Program realiti Mentor musim ketiga Thye
Read Here
MEMASUKI peringkat separuh akhir persaingan program realiti Mentor musim ketiga semakin sengit dan mendebarkan. Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi peserta dari Kota Belud, Sabah, Tahiruddin Sain, 22, atau Thye yang terpaksa melupakan hasrat untuk melangkah lebih jauh dalam pertandingan itu.
Persembahan Thye, protege kepada penyanyi Adibah Noor dengan lagu medley Keroncong Untuk Ana/Hatinya Tak Tahan belum cukup meyakinkan pihak juri dan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) apabila meraih mata terendah sebanyak 43.1 markah.
Laluan Thye yang diakui mentornya mempunyai keunikan vokal membawakan lagu asli tersekat dengan kemampuan tiga lagi peserta yang bersaing iaitu Hunanis Zafira Huzaini, 18 (Fira), protege kepada Lah Ahmad; Camellus De’lelli Anam, 20 (Chaq), protege Ajai dan Hanifah Md Hanafiah, 22, (Black) protege Mas Idayu.
Konsert malam itu menjadi milik Black yang menyampaikan lagu Tasik Utara/Cek Mek Molek/Hijau apabila memungut mata tertinggi 63.3 markah, sekali gus melayakkannya menerima hadiah jam tangan eksklusif jenama Tissot bernilai RM3,000.
Bersaing rapat, Chaq yang buat pertama kali dalam program itu berjaya memungut mata penuh juri awam sebanyak 20 markah, sekali gus memungut 54.9 markah keseluruhan diikuti Fira sebanyak 43.1 markah.
Chaq menampilkan persembahan menarik dengan lagu Inilah Nasibku/Fanatik manakala Fira lagu Pulangkan/Whine Up dan Nirmala.
Biarpun kecewa dengan penyingkiran itu, Thye tetap mahu meneruskan impiannya dalam bidang seni, malah menganggap ia sebagai permulaan buatnya.
“Memang saya tidak berpuas hati dengan persembahan selepas melihat balik visual yang ditayangkan. Tidak dinafikan persembahan minggu ini cukup tertekan kerana membabitkan persaingan peserta yang hebat belaka.
“Biarpun gagal meneruskan kemaraan ke pusingan berikutnya, namun ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus menceburi bidang seni. Malah, saya juga mendapat galakan daripada mentor (Adibah Noor) supaya selalu berhubung dan tidak putus asa mencipta nama dalam dunia seni,” katanya.
Menurut Thye lagi, tiga peserta yang memburu tempat ke pusingan akhir itu mempunyai kekuatan tersendiri. Malah sukar untuknya meramalkan siapakah di antara mereka bakal bergelar juara untuk musim ini.
“Masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri. Chaq bukan saja pandai menari tetap boleh menyanyi dengan baik, Black bersandarkan kepada vokal dengan nada tinggi manakala Fira pula mempunyai nada suara yang unik dan lunak,” kata Thye yang juga artis budaya di Jabatan Kebudayaan Negeri Selangor.
Penonton yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan bonus daripada peserta yang bertanding dengan lagu Bila Aku Sudah Tiada.
Sementara itu, Penerbit dan Pengarah Mentor, Muhamad Sufian Isa, berkata peserta yang layak ke peringkat akhir mempamerkan kualiti dan mutu persembahan tersendiri, malah saingan sengit itu juga cukup sukar bagi pihak juri memberi penilaian markah.
“Empat peserta yang layak ke peringkat akhir ini mempunyai keunikan masing-masing dari segi vokal dan bakat sebagai penghibur. Mentor yang seharusnya mencorak mereka untuk menentukan arus perjalanan sebagai penyanyi berdasarkan kualiti yang mereka miliki.
“Persaingan ini bertambah sengit apabila mereka digabungkan kerana inilah kali pertama mereka bertanding sesama sendiri. Jika dilihat markah terdahulu, Chaq mengungguli kumpulan A manakala Black mendahului untuk kumpulan B. Namun selepas digabungkan, tidak mustahil jika Fira berjaya mengalahkan Black dan Thye berkemungkinan mampu menewaskan Chaq.
“Apa yang pasti, dua peserta yang layak ke peringkat akhir nanti adalah yang terbaik dari pemerhatian pihak juri dan penonton,” katanya.
Persembahan peserta dinilai melalui tiga bahagian iaitu 50 peratus daripada juri profesional, 30 peratus melalui undian SMS dan 20 peratus melalui juri awam yang terdiri daripada pelajar muzik, pihak media, penerbit rancangan dan golongan semi profesional dalam dunia hiburan. Persembahan separuh akhir itu dinilai juri profesional yang juga penyanyi, Syafinaz Selamat dan Hattan.
Dua peserta dijangka bersaing di peringkat akhir yang dijadual berlangsung di Dewan Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, Shah Alam pada 19 Julai ini.
Juara menerima wang tunai sebanyak RM100,000 dan kereta Kia Spectra 5 tajaan Oriva dan mentor pula meraih RM100,000 manakala tempat kedua, protege dan mentor memenangi wang tunai RM30,000.
Mentor 3 menampilkan pengacara terkenal, Ally Iskandar Mohd Mardzi sebagai pengacara program dan Jurnal Mentor. Selain itu, wartawan sensasi, Nas Ahmad juga turut sama dalam program ini bagi mencungkil kisah yang berlaku di sebalik tabir dan di belakang pentas.
Program kali ini turut menjemput peserta yang pernah menghadiri sesi uji bakat yang dirasakan ‘unik’ untuk membuat persembahan pada setiap minggu.

Use the form below to search the site: