Shahrul Anuar Zain

BUKAN sekadar bersandarkan paras rupa kacak yang mencairkan hati wanita, penyanyi popular Anuar Zain juga mempertaruhkan vokal yang cukup mengagumkan bagi membuat peminat ‘jatuh cinta’ kepadanya.

Malah, setiap kali Anuar atau nama sebenarnya, Shahrul Anuar Zain, 39, beraksi dalam mana-mana persembahan, ia tidak pernah menghampakan peminatnya.

Justeru, pada malam konsert solonya Konsert Lelaki Ini-Anuar Zain 2009 yang julung kalinya dipentaskan di lokasi berprestij, Istana Budaya (IB) malam kelmarin, Anuar berjaya memberikan yang terbaik seperti diharapkan peminat setianya.

Ketika ditemui selepas konsert pada malam itu, Anuar mengakui konsert solonya itu mencatat kejayaan peribadi sepanjang hampir 30 tahun pembabitannnya sebagai anak seni.

“Sebenarnya selepas menanti lebih 11 tahun, barulah impian saya untuk beraksi dalam konsert solo di IB ini kesampaian.

“Ia cukup bermakna kerana selepas bekerja keras dalam pentas muzik, akhirnya ada pihak yang menghargai pahit getir saya selama ini sebagai penyanyi.

“Secara peribadi, saya cukup berterima kasih kepada penganjur, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) yang menaja konsert ini dengan kerjasama IB.

“Sebagai penyanyi, banyak ilmu yang saya timba menerusi konsert ini, sekali gus menjadi panduan untuk menganjurkan konsert solo pada masa akan datang.

“Saya berharap konsert solo ini menjadi permulaan buat saya melangkah lebih jauh lagi dalam kerjaya seni termasuk ke pentas antarabangsa,” katanya.

Anuar berkata, secara keseluruhannya, dia berpuas hati dengan konsertnya malam itu.

Akuinya, dia turut berhadapan tekanan untuk merealisasikan konsert itu kerana tidak cukup masa untuk berlatih.

“Saya bersyukur kerana konsert ini berjalan seperti direncanakan. Mungkin ada perkara kecil yang tidak dapat dielakkan, namun saya berharap konsert ini memenuhi cita rasa peminat.

“Fokus saya setiap kali buat persembahan adalah untuk kepuasan peminat setia yang menyokong kerjaya nyanyian dari dulu sampai sekarang,” katanya.

Anuar yang pernah beraksi dalam konsert di Esplanade, Singapura tahun lalu berkata, impiannya selepas ini untuk beraksi di pentas yang mempunyai skala lebih besar seperti di Stadium Negara.

“Saya tidak akan putus asa untuk mencari penaja bagi konsert yang lebih besar lagi selepas ini. Maklumlah, saya mengambil masa empat tahun untuk mencari penaja bagi menjayakan konsert solo yang julung kalinya di IB dan melengkapkan perjalanan kerjaya seni yang mencecah 30 tahun,” katanya.

Mengulas lanjut persembahan istimewanya pada konsert solo itu, ada peminat yang menyamakan konsert Anuar sehebat konsert Eksklusif Satu Datuk Siti Nurhaliza yang berlangsung di IB selama tiga hari dari 26 Jun kerana tiket laris seperti konsert Siti.

Begitu juga tempak letak kereta di perkarangan IB yang sesak pada malam berkenaan.

Malam konsert juga menyaksikan peminat Anuar yang taksub berteriak Aku Cinta Padamu Anuar, Kami Cinta Padamu setiap kali dia muncul di pentas sehingga konsert dua jam itu berakhir kira-kira jam 11.45 malam.

Kalau adapun kelemahan pada konsert Anuar ialah penyanyi ini kurang berinteraksi dengan penonton pada malam itu kerana memberi fokus kepada vokalnya.

Apa yang penting, seramai 1,300 peminat Anuar yang membanjiri Panggung Sari IB pada malam itu terhibur dengan pemilihan 19 repertoire lagu popularnya yang memenuhi cita rasa peminat setia yang tidak pernah jemu menyokong perjuangan seninya, sejak dulu.

Antara lagu yang disampaikan ialah Kaulah Satunya, Sesuci Cintamu, Mungkin, Suria Siarra, Jangan Bersedih Lagi, Bila Resah, Bidadari, Permata, Teman Terulung, Keabadian Cinta dan Kau Bunga Cintaku, Ketulusan Hati, Lelaki Ini dan diakhiri dengan lagu Perpisahan. .

Anuar juga mengimbas nostalgia zaman kanak-kanak bersama pasangan duet popularnya, Ellina Razak ketika berusia 13 tahun menerusi lagu Seruling, Kesan Kelukaan dan Kain Pelekat.

Lebih menarik, peminat juga berpeluang melihat gambar Anuar dan kakaknya, penyanyi popular Ziana Zain ketika zaman kanak-kanak mereka serta gambar bersama ibu bapa tercinta di skrin layar di pentas.

Tidak ketinggalan, tribute Anuar kepada penyanyi era 80-an seperti Penantian (Allahyarham Zubir Ali), Berdiri Seorang Perindu (Ibnor Riza), Epilog Cinta Dari Bromley (Suhaimi Mior Hassan) dan Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta (The Flybaits).

Konsert solo dua hari Anuar diterbitkan Anuar Zain Network Sdn Bhd ini dianjurkan JKKN sempena Festival Muzik Kuala Lumpur di IB.

Pada malam itu, persembahan Anuar diiringi 55 pemuzik berpengalaman dari Orkestra Simfoni Kebangsaan pimpinan Mustafa Fuzer Nawi. Pengarah muzik pada malam itu, Aylwin Santiago. Turut hadir menyaksikan konsert Anuar ialah Datuk Sheila Majid dan Deja Moss.

This entry was posted in Anuar Zain, Artis. Bookmark the permalink.

Leave a Reply