Industri Halal

Penerimaan dan kesedaran terhadap industri halal kian meningkat berdasarkan kepada minat mendalam yang ditunjukkan oleh syarikat tempatan dan antarabangsa, untuk menyertai Program Latihan Halal (HAP) Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC).

Dengan kira-kira 8,000 peserta pada masa ini, HDC menjangka melatih kira-kira 10,000 peserta tahun depan, kata Naib Presiden Intergriti Halal, Mariam Abdul Latif.

“Ketika kita mula ditubuhkan pada 2007, hanya terdapat 50 peserta tetapi jumlah itu telah melonjak kepada kira-kira 8,000 sehingga kini,” kata beliau pada taklimat media di sini hari ini.

Selain daripada menjadikan Malaysia hab halal global, beliau berkata, perbadanan itu kini sedang menghalakan fokusnya menjadikan Malaysia sebuah pusat rujukan antarabangsa untuk latihan halal.

HDC juga kini bekerja keras mengusahakan modul-modul baru untuk membantu peserta industri menjadi pengusaha perniagaan halal yang berdaya saing di seluruh dunia.

HDC sekarang mempunyai sembilan modul dan akan memperkenalkan dua lagi modul menjelang akhir tahun ini.

“Kami juga mampu menyeragamkan program- program latihan ini untuk menyesuaikannya dengan keperluan unik para pelanggan yang pelbagai budaya.

“Pakar-pakar kami telahpun melatih pihak-pihak yang berminat di Australia, Turki, China, Jepun dan Brunei,” tambah beliau.

HDC juga telah bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk penyedia latihan berkemahiran seperti Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang dan Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang untuk menyediakan latihan dan memasarkan program latihannya.

This entry was posted in Agama, Malaysia and tagged , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply