MULA merasakan tempias kesibukan sebagai pelakon, Mohd Farid Wari atau mesra dengan panggilan Farid terpaksa membuat keputusan penting dalam hidup.
Apa tidaknya, dia perlu memilih antara karier lakonan dan mahasiswa universiti.
Justeru, menyedari minat mendalam pada bidang seni, jejaka berusia 22 tahun ini sanggup mengambil keputusan berhenti belajar Diploma Seni Layar di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
Kini, Farid bergelar pelakon sepenuh masa.
Farid berkata memang berat untuknya membuat keputusan itu.
Namun, dia perlu memilih antara satu berikutan jadual lakonannya agak memberangsangkan.
Jadi, biarlah buat masa ini dia berlakon sehingga kerjayanya itu benar-benar mantap.
“Saya seronok berlakon dan atas sebab itu nekad berhenti belajar. Tidak menyesal sebaliknya saya puas memandangkan saingan kini sangat sengit.
“Ditambah dengan kemunculan bintang realiti TV yang makin ramai, saya perlu buat pilihan.
“Oleh itu, pilihan saya ialah berlakon. Kini, saya sematkan di hati untuk gigih berusaha dalam bidang ini untuk menikmati kejayaan akan datang.
“Ini kerana bukan mudah untuk berjaya dalam karier kerana persaingan sentiasa ada dan paling penting tidak putus asa.
“Apapun, saya bersyukur keluarga sangat memahami dan memberi sokongan padu. Sekalipun, tidak akan berlakon hingga usia tua, namun saya berkorban kerana minat. Disebabkan itu, sekarang mudah bagi saya memberikan fokus pada karier,” katanya.
Menurut anak jati ibu kota ini, walaupun terpaksa bermula dari bawah dia tetap gembira.
Baginya, demi satu kejayaan dia perlu tabah menghadapi apa saja dugaan.
Justeru, bersedia itu sangat penting dan Farid kini menuju ke arah itu.
“Saya ikhlas menyertai bidang seni ini kerana minat dan bukan sekadar mengejar glamor.
“Oleh itu, asalkan menerima tawaran berlakon, saya sudah bersyukur. Tidak kiralah apa wataknya, tetapi saya akan pastikan ia direalisasikan dengan baik dan berkesan.
“Hingga kini, saya yakin lakonan di tahap baik. Begitupun, saya sedar masih banyak perlu diperbaiki demi meraih satu kejayaan yang menjadi impian hati.
“Justeru, saya percaya semuanya bergantung pada rezeki dan sebagai manusia perlu berusaha,” katanya.
Ditanya tidakkah dia berasa cemburu dengan rakan seangkatan, Wan Hafizol Wan Omar atau Fizow yang lebih dulu meraih populariti, Farid berkata rezeki setiap manusia berbeza.
“Mungkin ini rezeki Fizow dan mana tahu akan datang menjadi milik saya pula.
“Apa yang penting bersabar dan percaya dengan segala ketentuan Tuhan. Apapun, kini saya bersyukur kerana ada syarikat pengurusan yang mengendalikan semua jadual seni. Justeru, saya boleh membahagikan masa untuk menghadiri sesi fotografi.
“Dalam soal ini, saya sedar publisiti penting kepada pelakon. Oleh itu, jika ada pihak media yang ingin mengadakan fotografi, saya pasti tidak menolak.
“Sebagai pelakon baru, saya harus memperkukuhkan tapak supaya tidak gentar menghadapi saingan.
“Harapan saya semoga berjaya dalam bidang ini. Saya akan terus berlakon selagi diperlukan walaupun terpaksa bersaing. “Seperti dikatakan, saya percaya sesiapa berusaha kuat pasti akan berjaya. Oleh itu, diharapkan saya mampu menghadapinya,” kata Farid.
