Nabila dan anak kandungan
Read Here
DENGAN usia kandungannya mencecah lima bulan dan bakal melahirkan anak sulung penghujung Mei ini, pelakon Nabila Huda Suhaimi, 26, mengakui dirinya belum berkesempatan memanjakan diri membelai perutnya yang kian membesar.
Mana tidaknya, apabila mengetahui dirinya mengandung, Nabila terikat dengan komitmen berlakon dalam drama bersiri Na-O-Mei selama empat bulan. Penggambaran pula dilakukan di Pulau Perhentian selama seminggu, di Langkawi sebulan dan selebihnya sekitar Kuala Lumpur. Sepanjang tempoh itu, Nabila juga berjauhan dengan suami, Zaidy Zailani, tetapi dia sentiasa diingatkan suaminya supaya menjaga diri dan kandungan. Anak rockers terkenal, Amy Search ini berkata, dia tidak terfikir untuk menarik diri daripada berlakon dalam drama arahan Fairuz Loy itu apabila disahkan mengandung kerana persetujuan sudah pun diberikan tiga bulan sebelumnya.
Tambahan pula, watak Camelia yang ditawarkan kepadanya cukup menarik dan Nabila begitu teruja memulakan penggambaran kerana ada babak memerlukannya melakukan aktiviti lasak menyelam.
“Saya tawakal saja kerana ini satu tanggungjawab yang harus saya pikul. Ketika itu tidak fikir sangat diri saya mengandung sebaliknya buat yang terbaik menjayakan watak Camelia.
“Malah, saya juga tidak keberatan melakukan babak menyelam untuk penggambaran yang dilakukan di Pulau Perhentian selama seminggu walaupun ketika itu peringkat awal mengandung. “Saya lakukan pun selepas meminta nasihat doktor. Katanya, boleh menyelam asalkan tidak lebih dari kedalaman 10 meter.
“Alhamdulillah, saya tidak menghadapi masalah cuma ada masalah sikit apabila kurang selesa memakai baju menyelam yang ikut bentuk badan. “Saya juga kasihan dengan pengarah dan kru berhadapan masalah disebabkan perut saya yang makin membesar. Contohnya pada awal kehamilan, perut belum nampak, tetapi apabila kandungan masuk empat bulan, susah untuk disorokkan menyebabkan sukar mendapatkan sudut sesuai dan tidak menampakkan perut.
“Saya harap penonton faham apabila konti muka saya lari kerana adakalanya muka saya kecil, tetapi adakalanya tembam kerana penggambaran dijalankan selama empat bulan,” katanya ketika ditemui pada majlis ramah mesra bersama pelakon Na-O-Mei, baru-baru ini.
Kata Nabila, selepas selesai penggambaran Na-O-Mei pada 22 Januari lalu, dia berpeluang berehat dan memberi tumpuan membuat persediaan menyambut orang baru. Bagaimanapun, Nabila yang juga pengacara 1,2 Jus, akan terus berlakon selagi mampu kerana bimbang timbul rasa bosan jika duduk di rumah. “Duduk rumah bosan juga, lebih baik saya bekerja, Tapi bukan untuk drama bersiri yang menuntut waktu penggambaran yang panjang sebaliknya mungkin telefilem yang hanya memakan masa empat atau lima hari. Sekarang saya menjayakan program Hits 1 untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM).
“Saya dan suami teruja menanti kelahiran bayi sulung yang dijangka perempuan berdasarkan ujian mengesan jantina. Paling gembira tentulah papa (Amy) kerana bakal menyambut cucu perempuan. “Maklumlah papa ada ada dua anak lelaki. Malah, saya dan suami juga sepakat meminta papa memberikan nama bayi kami nanti,” katanya.
Mengenai persiapan, Nabila berkata buat masa ini dia belum membeli barang-barang bayi kerana menganggap masih terlalu awal. Katanya, dia mahu melakukannya dua bulan sebelum melahirkan.
Nabila juga mengakui tidak mengidam yang teruk-teruk sepanjang kehamilan sebaliknya hanya suka makan makanan yang sebelum ini tidak disukai seperti yang manis-manis. “Dulu saya tidak suka makan coklat dan aiskrim, tapi sekarang suka. Sebelum mengandung dulu saya kuat makan, tetapi sekarang saya makan ikut masa seperti pagi, tengah hari dan malam,” katanya.

Use the form below to search the site: