Diari hidup

DIPALIT satu demi satu kontroversi hingga sampai ke tahap terpaksa turun naik mahkamah selama lima tahun adalah sebahagian diari hidup pemilik nama Nur Fazura Sharifuddin, 25, atau nama komersialnya Fazura.

DIPALIT satu demi satu kontroversi hingga sampai ke tahap terpaksa turun naik mahkamah selama lima tahun adalah sebahagian diari hidup pemilik nama Nur Fazura Sharifuddin, 25, atau nama komersialnya Fazura.

Jika hati tak cukup tabah, sesiapa yang berdepan cabaran seperti itu pasti mudah saja tersungkur, tutup buku lantaran malu untuk berdepan masyarakat yang kebanyakan lebih cenderung memandang serong dan sinis.

Namun, artis bertubuh kecil ini yang pernah dinobatkan Pelakon Harapan Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-17 (FFM17) ini nyata berjiwa kental.

Baginya, sebarang konotasi negatif yang dilemparkan kepadanya cuma asam garam anak seni yang terpaksa ditelannya apabila memilih untuk ada di dalam dunia dianggap glamor ini.

“Saya sudah lali dengan semua itu dan sedar pelbagai elemen negatif pernah dilabelkan kepada saya seperti berimej seksi, liar dan ada skandal dengan orang kenamaan.

“Bagi saya, segala gosip atau cerita kurang enak itu adalah risiko yang perlu saya tempuh, namun ia tidak mendesak diri saya untuk memperjelaskan setiap isu ditimbulkan.

“Sebaliknya, saya perlu teruskan perjuangan dalam dunia seni dan saya tidak akan berundur atau berpatah balik, jauh sekali berasa menyesal kerana memilih bidang seni,” kata gadis peramah dan mudah didekati ini.

Pada masa sama, Fazura yang menerajui watak utama dalam filem Bicara Hati arahan Rosnani Jamil pada awal kemunculannya juga tidak pernah menganggap kontroversi yang singgah pada dirinya ibarat satu publisiti yang mampu membantu kariernya.

“Saya tidak pernah melihat kontroversi sebagai publisiti, sebaliknya ia anasir yang mampu mencalar reputasi serta nama saya sebagai selebriti,” katanya yang kini sibuk mempromosi filem terbaru lakonannya, Pisau Cukur.

Mengimbau secebis episod hitam dalam hidup Fazura, ia bermula apabila dia didakwa di mahkamah atas tuduhan mencederakan seorang suri rumah dalam pertelingkahan di sebuah pusat hiburan di ibu kota pada jam 1.20 pagi, 19 Disember 2004.

Sejak itu, bermulalah babak naik turun mahkamah untuk Fazura menyelesaikan proses perbicaraan yang berlarutan hampir lima tahun hinggalah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memuktamadkan dia tidak bersalah dan bebas sepenuhnya.

Ini berikutan hakim membenarkan permohonan pihak pendakwaan menarik balik rayuan mereka untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 22 September tahun lalu, membebaskan dan melepaskan Fazura di atas tuduhan itu.

Justeru, Fazura yang turut popular melalui siri televisyen Gol dan Gincu kini bersemangat dan tidak akan menoleh ke belakang lagi untuk meneruskan perjuangan dalam kariernya.

Terbaru, bekas pengacara saluran MTV Asia ini diberi tanggung jawab sebagai pengacara program realiti mencari bakat seni lakon, Anak Wayang yang kini rancak ditayang di Astro.

“Anak Wayang adalah program yang menarik dan unik daripada segi konsepnya kerana ia satu platform untuk mencari bakat lakon yang berbeza berbanding program realiti sedia ada.

“Sebagai pengacara, tanggung jawab saya ialah menyalurkan seberapa banyak informasi mengenai peserta dan program itu kepada penonton,” katanya yang pernah mengendalikan acara penganugerahan secara langsung, Anugerah Skrin TV3 dua tahun lalu.

Fazura berkata, mengikut perancangan awalnya, dia tidak mahu lagi terbabit dalam aktiviti pengacaraan kerana ingin mengembangkan bakat seni ke cabang lain.

“Bagaimanapun, selepas diteliti dan mendapat penerangan pihak penerbitan, saya teruja dan tertarik dengan perjalanan program ini. Sebab itu saya memberi ruang dan peluang kepada diri saya untuk mencuba pengalaman baru ini,” tambahnya.

Fazura yang juga bergandingan dengan aktor popular, Rusdi Ramli dalam memastikan objektif asal program dipenuhi, turut mengakui peranannya sebagai pengacara Sesi dan Dialog Anak Wayang ini tidak semudah dilihat.

“Menghafal skrip, menepati konsep program yang bersifat santai dan bersahaja, menganalisis informasi berkenaan program serta menjaga lenggok bahasa tubuh dalam masa sama di depan kamera adalah satu beban yang perlu dipikul sebagai pengacara.

“Komitmen terhadap Anak Wayang yang perlu saya langsaikan adalah tiga hari seminggu bagi penggambaran keseluruhan,” katanya.

Selain itu, gadis kelahiran Pahang ini sibuk menjalani penggambaran filem terbaru lakonannya Lagenda Budak Setan, sebuah karya adaptasi daripada novel terlaris sekitar 1980-an olahan Ahadiat Akashah yang giat dijalankan sekitar Pulau Langkawi.

Fazura yang sekali lagi mendukung watak utama sebagai Kate bergandingan dengan aktor muda, Farid Kamil selain Que Haidar, Raja Farah, Nubhan dan Zoey.

“Lagenda Budak Setan yang diarahkan Sharad Sharan memerlukan saya meneliti dan fokus kepada penceritaan novel itu bagi mendalami watak diberi. Jelas ia satu pengalaman baru yang menyeronokkan,” katanya.

Menurut Fazura, jadual karier seninya yang padat mendesaknya bijak membahagikan masa serta memilih ruang merehatkan diri.

Ketika menyentuh persoalan mengenai sebuah lagi program realiti yang hampir serupa konsepnya dengan Anak Wayang, hasil idea aktor tersohor, Rosyam Nor iaitu Pilih Kasih yang ditayangkan di TV2, Fazura enggan mengulas panjang berikutan kurang mengikuti perjalanan serta corak program berkenaan.

“Saya tidak langsung memandang Pilih Kasih sebagai saingan atau menganggap program itu memberi cabaran berat kepada saya biarpun ia diteraju pengacara berpengalaman, Raja Azura dan penyampai radio Era FM, Reza Mohammad.

“Sebaliknya, saya memandang daripada sudut positif dengan menganggapnya sebagai persaingan sihat kepada industri hiburan tanah air,” katanya yang turut memuji inisiatif seniornya, Rosyam yang menerbitkan Pilih Kasih.

This entry was posted in Artis, Fazura. Bookmark the permalink.

Leave a Reply