“Saya tak laku… tak ada yang mahukan saya,” kata Rossa dengan gelak besar sambil menampar paha seorang rakan media yang duduk di sebelahnya.
Mengapa Rossa berkata demikian? Sebenarnya itulah jawapan spontan Rossa apabila ditanya sama ada dirinya turut menjadi buruan VIP atau lelaki daripada golongan ahli korporat selepas sah bergalar janda empat bulan lalu.
Rossa kelihatan ceria dan bersahaja bercerita pasal kehidupan peribadinya kepada media hiburan di Malaysia. Semestinya suasana itu tidak berlaku semasa dia di Jakarta dan berdepan dengan pihak media di sana.
Rossa
Rossa datang lagi ke Kuala Lumpur.
Kata Rossa kehidupannya biasa sahaja dan dia sudah biasa melaluinya. Apatah lagi dia sibuk dengan kerjaya. Ditambah dengan peranannya sekarang sebagai duta pelancongan kota Jakarta mempromosikan Enjoy Jakarta.
Rossa tidak memikirkan pasal jodoh sebaliknya hanya memikirkan kerja sahaja. Rossa juga tidak bergaduh dengan mantan suami, Yoyok sebaliknya masih berbicara terutamanya dalam hal berkaitan anak tunggal mereka, Rizky Langit Ramadan.
Cuba-cuba juga jolok, lelaki bagaimanakah yang ingin dicarinya. Rossa sedia berkongsi walaupun jawapannya secara berseloroh. Dalam seloroh itu, penuh makna yang tersirat.
“Kalau boleh biarlah yang banyak rumah dan keretanya,” sambut Rossa diiring ketawa sekali lagi. Penuh makna. Maksudnya Rossa mahu mencari lelaki yang kukuh kedudukan ekonominya.
Tak taste Pasha Ungu
Masih ada yang nak tahu gosip hubungan baiknya dengan penyanyi utama kumpulan Ungu, Pasha yang kini menduda. Kata Rossa, mereka hanya berkasih di panggung. Selepas selesai mengadakan persembahan bersama, masing-masing membawa hal sendiri.
Taste tak kat Pasha? Kedengaran suara jahat sambil bergurau dengan Rossa.
“Nggak,” jawab Rossa selamba menutup bicara pasal Pasha.
