diungkapkan menggunakan bahasa itu manakala selebihnya bahasa Melayu klasik.
Norman percaya, kolaborasi dengan pelakon berbilang bangsa selain pembabitan aktor aksi Hong Kong yang pernah terbabit dalam filem lakonan Jackie Chan serta produk Hollywood seperti Hellboy 2 mampu menjulang nama Malaysia sebagai negara pengeluar filem.
Ditemui pada majlis kesyukuran ulang tahun ke-17 KRU Studios dan majlis doa selamat bagi penggambaran filem Merong Mahawangsa di Masjid Wilayah Persekutuan, Norman yakin segala usaha mereka bukan angan kosong berdasarkan maklum balas yang diterima.
“Bermula November lalu di America Film Market, menyusul di Berlin, Hong Kong dan Cannes, kebanyakan pengedar filem dunia memberi reaksi positif malah menaruh minat untuk mengedarkan filem ini.
“Dengan kepakaran serta kebolehan yang ada, secara tidak langsung ia mempertingkatkan kualiti pembikinan filem kita seterusnya menyalur mesej penting menerusi filem ini. Jujurnya saya akui pembikinan Merong Mahawangsa melalui detik sukar kerana memerlukan pembinaan set dan props berbeza.
“Bagaimanapun, saya sangat berharap segala dugaan serta ujian dapat diatasi dan usaha kami mendapat keberkatan dan petunjuk kerana apa yang dilakukan ini adalah untuk menaikkan nama negara,” katanya.
Memulakan penggambaran di Kuala Lumpur pada 9 Jun lalu selama tiga hari sebelum beralih ke Terengganu dan Kuantan, Pahang, Norman berkata, penerbitan filem epik aksi ini akan mempertingkatkan prestasi KRU sebagai sebuah studio dan pengeluar filem.”
Hasrat itu katanya, bertepatan dengan misi mereka untuk memperbanyakkan lagi penerbitan filem yang menjangkau selera khalayak apabila studio baru yang beroperasi di Cyberjaya, siap kelak.
“Kebanyakan filem epik Barat cuma berkisar mengenai budaya mereka, tetapi Merong Mahawangsa membawa khalayak untuk meneroka kepelbagaian budaya sekali gus menjadi platform untuk memperkenalkan negara.
“KRU agak bertuah kerana penerbitan filem ini mendapat sokongan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi terutama dari segi bantuan kewangan,” katanya.
Menelan belanja RM8 juta, filem arahan Yusry Abdul Halim itu menampilkan pelakon seperti Stephen Rahman-Hughes, Jing Lu, Gavin Stenhouse, Henrik Norman, Wan Hanafi Su, Khir Rahman, Datuk Rahim Razali, Ummi Nazeera, Nell Ng, Craig Fong, Keith Chong dan Jehan Miskin.
Turut beraksi Cat Farish, Deborah Henry, Ravi Sunderlingam, Kuswadinata, Mano Maniam, Cico, Vanidah Imran dan pemenang Drama Pendek Era, Faiz Aizuddin Azmi.
“Stephen Rahman dipilih kerana kemampuannya dalam berbahasa bahasa Melayu dan Inggeris kerana tuntutan watak Merong memerlukannya berkomunikasi dalam dua bahasa itu. Kami menggunakan lesen kreatif untuk menterjemahkan watak Merong iaitu sebagai anak kacukan Melayu-Inggeris.
“Penggunaan 70 peratus bahasa Inggeris serta aksi lagak daripada pelakon berpengalaman juga meyakinkan kami Merong Mahawangsa mampu menarik penonton bukan Melayu ke pawagam, sekali gus meningkatkan jumlah penonton filem tempatan,” kata Norman.
Harapan Norman, Merong Mahawangsa bakal melakar kejayaan seperti yang dikecapi filem Thailand antaranya Ong Bak dan Tom Yam Goong yang menembusi pasaran antarabangsa.
“Memang kami menghasilkan Merong Mahawangsa untuk pasaran antarabangsa dan berdasarkan perbincangan, Insya-Allah ia memberikan reaksi yang positif.
“Sama ada ia akan ditayangkan di pawagam atau diterbitkan dalam bentuk video, semua itu masih belum dikenal pasti. Cuma kami berusaha sedikit demi sedikit sebelum menerbitkan filem antarabangsa apabila studio di Cyberjaya siap sepenuhnya,” katanya.
Menuju ke puncak kerjaya
MELEWATI 17 tahun dalam bidang seni, Norman bersyukur KRU masih bertahan malah mengecapi pelbagai kejayaan biarpun dalam perjalanan itu mereka banyak menempuhi pelbagai halangan dan dugaan.
Penerbitan Merong Mahawangsa, kata Norman, menjadi kemuncak kepada karier mereka namun itu semua tidak membuatkan mereka pantas berpuas hati.
Sebaliknya ulas Norman, pencapaian itu menjadi titik permulaan untuk mereka terus berusaha dan menghasilkan pelbagai filem besar yang mampu menjulang nama Malaysia.
Akui Norman, menerbitkan Merong Mahawangsa memberikan cabaran baru kerana selain membabitkan kos yang besar mereka juga terpaksa berdepan dengan cara kerja pelakon asing.
“Sekurang-kurangnya ia memberi kami pendedahan bagaimana untuk berurusan dengan mereka, malah membuka mata kami kepada pelbagai perkara baru terutama untuk meyakinkan pelakon ini datang ke sini.
“Dua pelakon dari Sweden iaitu Gavin Stenhouse dan Henrik Norman ditemui ketika kami mengadakan uji bakat untuk sebuah filem Inggeris di Stockholm, tidak lama dulu.
“Kebanyakan pelakon yang beraksi dalam filem ini lebih terarah kepada dunia teater. Mereka diambil kerana KRU mahu memberikan mutu lakonan yang berbeza kerana Merong Mahawangsa cuba menjual konsep filem dan bukan nama pelakonnya,” kata Norman.
Tuntutan besar
STEPHEN yang pernah beraksi dalam pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical serta filem Los Dan Faun mengakui, tuntutan untuk Merong Mahawangsa sangat besar membuatkan dia melakukan banyak persediaan sebelum ke lokasi penggambaran.
Berada di negara ini sejak dua bulan lalu, Stephen sempat ke Thailand untuk merehatkan minda dan melakukan pelbagai aktiviti sebelum menjalani latihan untuk menjayakan watak Merong.
“Saya berasa amat terharu dengan tawaran yang diberikan, membuatkan saya bekerja keras dengan pasukan aksi lasak kerana tuntutan untuk watak ini agak besar.
“Apatah lagi filem ini berkaitan dengan mitos dan sejarah Malaysia, justeru menjadi tanggungjawab kami untuk memberikan yang terbaik,” katanya.
Mengakui agak sukar untuk membayangkan karektor Merong namun katanya, dia cuba memberikan interpretasinya berdasarkan nilai yang diperoleh menerusi pembacaan.
