UTUSAN: LAMA benar Papa tidak bersua muka dengan kawan baik Papa, siapa lagi kalau bukan Norman KRU.
Selalunya Papa tengok wajah Norman dalam surat khabar saja atau sesekali dalam TV.
Walaupun lama tak jumpa dan berbual dengannya, Papa mendapat khabar terbaru yang membuatkan Papa sangat teruja.
Mahu tak terujanya, khabarnya Abang Long kita sudah memandu kereta mewah Ferrari berwarna merah.
Ferrari! Mak datuk, terbeliak biji mata Papa bila mendengar cerita yang disampaikan oleh seorang rakan Papa yang terserempak dengan Norman sedang membuat urusan pembelian kereta itu.
Papa tak pastilah reaksi orang lain, tapi bagi orang yang tak mewah macam Papa ini, bila dengar artis popular macam Norman beli kereta Ferrari, sudah tentu bangga dan gembira.
Bangga sebab kerja keras Norman dalam bidang seni dibayar dengan rezeki murah yang Tuhan berikan kepada dia dan adik-beradiknya yang lain.
Gembira pula sebab Papa percaya sudah tentu itulah kepuasan yang Norman peroleh dalam hidupnya iaitu memandu kereta berharga lebih RM1 juta.
Cuma yang terus menjadi tanda tanya pada diri Papa ialah, bila pula Norman akan membawa pasangan hidup yang boleh menemaninya memandu kenderaan dengan nombor pendaftaran satu angka itu?
Bercakap pasal Norman, Papa teringat juga pada adiknya, Yusry yang baru saja menyambut ulang tahun kelahiran ke-36 pada Isnin lepas.
Selamat hari lahir Yusry. Semoga panjang umur dan dimurahkan rezeki serta ditemukan jodoh serentak dengan Abang Long ya!
