MASIH terlalu awal untuk meramalkan pelajar Akademi Fantasia 8 (AF8) mana paling hebat walaupun tirai yang paling ditunggu-tunggu itu sudah dibuka.
Namun diukur hanya melalui satu persembahan yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, Sabtu lalu, jelas Nadiawaty Ainul Basir atau Ain, 24, paling menyerlah, sekali gus mendominasi 11 pelajar lain yang turut beraksi mengikut lagu pilihan masing-masing.
Berasal dari Sandakan Sabah, gadis berkerjaya sebagai perunding kecantikan itu memukau penonton dengan kemantapan vokal dan auranya sewaktu mendendangkan lagu hit, The Climb yang dipopularkan ikon remaja, Miley Cyrus.
Pemilihan lagu yang tepat dan nyanyian yang bersih (kurang masalah dari sudut teknikal), ditambah ketrampilan dari hujung rambut hingga hujung kaki, jelas menunjukkan Ain sudah bersedia untuk berada dalam dunia seni.
Pendek kata, Ain punya pesona yang memenuhi ciri-ciri seorang bintang baru dalam ciptaan AF. “Persembahan yang hebat. Kalau untuk persembahan pertama sudah macam ini saya kira sangat bagus. Cuma satu pesanan saya pada Ain, apabila pengajian bermula nanti aplikasikan setiap ilmu yang diberikan tenaga pengajar pada landasan yang betul. Anda punya bakat jangan sampai tergelincir,” kata Aznil Nawawi yang sudah beralih portfolio menjadi pengkritik tetap. Dua lagi peserta yang turut mempamerkan persembahan menarik adalah Muhammed Shahril Mohs Saleh Hussein (Shah), 26, dan Muhammad Alid Kadim (Alif), 19.
Shah berasal dari Klang, Selangor menyampaikan lagu Drama King nyanyian asal Black dan Meet Uncle Hussain (MUH).
Manakala Alif dari Kuala Lumpur memilih lagu Live Like We’re Dying dipopularkan juara American Idol 8, Kris Allen yang mengunjungi Malaysia, baru-baru ini.
Ingatan penonton juga pastinya terpahat kepada peserta bersuara serak basah, Dayang Nor Anum Arjuna Aharun (Anum), 19, yang menyanyikan ‘intro’ lagu Pelesit Kota (Search) sehingga berbaring di lantai pentas. “Kalau awak tidak selesa dengan benda bukan-bukan yang awak terpaksa buat, jangan buat. Sebabnya bila paksa awak akan hadapi banyak masalah. “Intro persembahan tadi garang macam harimau, lepas itu melelong, macam lalok pun ada…dan macam kena tuak pun iya juga,” kata Adlin Aman Ramli juga pengkritik tetap AF8 sambil disambut tawa penonton. Seorang lagi peserta yang turut memikat penonton malam itu adalah jejaka bertubuh genit berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, Ermiza Azwan Zulazrin Chew (Iwan), 20.
Keberaniannya membawakan lagu Cuba dipopularkan Faizal Tahir meskipun dalam keadaan tekak sakit, tetap wajar diberi pujian.
Bagi peminat program realiti paling popular di Malaysia ini, pastinya sedia maklum bahawa Tirai AF adalah konsert pengenalan yang memberi kebebasan kepada peserta menyampaikan lagu kesukaan mereka.
Untuk peringkat ini juga, semua peserta belum berpeluang mengikuti pengajian di dalam akademi bersama tenaga pengajar. Bagaimanapun, ada pelajar tidak menggunakan kesempatan itu sebaik mungkin dan pemuda itu adalah peserta dari Kuching Sarawak, Daus atau nama sebenarnya, Muhd Shahril Firdaus Eli, 22.
Daus seharusnya memilih lagu berlandaskan genre yang mempamerkan kehebatannya sebagai pemuzik indie. Sayangnya dia menongkah arus dengan mendendangkan lagu dance, Bye Bye Bye daripada N’Sync.
Turut tidak mengecewakan, tujuh pelajar lain Zafarina Jamhari (Farina), 28, Ema Suhaimi (Ema), 21, Siti Adira Suhaimi (Adira), 19, Muhd Firdaus Maulana Mohamed (Maulana), 22, Nadia Emilia Roselan (Nad), 22, dan Ahmad Shahir Zawawi (Shahir), 22.
Farina membawakan lagu Tiada Lagi (Mayang Sari), Ema (Tiada Lagi Tangisan), Adira (Gagap), Maulana (Tekad), Nad (Gantung) dan Shahir (Andalusia). Pengetua AF8, Norman Abdul Halim, ketika diminta komen mengenai aksi peserta mengakui berpuas hati dengan keseluruhan persembahan.
“Bagi persembahan pertama, tambahan pula peserta belum sempat mengikuti kelas bersama tenaga pengajar, jadi saya berpuas hati dengan keseluruhan persembahan mereka. “Saya percaya ia akan lebih baik lagi selepas mendapat bimbingan daripada tenaga pengajar kelak. Mereka perlukan masa untuk digilap kerana dari segi suara semua ada keunikan masing-masing.
“Bukan hendak kata, terus terang, ada tiga pelajar AF8 saya lihat hendak berinteraksi pun tidak pandai lagi, tetapi apabila diminta melakukan kejutan di atas pentas mereka berani misalnya Anum. Justeru, saya percaya kalau mereka dibimbing dengan betul segala kelemahan dapat diatasi,” katanya.
