Piala Dunia

siti safiyah
Bintang remaja sensasi, Siti Safiyah Abdul Rahman (gambar) mengetepikan ratu boling negara, Shalin Zulkifli dan juara kebangsaan, Sharon Koh untuk membawa cabaran Malaysia pada Piala Dunia AMF di Melaka, November ini.

Pemain muda berusia 20 tahun itu bakal bergandingan dengan pemain senior, Zulmazran Zulkifli yang dipilih mengetepikan seorang lagi calon pilihan iaitu juara Asia, Adrian Ang dalam saingan lelaki.

Pemilihan Safiyah dibuat berdasarkan prestasi hebatnya sepanjang tahun ini, terutama selepas muncul juara Ranking Masters Dunia di Itali, Mei lalu.

Safiyah, juara Terbuka Malaysia 2005 turut melakar sejarah sebagai pemain wanita termuda yang berjaya memenangi kejohanan prestij itu.

Malah, dia juga muncul satu-satunya pemain Malaysia yang berjaya melayakkan diri ke final Masters Kejohanan Wanita Dunia di Las Vegas, bulan lalu hanya dalam penampilan pertama.

Ini merupakan penampilan keduanya pada Piala Dunia selepas membuat kemunculan pertama di Caracas, Venezuela 2006, di mana dia berjaya menamatkan saingan pada kelompok 10 terbaik hanya pada usia 15 tahun ketika itu.

Sementara itu, Zulmazran merupakan pemain yang sarat dengan pengalaman antarabangsa, malah mula membuat penampilan pertama Piala Dunia di Latvia 2002 hanya pada usia 18 tahun.

Dia sekadar menduduki tangga ke-16 dalam penampilan sulungnya tetapi melonjak ke tangga ketiga dalam kemunculan kedua di Mexico tahun lalu.

Malah, Zulmazran juga mencuri tumpuan ketika itu apabila melakukan jatuhan sempurna di suku akhir.

Lapan bulan pertama 2009 adalah musim cemerlang buat pemain Selangor berusia 25 tahun itu selepas berjaya mempertahankan gelaran Terbuka Malaysia, selain muncul juara Terbuka Indonesia, bulan lalu.

“Selepas mengadakan perbincangan, jawatankuasa pemilihan menerima senarai yang dicadangkan oleh ketua jurulatih, Holloway Cheah dengan memilih Zulmazran Zulkifli dan Siti Safiyah mewakili Malaysia pada Piala Dunia di Melaka.

“Ini hanyalah kali kedua Malaysia akan menjadi tuan rumah kejohanan, kali pertama pada 1987 di Mirama Bowl, gelanggang 24 lorong yang telah dimusnahkan beberapa tahun lalu,” kata Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) dalam satu kenyataan, semalam.

Piala Dunia AMF 2009 akan diadakan di gelanggang baru 52 lorong di Pusat Boling Antarabangsa Melaka dari 14-21 November ini. Gelanggang tersebut direka untuk Sukan Malaysia (Sukma) 2010.

This entry was posted in Forum and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply