USIANYA baru 22 tahun, namun dia bijak memikirkan masa depan. Bayangkan pada usia muda, gadis manis berkulit putih ini sudah mampu membina empayar sendiri. Siapa sangka, Syazliana Abd Karim kini sibuk mengemudi perniagaan.
Ditubuhkan lebih setahun lalu, Seinna Studio Sdn Bhd amat bermakna buat Syazliana atau mesra dengan panggilan Syaz. Baginya, perniagaan dikendalikan itu sangat penting untuk dirinya kerana dia tidak akan aktif sebagai penyanyi hingga ke usia tua.
Kata anak ketiga dalam keluarga ini, demi ‘pelampung’ masa depannya, dia wajar memikirkan sesuatu. Malah, akuinya dia puas dengan apa dilakukan sekarang walaupun tanggungjawab digalas amat besar. Apa yang pasti, dia berjaya membina karier.
“Saya kini memang sibuk dengan mesyuarat dan bertemu pelanggan untuk memantapkan perniagaan pengiklanan ini. Tipu kalau saya kata tidak sedikit pun penat. Sebenarnya hendak atau tidak, saya kena buat kerana ini pilihan sendiri.
“Secara tidak langsung, saya menjadi ‘gadis biasa’ yang tiada peminat dan sekadar ahli perniagaan wanita. Saya perlu meletakkan diri seperti itu kerana karier perniagaan tidak sama dengan bergelar anak seni. Justeru, istilah ‘glamor’ sudah tiada.
“Bagaimanapun, dalam mengendalikan perniagaan ini ada juga perkara tidak dapat dielak. Umpamanya, pelanggan kata hendak jumpa untuk berbincang, tetapi apabila berjumpa lain pula cerita. Rupa-rupanya, sekadar hendak berkenalan lebih rapat,” katanya.
Syaz berkata, biasanya dia akan menolak secara baik. Bahkan, walaupun berasa rimas dengan situasi itu, tetapi baginya bukan mudah untuk berjaya. Perkara dialaminya itu adalah cabaran kepada diri demi membina empayar perniagaan sendiri.
Ditanya apakah dia sebenarnya sudah ‘merajuk’ dengan industri hiburan tanah air, kata pemegang Diploma Seni Bina Hiasan Dalaman di One Academy, College Sunway itu, minatnya terhadap muzik tidak pernah pudar. Jelasnya, hingga kini dia masih menyanyi.
“Cuma, tawaran diterima tidak banyak. Oleh itu, ia memudahkan saya untuk membahagikan masa antara mengurus perniagaan dan menyanyi. Lagipun, selagi berasakan diri ini masih diperlukan dalam industri seni, saya pasti takkan berundur diri.
“Walaupun tidak akan menyanyi sampai tua, saya tahu masih banyak perlu diterokai dalam bidang muzik. Oleh itu, sekarang saya mengikuti kelas piano untuk memantapkan pengetahuan. Malah, saya juga ada ‘cuba-cuba’ buat lagu sendiri,” katanya.
Menyentuh soal genre muzik yang disukainya, gadis yang dilahirkan di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Selangor ini tanpa berselindung berkata dia belum berpeluang menghasilkan album pop balada yang betul-betul memberi kepuasan kepadanya.
“Kalau ikutkan, pop balada memang genre muzik yang sesuai dengan vokal saya. Malah, menerusi album keempat saya yang diedarkan beberapa bulan lalu pun sudah menjurus ke arah itu. Tetapi, masih belum 100 peratus pada genre berkenaan.
“Namun, saya sangat gembira dapat bekerjasama dengan beberapa komposer hebat tanah air untuk menghasilkan album berjudul Syaz ini. Antaranya, Adnan Abu Hassan, Iman Wan, Hazami, Yasin dan Neves Pretty Ugly. Album ini memuatkan 10 lagu,” katanya.
Menyorot kehidupan peribadi, terutama apa dilakukan pada masa terluang, Syaz berkata dia lebih senang menghabiskan masa bersama keluarga. Akuinya, hujung minggu memang menjadi ‘rutin wajib’ baginya bersantai bersama famili.
Ditanya mengapa dia begitu beria-iaa mengumpul duit pada usia muda, Syaz berkata dia tidak mahu menghabiskan masanya dengan hanya bersuka ria. Katanya, bukan apa, takut apabila asyik bergembira, usia meningkat pun tidak sedar.
“Tiba-tiba saja sudah mencecah 28 tahun. Takkan waktu itu baru hendak terkial-kial merancang karier apa mahu diceburi. Rasanya memang terlambat. Jadi, sekarang adalah masa yang tepat untuk saya memikirkan masa depan dengan sibuk berniaga.
“Sasaran saya dalam masa dua tahun, perniagaan sudah kukuh. Itulah yang seelok-eloknya sebelum saya mempunyai keluarga sendiri. Justeru, segalanya perlu saya mulakan dari sekarang. Apabila sudah berkeluarga nanti, tidaklah begitu sibuk.
“Semua urusan pejabat boleh diuruskan dari rumah saja dan tidak perlulah saya ke pejabat selalu. Oleh itu, memang saya tidak menyesal terpaksa berusaha gigih dari sekarang atau ‘mengorbankan’ masa muda untuk menguruskan perniagaan semata-mata,” katanya.
Kata gadis berjiwa kental ini lagi, selain menjadi Pengarah Urusan di Seinna Studio Sdn Bhd, dia turut memegang jawatan sama di Seinna Entertainment Sdn Bhd miliknya. Jadi, sebagai tulang belakang dua syarikat sekali gus sudah pasti tanggungjawabnya berat.
>Profil
NAMA: Syazliana Abd Karim
PANGGILAN: Syaz
UMUR: 22 tahun
TARIKH LAHIR: 25 Julai 1986
TEMPAT LAHIR: Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Selangor.
STATUS: Bujang
KELUARGA: Anak ketiga daripada lima beradik
PENDIDIKAN: Diploma Seni Bina Hiasan Dalaman di One Academy, College Sunway., Selangor
SENARAI ALBUM: Singgahsana (2001), Demi Cinta (2003), Sinar Baru (2005)dan Syaz (2008)
PENCAPAIAN: Peringkat Separuh akhir, Anugerah Juara Lagu Ke-18 (AJL18) dalam Kategori Etnik Kreatif & Irama Malaysia (2003) dan finalis AJL17 dalam kategori sama pada 2002.
