BARU-BARU ini, bertempat di Giant Hypermarket, Kota Damansara, Selangor, telah diadakan Peraduan Rebutan Beli-belah Ceria, Dumex Dugro.
Peraduan tersebut yang hanya dibuka kepada ahli Kelab Mama Ceria telah bermula awal Oktober lalu dan sepanjang satu bulan peraduan tersebut berlangsung, ia mendapat sambutan yang hangat daripada ahli kelab.
Pada pusingan akhir baru-baru ini, kira-kira 60 keluarga merebut barangan runcit bernilai RM51,000 dalam sesi membeli-belah selama 90 saat.
Peraduan ini dianjurkan oleh Danone Dumex (Malaysia) Sdn. Bhd. (Danone Dumex) khusus untuk GCH Retail Sdn. Bhd. (Giant).
Peraduan berkenaan berakhir dengan acara yang sangat bermakna dan penuh keceriaan apabila pasangan Duta Jenama Dumex Dugro, Vanidah Imran dan Rashidi Ishak; Pengarah Jualan Danone Dumex Malaysia, Joris Bernard; Pengurus Pasaran, Soo Woon Yee serta Penasihat CareLine, Georgina Liew dan Fatin Amirah Jamaluddin yang membentuk tiga pasukan berpasangan, menyertai rebutan ‘cepu emas’ untuk amal dan berjaya mendapatkan barangan bernilai RM3,295.65 untuk Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah, Cheras.
Dalam rebutan cepu emas di kalangan pemenang, Ong Ing See dari Kedah muncul sebagai ‘pembeli mama’ terbaik yang mendapat barangan bernilai RM2,502.85 dalam masa 90 saat.
Tempat kedua disusuli oleh Teng Ai Lee dengan produk bernilai RM1,716.10 dan Teoh Suan Hua dari Johor mendapat tempat ketiga yang memperoleh barangan bernilai RM1,623.80.
Sementara itu, menurut Joris, sebagai pembekal produk pemakanan kanak-kanak yang telah meluas seiring dengan pertumbuhan negara selama lebih 50 tahun, Dumex memberi banyak penekanan kepada keperluan pemakanan kanak-kanak dalam semua peringkat umur untuk memastikan mereka dapat membesar dengan sihat dan ceria.
”Pada masa yang sama, kami menyedari dan menghargai peranan ibu. Peraduan ini adalah cara kami menunjukkan penghargaan kepada ahli Kelab Mama Ceria Dumex Dugro kerana sokongan dan keyakinan mereka yang berterusan kepada jenama kami selama ini,” ujarnya ketika berucap merasmikan peraduan tersebut.
