IKA hendak diukur pembabitan Anita Sarawak dan Ismail Haron dalam bidang seni dengan usia penulis, sememangnya jarak itu terlalu jauh.
Masakan tidak, sewaktu mereka berdua mula mengecapi nikmat populariti sebagai artis ternama sekitar awal tahun 70-an dulu, penulis belum dilahirkan lagi.
Tetapi, penulis bertuah kerana mendapat pendedahan daripada ibu tercinta yang banyak mengkhabarkan kisah tentang bagaimana penangan pasangan duet sewaktu mereka mula-mula muncul dengan album duet pertama mereka dulu.
Lantas, apabila berpeluang menyaksikan konsert Anita dan Ismail yang diadakan di Max Pavilion, Singapura baru-baru ini, hati ini benar-benar teruja.
Maklumlah, sebelum ini penulis hanya pernah mendengar lagu-lagu nyanyian mereka menerusi cakera padat sahaja.
Jadi, inilah peluang untuk menonton persembahan mereka secara langsung buat pertama kalinya dan apa yang boleh dikatakan, konsert berkenaan memang benar-benar menghiburkan!
Diberi nama Konsert Rahsiaku Rahsiamu Anita Sarawak dan Ismail Haron, persembahan Anita dan Ismail sememangnya menggamit nostalgia khususnya mereka yang hidup di zaman kegemilangan Anita dan Ismail.
Apatah lagi, Konsert Rahsiaku Rahsiamu ini juga merupakan konsert pertama dua anak seni yang tiada tandingan ini sepanjang mereka bergelar penghibur lebih empat dekad lalu.
Tepat pukul 9 malam, set pertama dimulakan dengan persembahan solo Anita yang terus menghangatkan malam tersebut dengan rangkaian tiga lagu secara medley.
Tampil dengan sut lengkap dan bergaun kasa berwarna hitam rekaan Ashley Wong, Anita seperti biasa tetap lincah di atas pentas sewaktu menyampaikan lagu Ular, Akhirnya Kini Pasti dan Seksis.
Kemunculan Anita sahaja sudah menggamatkan dewan dengan sorakan dan jeritan peminat yang dari awal lagi sudah tidak sabar untuk menyaksikan persembahannya.
“Saya berasa begitu bangga dan gembira untuk kembali ke tanah kelahiran saya untuk mengadakan konsert selepas hampir 10 tahun tidak berbuat demikian.
“Bukan saya seorang sahaja, tetapi kemanisan konsert ini adalah apabila buat pertama kalinya saya berganding semula dengan rakan duet saya yang cukup saya hormati,” kata Anita dalam nada terharu sambil disambut dengan tepukan gemuruh 4,000 orang audiens yang membanjiri Max Pavilion pada malam itu.
Tanpa melengahkan masa, Anita seterusnya menyampaikan lagu Sophisticated Lady yang merupakan lagu paling banyak dinyanyikannya sepanjang empat dekad bergelar penghibur.
Tidak lengkap rasanya persembahan Anita seandainya dia tidak turun dari pentas untuk berceloteh, bergurau, bercanda serta mengusik penonton.
Memang aura dan karisma Anita sebagai seorang penghibur masih belum pudar dan sebaik sahaja dia turun dan berjalan mengelilingi dewan, peminat sudah tidak tahan lagi lantas mengerumuninya dan mengambil gambar bersamanya.
