Suasana di Taman Nyalas, Jasin, Melaka begitu ceria dengan kehadiran 1,000 peminat
SERING kedengaran kebanyakan penyanyi mengungkapkan kata-kata, “Tanpa peminat, siapalah saya…” Kata-kata begitu menggambarkan seolah-olah peminatlah yang bertanggungjawab menentukan turun naik ‘saham’ mereka di persada seni tanah air.
Hal ini memang ada kebenarannya kerana peminat kini diakui menjadi faktor penentu kepada kejayaan seseorang penyanyi sama ada menerusi pembelian album mahupun menerusi undian bagi yang menyertai program realiti di televisyen.
Jika ada artis baru yang kurang bijak dan enggan berkorban masa dan tenaga melayan kerenah peminat, maka tunggulah saat dan ketika takhtanya diturunkan oleh peminat.
Lalu, situasi itu pantas dimanfaatkan oleh pasangan penyanyi adik-beradik popular yang meningkat naik, Kharil Izwan Pilus (Izwan), 30, dan Khairil Azam Pilus (Aril), 24 yang menduduki tangga kedua Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7).
Menyedari hakikat peminat adalah tulang belakang kepada kerjaya seni mereka, Izwan yang lahir menerusi Bintang RTM pada 2004 manakala adiknya menerusi AF7, baru-baru ini, mengambil peluang meraikan lebih 1,000 peminatnya sempena musim cuti persekolahan pada majlis kesyukuran dan jamuan rumah terbuka di kediaman baru ibu bapanya, 8 Jun lalu.
IZWAN dan Aril bergambar bersama keluarga.
Program dinamakan Sesi Bertemu Peminat Bersama Izwan Pilus dan Aril AF7 di Taman Nyalas Permai, Nyalas, di Jasin, kira-kira 70 kilometer dari Bandar Melaka yang bermula kira-kira jam 3 petang itu, diserbu pelbagai lapisan peminatnya dari seluruh negara semata-mata mahu bertentang mata dengan kedua-dua bintang yang popular dengan lagu Kembali Senyum dan Toksik itu.
Wajah peminat yang hadir jelas terpancar kepuasan dengan layanan mesra ibu bapa penyanyi itu iaitu pasangan suami isteri bernama Pilus Mohd Jani dan Normah Abdullah yang bukan setakat dijamu dengan pelbagai makanan lazat dan kuih muih Orang Jasin tetapi turut dihiburkan dengan beberapa lagu dan berpeluang berduet bersama penyanyi pujaan masing-masing.
Aril yang ditemui mengakui pada usia yang muda dan masih setahun jagung dalam bidang seni, sokongan peminat amat penting bagi memastikan bintangnya dan kerjaya terus gemilang dan kedudukannya di persada seni hiburan terus mekar.
“Ini kali pertama saya menganjurkan rumah terbuka bersama peminat. Perasaan terharu di dalam hati tidak dapat digambarkan kerana rata-rata peminat yang datang ke sini bukannya penduduk tempatan, tetapi mereka dari Johor, Pahang, Kuala Lumpur dan Kedah.
Aril (kiri) dan Izwan Pilus.
“Menariknya rumah terbuka ini ialah kami menyediakan masakan kampung bagi menghargai keluarga, peminat dan penduduk kampung yang banyak memberi sokongan kepada saya selama ini.
“Jadi, inilah masa terbaik saya dan abang beramah mesra dengan mereka dan saya cukup seronok apabila ramai yang hadir untuk bersama-sama menjayakan program ini,” katanya yang turut gembira dengan hadiah patung beruang yang diberikan seorang peminat cilik pada majlis itu.
Bercakap mengenai perkembangan terbarunya, Aril berkata, dia kini masih menunggu keputusan seterusnya oleh Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB) berhubung tawaran membintangi sebuah projek drama muzikal yang diterbitkan secara usaha sama oleh produksi Malaysia dan Indonesia.
“Rezeki Aril semakin mencurah apabila dibawa ‘terbang’ ke Jakarta bersama Afiq Hakim Ahmad (Akim) untuk berbincang mengenai penggambaran awal sebuah drama muzikal usaha sama Astro dan sebuah produksi di Indonesia.
“Drama ini turut dibintangi empat pelakon dari Indonesia dan proses penggambarannya akan dibuat di negara ini. Ia akan ditayangkan di Malaysia dengan menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya. Buat masa ini pihak atasan (AESB) masih lagi menilai mengenai persetujuan terhadap projek usaha sama itu,” katanya yang mahu terus menjadi ikon versatil seperti apa yang AF7 mahukan.
Sementara itu, Izwan berkata, beliau bakal muncul dengan single terbaru berentak retro fusion berjudul Bukan Percuma.
“Lagu ciptaan Tony Spider dan lirik nukilan M Nasir ini akan menerjah ruang seni sekitar bulan ini. Pada masa yang sama, saya juga sedang merangka pembikinan album kedua di bawah Metro Muzik,” katanya.
