BELUM reda kisah cinta kononnya dia menjalinkan hubungan dengan seorang kerabat diraja dari sebuah negeri di Utara tanah air, nama Nurul Huda Abdul Wahab kembali panas apabila kontraknya bersama syarikat rakaman Metadome Sdn. Bhd. atau kini dikenali sebagai Alibi Music Sdn. Bhd. ditamatkan baru-baru ini.
Penamatan kontrak bukanlah satu perkara asing dan membimbangkan bagi sesetengah artis, cuma apa yang kurang enak didengar apabila pihak pengurusan syarikat rakaman itu hanya membuat satu panggilan telefon untuk memaklumkan hal tersebut.
Pancaindera difahamkan, Nurul agak kecewa dengan tindakan pihak pengurusan yang tidak mempamerkan sikap profesional mengenai tindakan tersebut memandangkan ini bukanlah satu budaya yang sihat dalam industri muzik.
Ketika ditemubual baru-baru ini, Nurul sedikit terkejut dengan cerita tersebut tetapi tidak menafikan apa yang telah berlaku kepada dirinya dan mengakui bahawa dia kecewa dengan tindakan mereka yang tidak bersikap profesional.
“Memang kontrak saya dan pihak syarikat rakaman sudah tamat pada awal Januari yang lalu. Ketika itu pihak syarikat sibuk dengan konsert Alibi Kosmik sempena pertukaran nama baru mereka.
“Pada malam tersebut saya sepatutnya membuat persembahan dalam konsert itu. Tetapi dalam masa yang sama saya mempunyai persembahan di tempat lain.
“Kemudian pihak pengurusan menghubungi saya dan menyatakan saya tidak perlu membuat persembahan pada konsert mereka memandangkan kontrak saya sudahpun tamat.
“Saya tahu kontrak tamat. Cuma kenapa mereka tidak memanggil saya untuk berbincang mengenainya? Saya tak kisah jika mereka tak mahu sambung, tapi biarlah ia lebih profesional dan beradab,” katanya tanpa berselindung.
Setahun bernaung di bawah label Metadome, Nurul sempat menghasilkan sebuah album yang berjudul Tika Cinta yang sudahpun dipasarkan pada tahun lalu.
Penyanyi yang popular dengan lagu Tangis Syukur ini juga berterima kasih kepada pihak syarikat rakaman kerana melahirkan album tersebut tetapi dalam masa yang sama dia turut meluahkan kekecewaan apabila tidak banyak promosi yang dibuat selepas menghasilkan album Tika Cinta.
“Setiap kali membuat persembahan, peminat akan bertanyakan hal album. Kenapa susah nak dapatkan album? Kenapa album Tika Cinta tiada di pasaran? Malah saya sendiri yang membawa album untuk dijual kepada peminat.
“Jadi adakah salah saya? Pihak syarikat sendiri tidak membuat perancangan dan promosi menyebabkan album itu tak laku. Mungkin inilah yang membuatkan mereka menamatkan kontrak saya walaupun ada perjanjian mulut sebelum ini.
“Bagi saya lagu dalam album ini memang bagus. Saya tak rugi apa-apa sebab saya hanya bergantung kepada persembahan pentas. Bagi saya mereka yang rugi sebab sudah mengeluarkan modal sebelum ini.
“Ada yang mengatakan lagu dalam album saya tidak dimainkan di radio. Jadi salah siapa? Lagu yang ada memang berkualiti tetapi tidak ada tempat di stesen radio.
“Jika mengikut pandangan saya, pasukan promosi yang ada dalam syarikat rakaman itu kurang membuat kerja-kerja berkaitan promosi. Tak bolehlah nak menjual nama Nurul Wahab tanpa sebarang promosi yang baik,” kata janda anak satu ini lagi.
Selama 15 tahun menghambakan diri dalam dunia seni, Nurul pernah bernaung di bawah label BMG, Polygram, Universal Music Malaysia dan Warner Music Malaysia.
Nurul menjelaskan tidak pernah berlaku perkara sedemikian selama ini (merujuk kepada penamatan kontrak melalui telefon) memandangkan semuanya bersikap profesional.
Walaupun perkara yang berlaku itu di luar jangkaan tetapi dia tidak patah semangat dan tidak perlu gusar dengan apa yang telah berlaku.
Baginya kehidupan dan kerjayanya perlu diteruskan walau apa halangan yang menimpa dan sebagai manusia biasa tidak ada apa yang perlu dikesalkan.
“Saya juga ada menerima tawaran daripada beberapa syarikat rakaman yang lain tetapi semuanya masih dalam pertimbangan. Nak membuat keputusan bukan mudah memandangkan semuanya perlu diteliti terlebih dahulu.
