Koleksi gaun koktel dan perkahwinan dilatari warna putih

Koleksi terkini Kapas tampil gaya kontemporari

PEREKA Ashley Wong daripada Kapas yang sinonim dikaitkan dengan diva popular Anita Sarawak tampil bersama himpunan koleksi terbaru yang unik dan terkini, seiring aliran fesyen antarabangsa.

Selesa menggabungkan tiga tema berbeza menjadikan 24 helaian ekslusif dipertontonkan dalam pertunjukan fesyen kolaborasi antara Kapas dan Hotel Equatorial Kuala Lumpur, baru-baru ini tampak versatil dan pelbagai.

Bermain dengan fabrik lembut, mewah dan beralun seperti sifon, renda Perancis, satin serta sutera, Ashley turut memperincikan setiap rekaan dengan tatahan jemeki dan sulaman.

Koleksi pertama dipertontonkan adalah abaya atau jubah longgar sesuai untuk wanita yang inginkan penampilan sopan tatkala ke majlis seolah-olah membawa pengunjung ke dunia Asia Barat.

Menggunakan nuansa warna lembut seperti putih dan biru firus dibangkitkan melalui taburan labuci berwarna kontra berjaya menyerlahkan rekaan abaya serta blaus longgar yang ringkas potongannya.

Rekaan gaya siber yang didominasi gaun sendat berwarna perak menyerlahkan kreativiti unik pereka, malah berjaya membuatkan pengunjung terpukau.

Kata Ashley, gaya siber diolah berdasarkan pemerhatiannya terhadap fesyen semasa selain banyak juga dipengaruhi gaya dari ‘pelayarannya’ di alam siber.

“Saya banyak terpengaruh dengan gaya Balmain selain turut menjadikan penyanyi Lady Gaya sebagai sumber inspirasi melalui rekaan berstruktur dan pad pada bahu,” jelasnya.

Mengolah ilham melalui pemerhatian sama ada ketika sedang menikmati secangkir kopi, membelek helaian majalah atau melayari Internet berjaya menyuntik keunikan pada koleksi terbaru Ashley.

Koleksi gaun koktel dan perkahwinan dilatari warna putih namun diberikan kelainan melalui motif flora berwarna merah. Tidak keterlaluan jika dikatakan, eksperimen Ashley terhadap gaun labuh daripada sutera berjaya menyuntik elemen kewanitaan pada rekaan.

Tidak terkecuali, mainan warna gelap seperti hitam dan merah bata sesuai untuk digayakan tatkala hadir ke majlis formal.

Kali ini, selepas lebih 10 tahun bergiat di dalam industri fesyen tempatan, Kapas yang dikendalikan Ashley dan rakan kongsinya Kem Salleh memilih untuk mengadakan pertunjukan fesyen berkonsepkan high-tea fashion show

This entry was posted in Fesyen, Model and tagged , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Comments are closed.