Gambar ‘hangat’ di internet didakwa milik seorang peserta program realiti TV9
BARU saja menjengah kaca televisyen tidak sampai seminggu, program pencarian Gadis Melayu dicemari kontroversi kononnya gambar ‘hangat’ yang disebarkan di internet adalah salah seorang peserta program realiti itu.
Penyebaran gambar seorang gadis yang sedang berseronok dengan temannya di sebuah kelab hiburan sambil memegang botol arak menjadi bualan di internet. Lebih hangat lagi apabila ada gambar yang jelas menunjukkan gadis itu sedang berciuman dengan seorang lagi gadis.
Jika benarlah gadis itu salah seorang peserta Gadis Melayu, barangkali tidak keterlaluan jika ia boleh
menjejaskan kredibiliti saluran yang golongan sasarnya penonton Melayu khususnya luar bandar. Apakah imej sebegitu yang mahu diangkat TV9 sebagai contoh Gadis Melayu? Mungkinkah imej yang dibawakan pesertanya itu bersesuaian dengan kriteria Gadis Melayu yang dicari tahun ini iaitu wanita Melayu kontemporari?
Hip yang cuba mendapatkan penjelasan pihak pengurusan TV9 gagal mendapatkan sebarang reaksi kerana mereka mengambil sikap mengunci mulut. Namun tindakan itu tidak sedikit pun membantu menjelaskan situasi dan hanya menimbulkan tanda tanya serta menambahkan spekulasi.
Bagaimanapun, kehadiran gambar panas itu tidak menjejaskan perjalanan program itu yang memulakan episod pertamanya pada 6 Ogos lalu setiap Khamis jam 9.30 malam.
Mengimbau semula senarai peserta musim lalu, mereka memiliki perwatakan yang lemah lembut dan pemalu. Tetapi untuk musim terbaru, 12 peserta itu pula lebih peramah, petah dan tidak segan menonjolkan diri di khalayak ramai.
Ia selari dengan konsep musim kedua ini yang khabarnya turut membuka peluang kepada gadis urban malah lebih ramai gadis tidak bertudung diberi peluang mencuba nasib dalam program terbitan TV9 ini.
Penerbit program Gadis Melayu, Shukri Ibrahim berkata, ciri baru yang dicari kali ini yang membezakan antara musim pertama dan kedua. Walaupun lebih kontemporari, kata Shukri program Gadis Melayu musim kedua tidak lari dari landasan serta objektif asalnya.
“Gadis Melayu masih lagi menekankan nilai kesopanan, bagaimanapun bezanya kali ini kami mencari peserta yang lebih berani dan vokal. Peserta yang memiliki sikap berdikari, bersesuaian dengan konsep TV9 itu sendiri iaitu bertenaga dan kontemporari, tanpa meminggirkan tujuan asal kami ketika mewujudkan program ini dulu.
“Mereka masih lagi diuji mengenal rempah ratus, cara memakai kain batik, adab berjumpa dengan orang tua, membaca doa Qunut dan banyak lagi. Kesemua 12 peserta yang kami pilih memiliki kriteria yang kami mahukan. Walaupun ada yang kelihatan urban tetapi nilai jati diri kemelayuan mereka masih menebal,” kata Shukri dalam sidang media memperkenalkan 12 peserta Gadis Melayu, baru-baru ini.
Program itu sudah pun melahirkan seorang personaliti iaitu juara musim pertama Khairul Noormaidah Zali atau Aida yang kini bertugas sebagai pengacara program Apa Ke Halnya. Bagaimanapun Aida tidak mendapat kepercayaan TV9 untuk mengendalikan Gadis Melayu musim kedua, sebaliknya tugas itu diamanahkan kepada pengacara senior, Sharifah Shawati Syed Mohd bergandingan bersama pengacara muda Juliana Evans.
Ketua Bahagian Pengurusan Jenama, Pembangunan Perniagaan dan Komunikasi Korporat TV9, Noor Amy Ismail berkata, kemenangan peserta musim lalu bukan jaminan kepada pemenang untuk mengemudi program Gadis Melayu. Bagaimanapun, TV9 tetap memberi peluang kepada juaranya bernaung di bawah payung stesen milik Media Prima Berhad.
“Pengalaman yang dikutip di dalam Gadis Melayu tidak boleh dinilai dengan wang ringgit. Kami tidak menyerapkan juara atau mana-mana peserta musim terdahulu untuk mengendalikan Gadis Melayu musim baru bukan kerana mereka tidak sesuai lagi untuk mengendalikan program besar seperti ini.
“Sebaliknya mereka diberi peluang muncul dalam program lain, malah TV9 tidak pernah jemu untuk menggilap lagi bakat mereka,” katanya.
Laluan mudah terjun ke dunia pengacaraan
WALAUPUN tujuan asal program ini untuk menguji sejauh mana ketebalan nilai Melayu dalam diri pesertanya, tetapi Gadis Melayu kini dijadikan landasan oleh pesertanya sebagai laluan untuk mencari ruang ke dunia pengacaraan.
Justeru ia menyebabkan program ini tidak banyak bezanya dengan program Pesona Nona terbitan TV3 yang mencari wanita berbakat untuk diasah sebagai pengacara. Cuma bezanya peserta Gadis Melayu terpaksa melalui pelbagai ujian berkaitan dunia Melayu manakala peserta Pesona Nona pula dikehendaki menjalankan tugasan sebagai pengacara.
Rata-rata peserta Gadis Melayu yang ditemui musim ini mempunyai niat yang sama, selain mahu mencabar diri sendiri sejauh mana jati diri, mereka juga menyertai program ini kerana ingin mencari peluang dalam dunia pengacaraan dan komersial lain.
Peserta dari Kuala Lumpur, Rahimah Ibrohim, 21, sanggup menangguhkan pengajian dalam bidang Diploma Hiasan Dalaman, di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Sri Iskandar, Perak yang berbaki satu semester semata-mata untuk menyertai Gadis Melayu.
“Saya minat bergelar pengacara dan berminat memperaga busana Muslim serta teringin membaca berita. Lagipun rakan mengatakan bidang ini memang amat sesuai dengan saya, malah bapa juga memberi sokongan padu. Dialah yang memberi galakan supaya saya mencuba nasib dalam Gadis Melayu.
“Pada mulanya saya terkilan juga kerana tak dapat menghadiri uji bakat di Kuala Lumpur. Sebaik mengetahui uji bakat akan diadakan di Ipoh, saya nekad ke sana seorang diri semata-mata mahu mencuba nasib dalam Gadis Melayu. Tak sangka pula rezeki berpihak kepada saya dan saya tidak sesekali akan mempersia-siakan peluang itu,” katanya.
Puteri Noor Nawal Ramlan dari Shah Alam pula mahu menjadikan Gadis Melayu sebagai platform untuk mendapatkan pekerjaan kerana pelbagai bidang sudah dicuba tetapi gagal membawanya ke mana-mana. Gadis berusia 23 tahun ini pernah menyertai Dewi Remaja 2005/2006 hingga ke peringkat Top 10, malah dia juga pernah mencuba nasib dalam program Malaysian Idol (MI) tetapi perjalanannya hanya setakat Top 33. Justeru, dia amat berharap rezekinya lebih murah selepas menyertai program ini.
“Saya menyertai program ini bukan untuk mengejar glamor semata-mata tetapi memandangkan nak mencari pekerjaan pada waktu ini susah, jadi tidak salah saya mencuba nasib dalam Gadis Melayu.
“Sebelum ini saya sebenarnya sudah berputus asa untuk terus mencuba dalam program seperti ini kerana kegagalan dalam Dewi Remaja dan MI. Bagaimanapun setelah beberapa tahun berlalu barulah saya dapat mengumpul kembali kekuatan untuk menyertai program sebegini dan tak sangka pula diterima,” katanya yang meminati kerjaya yang berkaitan dunia penyiaran dan hiburan.
Sementara itu bagi gadis kacukan, Sharifah Jasmine Sorya Syed A Jalil Jamalullail, 21, pula dia menyertai Gadis Melayu untuk melihat apakah tugasan yang ditawarkan sepanjang berada dalam program itu. Selain itu, darah kacukan yang mengalir dalam badannya membuatkan Jasmine mahu menguji dirinya sejauh mana nilai Melayu yang ada dalam dirinya.
“Saya mahu mengenali lagi budaya masyarakat Melayu dengan lebih mendalam kerana saya dilahirkan daripada ibu bapa berlainan bangsa. Saya harap selepas menyertai program ini, saya lebih mengenali budaya Melayu dengan mendalam lagi,” kata graduan UiTM dalam bidang Komunikasi Masa.
