Peraduan Mudah Menang

Hanya dengan satu penyertaan, seorang ibu tunggal berusia 41 tahun berjaya memenangi hadiah utama, sebuah Perodua ViVA, dalam Peraduan Mudah Menang Harian Metro/Perodua Siri 1.

Lebih menarik, pemenang berkenaan, Munisah Mahnoon mencipta slogan ‘Harian Metro memang padat, hebat, hangat, penuh maklumat’ yang membawa kemenangan itu beberapa jam sebelum mengeposnya.

Dia yang hadir bersama anak bongsunya, Nurul Natasha Nasharuddin, 8, pada majlis penyampaian hadiah peraduan berkenaan di Balai Berita di sini, semalam, berkata hadiah itu akan digunakan walaupun sudah memiliki kereta lain kerana nilai sentimental sebagai pembaca akhbar ini.

“Saya tidak sangka akan memenangi apa-apa hadiah, tambahan pula ini penyertaan pertama saya dalam sebarang peraduan.
 

“Itupun Nurul Natasha yang mendesak saya menghantar borang peraduan itu. Saya anggap kereta dan wang RM1,000 yang dimenangi sebagai rezeki anak-anak kurniaan Ilahi,” katanya.
 

Munisah yang menjadi stokis produk pengguna jenama Cosway di Telok Panglima Garang, dekat Klang, Selangor, berkata demikian ketika ditemui selepas menerima hadiah itu.

Hadiah disampaikan Pengarah Urusan Perodua Sdn Bhd, Datuk Syed Hafiz Syed Abu Bakar yang diiringi Pengarang Eksekutif Harian Metro/Metro Ahad, Abdul Ghafar Ismail.

Turut hadir, Timbalan Pengarang Eksekutif Harian Metro/Metro Ahad, Ahmad Salim Bachok dan Pengarang Bersekutu Metro Ahad, Johari Mohd.

Sejurus majlis berakhir Munisah terus memandu ViVA dimenanginya pulang ke Klang.

Terdahulu, Syed Hafiz dalam ucapannya berkata, gandingan hebat antara pengeluar kereta nasional terlaris di Malaysia dengan akhbar nombor satu negara akan membawa manfaat dan keuntungan kepada kedua-belah pihak.

“Syarikat berasa bangga menjalinkan kerjasama dengan Harian Metro. Perodua juga menganggap peraduan ini sebagai satu penghargaan kepada peminat yang setia menyokong kenderaan keluaran kami,” katanya.

Sebelum itu, Abdul Ghafar menyatakan akhbar Harian Metro akan menyajikan lebih banyak peraduan pada masa depan di samping sajian berita dan artikel menarik khusus untuk pembacanya.

This entry was posted in Malaysia. Bookmark the permalink.

Leave a Reply