Yusry berkahwin

ADIK-beradik yang juga anggota kumpulan KRU seorang ini, Yusry Abdul Halim sememangnya sentiasa menjadi perhatian ramai. Bukan sahaja melibatkan perihal kerjaya nyanyian malah, urusan peribadinya.

Begitulah jika diri sudah melangkah ke dunia glamor.

Mahu atau tidak, segalanya bagai perlu dikongsikan bersama peminat yang sedari dulu menyokong kerjaya seninya sejak muncul sebagai salah seorang daripada tiga anggota KRU bersama abangnya, Norman dan adiknya, Edry sekitar tahun 1992.

Jejaka tinggi lampai berusia 36 tahun itu sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon popular, Erra Fazira pada 15 tJun 2003 namun, jodoh mereka tidak berpanjangan.

Sejak kecundang di alam rumah tangga, si pelantun lagu Dekat Padamu itu masih lagi memilih untuk hidup ‘bersendirian’.

Mungkinkah kerana serik atau terlalu memilih tentang calon yang bakal menjadi suri hidupnya kelak?

Terbuka soal jodoh, pada pertemuan di Wisma KRU, Jalan Jelatek, Kuala Lumpur baru-baru ini, setenangnya Yusry memberitahu, dia langsung tidak memilih soal pasangan hidup.

“Kelompok kehidupan saya, selain rakan-rakan yang rapat adalah kenalan sesama artis yang pernah bekerjasama dengan saya sebelum ini.

“Saya tidak tetapkan jodoh sama ada bersama artis ataupun tidak kerana saya jenis yang tidak bersosial. Jika keluar dengan rakan-rakan pun, masih lagi dalam lingkungan itu.

“Saya akui memang saya punyai ramai kawan tetapi untuk yang istimewa saya masih belum nampak lagi. Kalau ada sekalipun, saya lebih suka berkawan dan kenal lebih lama sedikit.

“Sehingga kini saya masih belum terfikir untuk berkahwin lagi. Saya tidak mencari tetapi jika terjumpa saya tidak menolak,” katanya menjawab pertanyaan banyak pihak.

Enggan terburu-buru, akui Yusry, dia langsung tidak diberi tekanan oleh keluarga lantaran pernah berkahwin sebelum ini.

Tidak menolak

Duda popular ini bagaimanapun tidak menolak sekiranya jodohnya ditentukan Tuhan dengan seorang janda.

Jika Norman yang sebelum ini membujang selamat mendirikan rumah tangga dengan Shireen Hashim yang bertugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), KRU International pada Ogos tahun lalu, Edry pula bakal menimang cahaya mata keempat tidak lama lagi.

Melihat kepada dua beradiknya yang kini bahagia melayari kehidupan berumah tangga, malah mempunyai bilangan anak saudara yang semakin bertambah tidak langsung merunsingkan dirinya.

Bagi dirinya yang pernah berkahwin tetapi masih belum dikurniakan anak, mampukah lari daripada naluri ingin mempunyai keluarga sendiri dan anak sebagai pelengkap kehidupan?

Benar, dalam perkahwinan anak merupakan sesuatu yang paling didambakan namun, bagi Yusry, ia terpulang kepada persepsi masyarakat.

“Dalam perkahwinan bagi saya banyak lagi perkara yang lebih penting. Beri kasih sayang dan tumpuan sebaiknya kepada keluarga itu yang lebih utama saya rasa,” katanya yang tidak meletakkan sebarang syarat tentang wanita pilihan.

KRU hasil album baru

Menyoroti perkembangan terbaru Yusry, tidak lama lagi dia bakal merakamkan sebuah single terbaru, Doktor Pakar Cinta yang dijangka bakal dimuatkan dalam album terbaru KRU tidak lama lagi.

Norman yang ketika ditemui memberitahu, terdapat 14 buah lagu termasuk single nyanyian Yusry telah dikumpul oleh mereka sehingga kini.

“Album ini bakal menampilkan KRU yang baru dan kami lebih fokuskan kepada peminat KRU yang lama dan juga yang baru.

“Kami mahu cari kelainan dan tidak mahu ulangi konsep seperti yang pernah kami hasilkan sebelum ini. Sehingga kini kami masih mengumpul bahan dan Insya-Allah Jun single pertama akan keluar,” kata Norman lagi.

Kali terakhir KRU menghasilkan album ialah 10 di Skala Ritcher pada tahun 2006.

Sebanyak 14 buah album telah dihasilkan oleh mereka sebelum ini termasuk Canggih (1992), reKRUed (1993), Awas (1994), Beware: Awas Da Soundtrack (1995), Oh La La (1996), Krumania (1997) dan The Way We Jam (1998).

Lain-lain album ialah Formula Luar Biasa (1999), Tyco (2000), Krujaan (2000), Empayar Krujaan (2002), Relax (2004) dan Krunisme (2005).

Empat tahun sepi tanpa album apakah agaknya yang menjadi tarikan buat tiga beradik itu untuk kembali merakamkan album?

“Sebelum ini, kami tidak sepi. Setiap tahun kami memang mengeluarkan lagu-lagu terbaru tetapi bezanya orang lain yang menyanyi.

“Puas menghasilkan lagu untuk orang kini kami menghasilkan album terbaru kami pula.

“Album tersebut ada lagu pop dan juga balada bagaimanapun ia masih beridentitikan diri kami sendiri,” kata Edry pula.

Bangga dengan jenama KRU

Selama 18 tahun bergelumang dalam industri muzik siapa sangka kumpulan yang dahulunya ketika awal kemunculan berlatih persembahan di kawasan tempat letak mampu membina jenama yang kukuh pada hari ini.

Bukan sahaja sebagai di bidang muzik sebagai komposer dan penerbit album malah turut melebarkan sayap ke bidang perfileman.

Pernah bergelar pelakon, tiga beradik yang cukup optimis terhadap kerjaya mereka itu hari ini boleh dikatakan sebagai contoh terbaik kepada golongan muda terutamanya kepada golongan artis yang baru melangkah ke dunia glamor.

Jarang sekali dikaitkan dengan gosip panas, tempoh 18 tahun ternyata bukan mudah disempurnakan oleh mereka sehingga ke tahap ini.

“Jenama itu penting bagi kami kerana bukan senang untuk meyakinkan ramai pihak dengan apa yang KRU lakukan sehingga kini,” kata Edry.

Maka, tidak hairanlah apabila nama mereka tercalon sebagai calon akhir kategori artis contoh bagi Anugerah Hip TV, yang julung kali bakal dianjurkan oleh TV9.

Turut tercalon untuk kategori yang sama ialah penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.

“Kami menghargai pencalonan ini. Kami bukan mahu diuar-uarkan untuk dicontohi kerana kami merasa masih ada kekurangan pada kami.

“Kami akui memang begitu komited dalam kerjaya mungkin kerana faktor itulah yang menyebabkan kami tercalon antara lima calon lain,” kata Norman mengulas pencalonan KRU sebagai Artis Contoh untuk Anugerah Hip TV.

This entry was posted in Artis, Yusry and tagged , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Comments are closed.