Mampukah Ziana Zain membayar hutang

KEMUNCULAN penyanyi Ziana Zain, 42, memeriahkan dunia seni cukup dinanti-nantikan selepas setahun menyepi untuk memberi sepenuh tumpuan kepada kelahiran anak ketiga. Apatah lagi Ziana yang mendapat berita melahirkan kembar, mengalami masalah kesihatan pada akhir usia kandungan.

Kehadiran penyanyi dan pelakon yang mendapat jolokan Jennifer Lopez Malaysia itu kerana wajah seiras mereka dengan gaun hitam ciptaan Syaiful Baharim mencuri tumpuan kira-kira 500 tetamu yang hadir. Ternyata bukan saja wajah mereka dikatakan ada persamaan, Ziana juga ikut jejak Jennifer atau J Lo melahirkan kembar dua apabila melahirkan Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh pada 24 Julai lalu. Enam bulan selepas melahirkan anak, Ziana berjaya mendapatkan berat badan asalnya, 51 kilogram.

Kata Ziana, kemunculannya itu memberi petanda dia kini bersedia untuk melancarkan semula kerjaya seninya. Dalam pertemuan itu, Ziana juga menjelaskan isu keengganannya berkongsi foto wajah bayi kembarnya. “Bukan saya sengaja hendak sorok bayi kepada peminat dan media. Sebenarnya selain tidak mempunyai pembantu, masa itu bayi saya dilahirkan tidak cukup bulan iaitu lapan bulan. “Ariel dan Kaseh ditempatkan dalam ‘incubator’ sebaik mereka dilahirkan. Ariel yang hanya seberat 2.1 kilogram berada dalam incubator selama seminggu sementara Kaseh pula dua minggu. “Kaseh terpaksa ditahan lebih lama kerana naik turun berat badannya tidak menentu. Masa mengandungkan mereka juga, saya mengalami masalah kesihatan apabila disahkan menghidap darah tinggi. “Justeru, dengan komplikasi yang dihadapi, doktor menasihati saya supaya berehat selain memastikan bayi tidak terdedah dengan udara luar kerana bimbang memberi kesan kepada kesihatan mereka.

“Bagaimanapun, Alhamdulillah Ariel dan Kaseh bukan saja bayi sihat malah sangat aktif. Lebih-lebih lagi Ariel yang gemar tersenyum. Manakala saya sendiri sudah pulih malah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk kembali aktif. “Tambahan pula, sekarang ini saya sudah mempunyai pembantu yang diambil sebulan lalu,” katanya. Ziana yang melonjak menerusi lagu Madah Berhelah dan Anggapanmu, mendirikan rumah tangga dengan Ketua Pramugara Sistem Penerbangan Malaysia, Armin Zaharin pada 2 Mei 1998. Sebelum kehadiran pasangan kembar itu, kehidupan pasangan ini diserikan lagi dengan kelahiran cahaya mata lelaki, Muhammad Aiman, 10, dan Muhammad Ammar, 7. Kelahiran kembar ini bukan sesuatu yang mengejutkan kerana ibu Ziana sendiri adalah pasangan kembar, tetapi mereka kembar seiras. Sempat berkongsi pengalamannya menjaga pasangan kembar Ariel dan Kaseh itu, akui Ziana ia memerlukan kesabaran yang cukup tinggi.

“Memang seronok ada anak kembar kerana beranak sekali dapat dua terus (ketawa) tapi itulah kena banyak bersabar dan berkorban. Hari ini misalnya, saya bangun jam 4 pagi dan sampai sekarang belum sempat rehat atau tidur.

“Sejak kehadiran Ariel dan Kaseh, saya memang tidak ada masa untuk diri sendiri. Orang kata, selalunya kembar akan bangun sekali, tidur sekali dan menyusu sekali. Tapi anak saya ini lain sikit. Kalau Ariel bangun dulu, Kaseh akan bangkit sejam kemudian. “Waktu mereka bangun, minum susu dan hendak tidur selalu tidak sama jadi bila masa saya nak berehat serta dapat tidur dengan cukup? Itu belum lagi selesema atau demam mereka.

“Bagaimanapun, saya bersyukur, selepas sekian lama mengharapkan kehadiran bayi perempuan akhirnya permintaan dimakbulkan. Kalau dulu, membeli-belah gaun kanak-kanak untuk anak saudara, sekarang dapat belikan untuk anak sendiri.

“Sampaikan Anuar (Anuar Zain) tegur anak awak dah macam pokok Krismas. Pokok Krismas pun pokok Krismaslah, saya tidak kira (ketawa),” katanya. Kata Ziana, dia bercadang mengadakan satu majlis khas tidak lama lagi bagi memperkenalkan kembarnya itu kepada peminat, tetapi belum dapat memastikan tarikh sebenar. Mengenai kerjaya seninya, Ziana dalam perancangan mengeluarkan single terbarunya tidak lama lagi. Selain itu, 2010 akan menyaksikan Ziana terbabit dengan program realiti serta pementasan teater. “Bersesuaian dengan perubahan yang dialami pasaran muzik ketika ini, menghasilkan single saya kira adalah pendekatan yang terbaik.

“Insya-Allah, tahun ini juga saya akan terbabit sebagai mentor dalam program realiti Mentor musim keempat. Sebenarnya sejak musim lepas lagi TV3 mahukan saya, namun terpaksa menolaknya kerana berbadan dua.

“Justeru tahun ini, saya harap dapatlah membayar hutang (memenuhi permintaan) kawan-kawan. Sekarang ini, saya juga masih mempertimbangkan tawaran membintangi teater.

“Selain terbuka untuk menerima tawaran filem mahupun drama asalkan ia watak yang ditawarkan bersesuaian serta kena dengan jadual saya,” katanya.

Bertepatan dengan gelaran ‘trendsetter’ yang diberikan kepadanya, Ziana diberi penghormatan melancarkan segmen baru murai.com.my, Stailista berkisar kepada fesyen artis.

Ziana mencuri perhatian lensa apabila muncul selepas barisan peragawati dari Ford Model’s Supermodel of the World Malaysia termasuk model tinggi lampai Fadzlun memperagakan fesyen rekaan Hazwani Osman, Amir Luqman, Khairi Sufi, Sya Shaharani dan Hatta Dolmat.

Dengan iringan lagu She Works Hard For The Money nyanyian Donna Summer, Ziana menjayakan catwalk bersama gaun petang hitam dan anting-anting mutiara Rafflesia.

Majlis bertemakan suasana 80-an, Fabulous 80′s, diserikan dengan acara permaidani merah serta persembahan nyanyian dari artis popular tanah air sesuai dengan tema dimulakan persembahan tarian Moonwalk Michael Jackson oleh Riot KOOL. Alyah yang baru saja beraksi di Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL24) menyampaikan lagu yang pernah dipopularkan Francisca Peter, Sekadar Di Pinggiran yang juga juara pertama AJL pada 1986. Sementara Izwan Pilus dan adiknya, Aril AF7 berpadu suara dalam segmen tribute kepada David Arumugam dan Loga.

Turut membuat persembahan, Fazli Zainal mendendangkan lagu popular WHAM yang melonjakkan nama George Michael, Careless Whisper manakala Raja Azura menarik perhatian dengan gaya manja Raja Ema ketika menyanyikan lagu Jejaka Idaman. Turut membuat persembahan, bintang era 80-an, Ramlah Ram dengan lagu Kau Kunci Cintaku.

Selebriti baru dan veteran yang menyerikan lagi majlis ulang tahun murai itu adalah Ella, Linda Onn, Lisa Surihani, Mawi dan isteri, Ekin, Farawahida, Amylea, Siti Nurdiana Linda Onn, Syazliana, Azwan Ali, Azizul Khamis, Julie Dahlan, Hanny Nurzara, Akim AF7, Leina Hangat, Siti Nurdiana, Rini, Qhaud AF7, Aishah AF7, Eja, Rohana Jalil, Ayati Tasrip, Akim, Shila OIAM, Lufya AF, Riot KOOL dan Farhan.

Sebagai menghargai usaha selebriti, pembaca termasuk pihak media yang tampil bergaya memenuhi tema, turut diberi anugerah pakaian terbaik. Pelakon jelita Lisa Surihani mendominasi kategori wanita manakala Iz (One In A Million) lelaki.

This entry was posted in Artis and tagged , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Comments are closed.