Pada usia 28 tahun, Beyonce sudah berjaya membina empayar sendiri
SEMESTINYA Beyonce Knowles adalah antara wanita paling bertuah di dunia. Justeru, apabila wanita berusia 28 tahun ini berkata demikian ketika menerima trofi Wanita Terbaik pada anugerah anjuran Billboard baru-baru ini, tiada siapa yang mampu menyangkal ucapannya.
Belum pun mencapai usia 30 tahun, Beyonce sudah membina empayar seninya sendiri.
Dia dicap sebagai penyanyi R&B wanita terbaik hasil kejayaan tiga album solonya, Dangerously in Love (2003), B’Day (2006) dan I Am… Sasha Fierce (2008).
Bahkan sebelum itu, penyanyi yang juga seorang pelakon ini sudah mencipta nama bersama kumpulan Destiny’s Child yang disertainya sejak 1990. Destiny’s Child bagaimanapun dibubarkan pada 2005 selepas melakar pelbagai kejayaan. Dianggarkan, artis cantik ini sudah menyaksikan 100 juta unit albumnya terjual di seluruh dunia, jika dicampur albumnya ketika bersama kumpulan terbabit.
Penyanyi yang turut bergelar penerbit dan komposer ini juga mencatat sejarahnya tersendiri apabila berjaya muncul artis wanita paling lama bertakhta pada kedudukan nombor satu carta lagu popular pada dekad ini, apabila dicampur kesemua lagu juara miliknya (37 minggu kesemuanya).
Dia juga penyanyi wanita paling banyak mempunyai lagu dalam kedudukan top 5 dan top 10 pada dekad ini, dengan 12 lagu kesemuanya. Beyonce turut memegang rekod penyanyi dengan lagu top 40 paling banyak pada tempoh serupa (18 lagu).
Segala kejayaan itu pula bukan datang dengan mudah kerana dia pernah menjalani latihan menyanyi dan menari ala tentera apabila bapanya mengadakan kem khas untuk tujuan berkenaan, ketika dia masih bersama kumpulan lama.
Begitu juga penyanyi ini teruk dilanda gangguan emosi apabila Destiny’s Child sekitar tahun 2000 tatkala dua anggotanya, LeToya Luckett dan LaTavia Roberson cuba memisahkan kumpulan itu daripada pengurus Matthew Knowles, yang juga bapa Beyonce, pada awal karier kumpulan itu dulu. Pelbagai kritikan disiarkan terhadap dirinya dan kumpulan berkenaan.
Kata Beyonce, dia berjaya menyembunyikan kesengsaraan dihadapinya ketika itu kerana Destiny’s Child baru saja meraikan kejayaan single mereka. Sedangkan, dia pernah berkurung beberapa hari dalam bilik dan tidak mampu menelan makanan dek tekanan perasaan yang bukan kepalang. Apatah lagi ketika itu dia ditinggalkan kekasih yang dicintainya selama tujuh tahun.
Sikap berahsia pula sememangnya cukup sinonim dengan Beyonce, sebagaimana dia berjaya merahsiakan perhubungannya dengan rapper Jay-Z buat beberapa ketika, sehinggalah semakin ramai peminat memperkatakannya. Pada hakikatnya perhubungan antara dua bintang berkenaan sudah bermula seawal 2002, hasil kerjasama yang terjalin menerusi penerbitan beberapa projek rakaman.
Khabar angin mengenai perkahwinan kedua-duanya pula sudah mula tersebar sejak 2005, tetapi kata Beyonce, bagaimana pula mereka dikatakan sudah berkahwin apabila bertunang pun tidak pernah.
Begitupun, pokok takkan bergoyang kalau tiada angin. Pasangan itu akhirnya melangsungkan perkahwinan pada 4 April tahun lalu, di New York. Hanya pada 22 April, penyatuan dua bintang ternama ini sampai ke pengetahuan umum.
Nama penyanyi ini sekali lagi menjadi sebutan apabila penyanyi Hip Hop terkenal, Kanye West, mengganggu ucapan kejayaan bintang remaja, Taylor Swift, pada Anugerah Muzik Video MTV 2009, baru-baru ini.
Dalam kejadian berkenaan, penyanyi lelaki kulit hitam itu tiba-tiba mengambil mikrofon yang dipegang Swift ketika dia berucap selepas menerima trofi Video Wanita Terbaik. Kata West di atas pentas di hadapan ribuan penonton yang terkejut dengan tindakannya, video Single Ladies (oleh Beyonce) ialah antara video terbaik sepanjang hayat.
Video Single Ladies (Put a Ring on It) sememangnya produk yang cukup berjaya, termasuk anugerah Video Terbaik pada Anugerah BET 2009. Ia turut dicalonkan bagi sembilan anugerah pada Anugerah Muzik Video MTV 2009. Pada majlis itu, ia memenangi trofi Video Terbaik dan dua anugerah lain.
Bagaimanapun, selepas beberapa minggu, Beyonce belum memberikan sebarang ulasan terhadap perlakuan West yang cuba mempertahankan kehebatan video Single Ladies miliknya itu. Hanya pada majlis anugerah menghargai pembabitan artis wanita dalam muzik anjuran Billboard berkenaan, Beyonce membuka mulut.
Sedangkan, sejak kejadian terbabit, pelbagai peringkat selebriti sudah memberikan komen termasuk Green Day dan suaminya sendiri, sehinggalah kepada bekas Presiden, Jimmy Carter dan Presiden Barack Obama.
Kata Beyonce, dia sangat malu dengan tindakan penyanyi Hip Hop itu.
“Saya tahu niat sebenarnya dan saya tahu dia cuba mempertahankan sebuah karya seni. Dia juga berkata pada saya sewaktu nama calon diumumkan, saya akan memiliki anugerah ini. Apabila nama saya tidak dipanggil, dia betul-betul terkejut,” kata Beyonce kepada pengarang majalah O: The Oprah Magazine, Gayle King.
Menurut Beyonce, dia tidak percaya apabila melihat West mula berjalan ke pentas dan dia benar-benar tidak dapat menahan malu sebaik saja penyanyi itu mula membuka mulut.
“Namun, pada akhirnya semua berakhir dengan baik dan majlis itu muncul malam yang amat hebat. Taylor Swift sendiri merasai detik gemilangnya. Saya pula tidak payah memberikan ucapan kemenangan,” kata penyanyi wanita itu sambil ketawa.
Konsert di Kuala Lumpur
SETELAH sekian lama menanti, perkhabaran kedatangan Beyonce mengadakan konsert di Malaysia tentunya amat melegakan hati peminat tegar penyanyi ini. Persembahan sulung Beyonce di negara, I Am … World Tour Live in Malaysia 2009, dibawakan oleh Maxis. Ia bakal diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, jam 8 malam, 25 Oktober ini.
Menurut kenyataan dikeluarkan Maxis, semua pelanggan Hotlink dan Maxis dapat menikmati potongan harga pada semua tiket yang dibeli. Dua tempat duduk terbaik pada konsert itu yang berharga RM583 dan RM383 disediakan secara eksklusif untuk pelanggan Hotlink dan Maxis dan ia boleh diperoleh dengan potongan sebanyak 20 peratus.
Bagi peminat yang ingin membeli tiket lain pula (RM283, RM183 dan RM93), mereka masih boleh mendapat potongan sebanyak 10 peratus.
Hotlink turut melancarkan laman web rasmi konsert pertama Beyonce di negara ini, www.beyoncekltour.com.my. Diwujudkan bagi memberikan maklumat terperinci mengenai persembahan berkenaan, ia juga membolehkan peminat mendapatkan maklumat mengenai parti pra-konsert, berita terbaru mengenai siri jelajahnya, rajah kedudukan kerusi pada konsert serta perkhidmatan kandungan telefon bimbit.
Sebuah pertandingan juga akan dianjurkan di saluran interaktif itu, dengan 50 tiket menyaksikan konsert Beyonce menjadi taruhan.
Tiket boleh didapati daripada Axcess Ticketing (03-77115000) mulai sekarang sehingga 25 Oktober ini. Pelanggan Hotlink dan Maxis cuma perlu menunjukkan telefon bimbit mereka, dengan logo My Maxis logo pada skrin, pada tiket kaunter untuk mendapatkan potongan harga.
Sebelum Beyonce, Hotlink sebelum ini pernah membawakan persembahan hebat artis antarabangsa seperti Rossa, Avril Lavigne, Gwen Stefani, Sean Kingston, Pussycat Dolls, Fort Minor dan Black Eyed Peas ke negara ini.
Lagu popular Beyonce:
* 2003: Crazy in Love, Baby Boy, Me Myself and I
* 2004: Naughty Girl
* 2006: Deja Vu, Ring the Alarm, Irreplaceable
* 2007: Beautiful Liar, Green Light
* 2008: If I Were a Boy, Single Ladies (Put a Ring on It)
* 2009: Diva, Halo, Ego, Sweet Dreams
