Kelunakan vokal Diana Danielle
Read Here
MELIHATKAN penampilannya menerusi filem dan kaca TV, mungkin ramai tidak menyangka pelakon remaja ini turut berbakat dalam bidang nyanyian, malah percubaan pertamanya melalui single sulung, Radio juga tidak mengecewakan. Biarpun hanya mendendangkan lagu itu sebagai artis undangan di samping Imran Ajmain, kumpulan Infinatez dan Juara Raja Lawak Astro Musim Ke-2, Nabil, kelunakan vokal Diana Danielle, 18, mengejutkan banyak pihak, termasuk wartawan hiburan.
“Yang sebenarnya, saya cukup minat menyanyi. Pernah juga terfikir alangkah bagusnya kalau mempunyai album sendiri. Bagaimanapun, saya tidak pasti bagaimana mahu menjadikan impian itu satu kenyataan sehinggalah Imran mempelawa saya menyanyi dalam album terbarunya. Ini semua saya lakukan atas dasar minat. Selebihnya, saya mahu mencuba sesuatu yang baru dan memanfaatkan bakat yang ada. Kalau ada yang menganggap saya mahu mencari glamor, memang silap tanggapan itu,” katanya kepada BPop.
Baru saja kembali ke tanah air dari menyertai Anugerah Planet Muzik 2009 di Jakarta, minggu lalu, Diana mengakui di peringkat awal kerjaya seninya bercambah, beliau terlebih dulu menerima tawaran berlakon, menyebabkannya terpaksa melupakan bidang nyanyian.
Namun, selepas muncul menerusi enam filem, dua daripadanya – Kecoh Betul dan Magika – sedang menunggu giliran ditayangkan di pawagam, beliau kini mengorak langkah untuk terbabit secara aktif dalam bidang nyanyian yang diminatinya itu. Diana kini bernaung bawah syarikat rakaman terkenal, Metadome Records, yang mengedarkan album artis Indonesia seperti Anggun, Dewa 19, Afgan, Mulan Jameela dan Andrea & The Backbone.
Malah, melalui kontrak rakaman itu juga, Diana mendapat peluang berduet dengan Andra & The Backbone menerusi single kumpulan berkenaan, Tak Ada Yang Bisa yang dinyanyikan dalam versi remix, dengan rakaman berlangsung di Legend Studio, Jakarta Selatan milik penyanyi utama Dewa, Ahmad Dhani.
“Ia lebih kepada projek kerjasama, khusus bagi menembusi pasaran Indonesia. Difahamkan, pasaran muzik semasa di seberang lebih cenderung ke arah artis kumpulan berbanding penyanyi solo. Yang menariknya, promosi lagu ini bukan hanya dibuat di sana, tetapi juga di Malaysia. Ia boleh dimuat turun menerusi telefon bimbit manakala klip video lagu ini akan menyusul kemudian,” katanya.
Katanya, mengikut kontrak yang ditandatangani, beliau akan merakam tiga single sebagai persediaan untuk menghasilkan album sendiri tidak lama lagi.
“Namun, untuk single kedua nanti, saya berhasrat bekerjasama dengan artis tempatan. Buat masa sekarang, masih terlalu awal untuk membuat jangkaan sambutan peminat mengenai potensi suaranya mahupun lagu berkenaan,” katanya.
Mengenai perkembangan karier lakonannya, Diana yang baru saja memulakan pengajiannya dalam bidang bio-sains di University Of Nottingham (Kampus Malaysia) menjelaskan, beliau berdebar-debar menantikan kemunculan dua filem terbarunya itu di pawagam.
Walaupun sudah lama berkecimpung dalam bidang bidang lakonan, namun katanya, pengalaman membintangi Kecoh Betul dan Magika disifatkannya sebagai suatu yang berbeza dengan empat filemnya sebelum itu.
“Dalam Kecoh Betul, saya membawa watak Dayana. Walaupun ia genre komedi, karakter saya bukan komedi. manakala, Magika menampilkan saya sebagai Ayu yang mempunyai watak lebih serius. Watak ini terpaksa menjalankan tanggungjawab menjaga adiknya selepas ibunya meninggal dunia,” katanya yang sentiasa ditemani ibunya, Norsiah Ramli.

Use the form below to search the site: