Insiden menimpa artis

KISAH penganjur kaki kapur bukan cerita baru, malah ia satu isu yang sudah basi.

Namun, mengapa sehingga kini masih tiada sebarang penyelesaian walhal kita sudah pun merentasi era kemodenan dan mencapai zaman teknologi yang melahirkan masyarakat celik IT dan cerdik pandai.

Apakah punca yang mendorong masalah ini terus-terusan berlaku dalam tempoh 40 hingga 50 tahun?

Haruskah pihak penganjur dipersalahkan atau sebenarnya golongan artis perlu menilai semula kekurangan dan profesionalisme diri hingga sewenang-wenangnya diperdaya orang lain?

Mengapa contoh, insiden menimpa artis yang diundang menjayakan Karnival Sinar Usahawan 2009 di Taiping, Perak, Ahad lalu.

Lebih 500 penonton berhimpun di tapak karnival yang berlangsung di perkarangan tempat letak kereta pasar raya Giant untuk menyaksikan persembahan artis.

Namun, sehingga jam 10 malam persembahan masih tidak dimulakan sehingga membangkitkan kemarahan penonton. Keadaan ini mendesak seorang artis yang sepatutnya membuat persembahan malam itu, Ifa Raziah untuk mengumumkan pembatalan konsert kerana penganjur tidak membayar wang persembahan mereka sebagaimana dijanjikan.

Artis tidak menerima sebarang bayaran kerana penganjur terlebih dulu angkat kaki.

Tidak cukup dengan itu, mereka terpaksa pula menanggung kos penginapan di hotel selama empat hari termasuk membiayai kos pengangkutan.

Tambah malang, hendak diadukan kepada pihak berkuasa berikutan penipuan penganjur, mereka tidak punya bukti kukuh kerana persetujuan dilakukan hanya menggunakan air liur tanpa sebarang perjanjian hitam putih.

Anehnya, sebahagian yang terbabit adalah mereka yang berpengalaman selain nama besar dalam industri hiburan seperti Mus May, Bandi Amuk serta artis baru pada hari pertama persembahan pada 4 Julai.

Malam terakhir pada Ahad pula menampilkan Ifa Raziah dan Fazli Zainal manakala Roslan Shah sebagai pengacara.

Fazli yang popular dengan lagu Kalbu ketika ini, berkata, bukan mahu menuding mana-mana pihak, tetapi inilah pentingnya jika mempunyai pengurus kerana mereka yang akan memastikan perkara seumpama ini tidak berlaku.

“Dengan pengurusan sistematik, setiap persembahan dipersetujui harus dilampirkan dengan perjanjian secara hitam putih.

“Selain itu, artis harus memastikan penyerahan wang deposit oleh penganjur sebelum sesebuah persembahan dijayakan.

“Namun dalam keadaan ekonomi sekarang, perlu saya akui tidak semua artis berkemampuan menggunakan khidmat pengurus.

“Selain itu, sesetengah penganjur enggan berurusan dengan pengurusan yang dikatakan lebih sudu dari kuah selain ada juga kes artis ditipu pengurus sendiri.

“Bagaimanapun, saya sebagai seorang artis yang teraniaya malam itu mengakui kesilapan kerana menerima tawaran tanpa perjanjian hitam putih.

“Mungkin pengalaman bekerjasama dengan penganjur itu tanpa sebarang masalah sebelum ini membuatkan saya percaya pada ketelusan mereka.

“Apapun, saya akui kita harus berurusan secara profesional supaya orang lain tidak mengambil kesempatan. Natijahnya, apabila kita buat sambil lewa, timbullah masalah misalnya tidak punya bukti yang kukuh untuk membuat aduan kepada pihak berkuasa atau mengambil tindakan,” katanya.

Kata Fazli, dia cukup bersimpati dengan Mus May, Bandi Amuk dan Salima kerana mereka tidak menerima bayaran langsung walaupun sudah membuat persembahan lebih awal.

“Karnival itu diadakan selama dua hari dan mereka melakukan persembahan pada hari Sabtu sementara saya, Ifa dan Roslan pada Ahad.

“Sebelum memulakan persembahan, kami sudah dengar ura-ura penganjur tidak membayar wang kepada artis yang membuat persembahan pada hari pertama karnival. Abang Bandi Amuk pun ada memaklumkan dia cuma menerima RM300 saja.

“Justeru, saya dan Ifa berpakat tidak akan naik pentas selagi penganjur tidak membayar wang kami. Kira-kira jam 10 malam, kami dapati penganjur yang dikenali dengan nama Fadil sudah lesap.

“Saya anggarkan kos yang sepatutnya dibayar penganjur kepada semua artis yang terbabit mencecah belasan ribu ringgit,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Muzik Malaysia (MMM) yang juga Presiden Majlis Perundingan Industri Hiburan dan Kesenian Tanah Air (Mahkota), Datuk A Rahman Hassan mengakui isu penganjur kaki kapur bukan cerita baru namun mengapa ia masih lagi berlaku.

“Pada pendapat saya, kedua-dua pihak harus dipersalahkan dalam hal ini.

“Golongan artis misalnya terlalu mempercayai penganjur. Saya juga artis, saya faham kadang-kadang ada segelintir artis kita ini mudah kesian, takut kalau tidak menerima tawaran dikatakan sombong.

“Selalunya, paling mereka kesian adalah peminat selain perlu fikir bahawa itu punca pencarian mereka. Kalau terlalu memilih, mungkin akan datang tiada siapa yang berminat mengundang membuat persembahan.

“Waktu sama, ramai penganjur suka ambil kesempatan terhadap artis kita selain tahu mereka boleh buat untung banyak.

“Ada jalan penyelesaian sebenarnya. Sebab itulah persatuan saya pernah mengusulkan cadangan kepada kerajaan supaya setiap penganjur persembahan perlu berdaftar di bawah Persatuan Penganjur Hiburan Malaysia (MALEP) untuk mendapatkan permit menganjurkan persembahan.

“Cara lebih profesional ini bukan saja dapat membantu penganjur yang mungkin menghadapi masalah berkaitan permit. Bahkan membantu artis menyiasat serba sedikit latar belakang penganjur apakah mereka syarikat yang boleh dipercayai atau tidak,” katanya.

Bagaimanapun, kata A Rahman, untuk mengajak orang ramai termasuk syarikat untuk berpersatuan tidak boleh dilakukan secara paksaan.

“Justeru, jika artis berurusan dengan penganjur yang tidak berdaftar mereka harus sedia menghadapi risiko.

“Apabila penganjur tidak berdaftar dengan MALEP, artis harus sedia terima risikonya. Kalau ikutkan, jika artis tidak mempunyai pengurus, mereka boleh meminta persatuan menguruskan soal kontrak persembahan.

“Tetapi itulah, kebanyakan artis tidak percaya dengan persatuan mereka sendiri. Katakanlah satu persembahan pengurus mengambil komisen 30 peratus, persatuan mungkin hanya minta 10 peratus.

“Apalah sangat 10 peratus komisen kalau hendak dibandingkan kehilangan semua wang persembahan. Bagi saya, persatuan adalah satu badan yang boleh membantu mengatasi permasalahan dan kebajikan artis. Namun, rasa percaya perlu diwujudkan terlebih dulu di kalangan ahli,” katanya.

This entry was posted in Artis. Bookmark the permalink.

Leave a Reply