SKANDAL Mulan Jameela dan pemuzik Ahmad Dhani sudah lama diperkatakan, namun hal itu sering dinafikan kedua-dua mereka.
Sehingga hari ini pun, wanita yang dilahirkan dengan nama Raden Terry Tantri Wulansariia, 30, terus berahsia meskipun perceraian antara Dhani dan isterinya, Maia Estianty, juga anggota kumpulan Ratu, secara rasminya berakhir pada 23 September tahun lalu.
Saat pertemuan dengan wanita kecil molek ini di Grand Millenium Kuala Lumpur, baru-baru ini, Mulan tetap teguh dengan pendirian dan tidak tunduk pada asakan media yang cuba merungkai rahsia percintaannya dengan Dhani apatah lagi mereka dilaporkan sudah menikah.
“Dhani itukan bos saya merangkap produser album, jadi sudah tentulah kami sering bertemu dan bekerjasama, namun saya suka mengatakan persahabatan saya dan Dhani adalah atas dasar profesional semata-mata.
“Saya mual sebenarnya dengan segala tohmahan yang dilemparkan kepada kami, namun saya sedar inilah harga yang perlu dibayar seorang anak seni.
“Saya tidak mahu gosip menjadi punca sehingga kami tidak lagi dapat bekerjasama, lalu saya putuskan untuk tidak mengambil peduli kata-kata orang.
“Biarlah masyarakat memandang serong yang penting dan paling mustahak sekarang adalah terus berkarya,” katanya.
Akui Mulan ingin saja dia mempertahankan diri, namun, menyedari kebarangkalian kenyataan mungkin dimanipulasikan atau ditokok tambah, membuatkan wanita berdarah Sunda ini lebih selesa berdiam.
“Berdiam itu lebih baik daripada heboh atau melenting kerana kenyataan demi kenyataan hanya membuatkan sesuatu masalah bertambah rumit.
“Mereka yang mendapat untung akhirnya nanti, tentu saja penyebar gosip. Justeru, saya lebih senang kalau berdiam kerana percaya lambat-laun mereka yang menabur fitnah juga pasti penat,” katanya.
Ditanya, sama ada gosip yang menghambat dirinya dan Dhani sejak 2007 ini tidak sedikitpun mengubah hati dan perasaan mereka dari seorang sahabat kepada kekasih sedangkan, apa yang diperkatakan ibarat ‘doa’ orang ramai apatah lagi, kedua-duanya bergelar duda dan dara.
“Iya lucu sekali. Gara-gara terlalu banyak gosip mengaitkan kami, pernah Dhani mengusik saya.
“Katanya pada saya, ayuh! Mulan kita realisasikan saja kata-kata mereka biar jadi betul dan puas hati semuanya,” katanya.
Akui Mulan, tatkala ini dia masih sendirian dan belum punya teman lelaki istimewa, tidak pernah menolak cinta, namun pengalaman membuatkan dia lebih berhati-hati dalam membuat pilihan, apatah lagi, mahligai yang dibina atas dasar cinta bersama bekas suami musnah di tengah jalan empat tahun lalu.
“Perasaan fobia itu masih ada. Pun begitu, sebagai wanita dan fitrahnya seorang manusia yang ingin dicintai dan disayangi, saya harus memberi peluang pada diri.
“Saya percaya Tuhan tidak kejam. Dia berikan kamu kesengsaraan, Dia gantikan dengan kebahagiaan. Mungkin, suatu hari nanti saya juga berhak memperoleh kebahagiaan itu.
“Justeru, saya harus beranikan diri untuk menjalin sebuah perhubungan. Apapun, lelaki pilihan saya itu haruslah menerima saya seadanya, anak-anak, Tiarani Savitri (semibilan tahun) dan Muhammad Rafly Aziz (enam tahun) serta keluarga dengan ikhlas,” katanya.
Beralih pada karier seni, selepas muncul dengan album solo diberi judul Makhluk Tuhan Paling Sexy, tahun lalu, kini Mulan kembali sibuk dengan perancangan album kedua.
Masih ditangani oleh Ahmad Dhani selaku produser, Mulan memaklumkan berkemungkinan 50 peratus lagu yang dimuatkan ke dalam album terbarunya itu adalah lagu saduran.
Jelas Mulan, menyanyikan semula lagu lama yang diberi nafas baru bukan bererti penggiat muzik Indonesia ketandusan idea sebalik cara ini sudah menjadi satu ‘aliran.’
“Tiada salahnya menyanyikan semula lagu lama kerana ia dapat mempopularkan kembali lagu serta penyanyi popular suatu masa dulu.
“Selain itu muziknya yang mesra pendengar juga memudahkan seseorang artis dikenali.
“Cuma cabarannya, lagu yang diberikan nafas baru itu harus lebih mantap dari segi susunan muzik dan nyanyiannya.
“Saya juga berasa rugi, jika dalam satu album itu memuatkan 10 lagu yang mana semuanya bagus belaka. Alangkah menguntungkan, jika lima daripada lagu itu gunakan untuk album akan datang.
“Manakala, kekosongan lima lagu lagi digantikan dengan lagu saduran yang diberi nafas baru,” katanya.
Masih mengekalkan unsur, pop, punk dan timur tengah, salah satu lagu siap dirakamkan Mulan adalah Cinta Mati 2 yang disampaikan secara duet dengan Mitha. Lagu ini turut dipilih sebagai single pertama.
Cinta Mati 2, asalnya sebuah lagu berbahasa Inggeris berjudul, Real Life, yang pernah dipopularkan Sergio Mendes. Namun, liriknya digubah ke bahasa Melayu sementara melodinya di beri nafas baru oleh Ahmad Dhani.
Sebelum menutup perbualan, Mulan sempat ditanya sama ada gosip percintaannya dengan Dhani memberi kesan terhadap perhubungannya dengan bekas janda ketua kumpulan Dewa, Maia yang juga rakan duonya sewaktu menganggotai Ratu.
“Selepas perpecahan Ratu kami sempat bertemu dua kali dan saya menegurnya untuk bertanya khabar dan dia juga menyambut pertanyaan saya dengan biak.
“Namun saya mengerti, sebaik kumpulan Ratu dibubarkan bermakna kami harus memilih haluan hidup masing-masing. Walau bagaimanapun saya tetap menghormatinya,” katanya.
PROFIL
Nama asal: Raden Terry Tantri Wulansari
Nama komersial: Mulan Kwok/Mulan Jameela
Tempat Lahir: Garut, Jawa Barat
Tarikh Lahir: 23 Ogos 1979
Bekas suami: Harry Indra Nugraha
Album: Ratu & Friends (2005), No Satu (2006), Mulan Jameela (2008) dan The Best of Republik Cinta Artists Vol 1 (2008)
Filem: Maaf Saya Menghamili Istri Anda (2007)
Drama TV/Telefilem: Primadona Mencari Surga, Pasangan Heboh, Bodyguard
Sang Penyanyi, Penyanyi Yang Difitnah, Habis Manis Suami Dibuang dan
Serumah Tapi Musuh
Lokasi: Grand Millenium Hotel, Jalan Bukit Bintang
