Noor Julieana terima lamaran Mohd Zaidi selepas percaya kesungguhannya
JANGKAAN untuk meneruskan kehidupan solonya selewat-lewatnya untuk dua tahun akan datang, meleset sama sekali apabila tanpa diduga jejaka yang selama ini dikenali pendiam dan pemalu serta gemar mencuri-curi pandang setiap kali berada dalam kelas Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam ketika mereka belajar di universiti tempatan akhirnya tampil menyuarakan hasrat hatinya.
Noor Julieana Mohamed, 26 yang juga kakitangan kerajaan berkata, beliau sama sekali tidak menyangka keegoannya yang pada dasarnya enggan melayan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar oleh jejaka pemalu itu, akhirnya ‘cair’ dengan kesungguhan yang ditunjukkan.
Beliau berkata, selepas melihat sikap suaminya yang beriya-iya ketika melafazkan perasaan terpendam, terdetik hatinya untuk memberikan ruang bagi diisi lelaki itu walaupun kedua-duanya mempunyai perwatakan yang berbeza.
“Kami belajar di kelas yang sama, tetapi kami jarang sekali berbicara. Mohd Zaidi Mokhtar (suaminya), 27, sangat pendiam dan kurang bergaul berbanding saya yang riuh. Oleh itu, tindakan awalnya menghantar SMS dianggap satu gurauan dan membuatkan saya tidak mengendahkannya.
“Melihat SMS menanyakan khabar itu tidak berbalas, Mohd Zaidi mengambil keputusan untuk menghubungi saya dan ia sangat mengejutkan apabila dia ajak saya keluar. Dalam masa sama, dia juga menyatakan ada perkara penting yang perlu diluahkan kepada saya,” katanya.
Katanya, pertemuan pertama mereka di restoran makanan segera yang terletak di Carrefour Wangsa Maju, sangat membuatkan beliau gugup dan gementar untuk mendengar apa yang bakal diluahkan lelaki berkulit cerah itu.
Setiap perkataan yang diluahkan tersusun serangkap demi serangkap dan akhirnya lelaki itu menyatakan hasratnya untuk menjalinkan hubungan yang lebih serius dengan harapan akan ke jenjang pelamin. Noor Julieana akui beliau terpaku dengan luahan itu.
“Saya sama sekali tidak menyangka lelaki yang pendiam sepertinya mempunyai keberanian yang tinggi sama seperti orangnya. Bagaimanapun, saya yang berada dalam keadaan serba tidak kena ketika itu hanya mendiamkan diri dan meminta masa daripadanya untuk mengenali hati masing-masing terlebih dulu.
“Siapa sangka, dalam tempoh beberapa hari saja berada di kampung halamannya, membuatkan saya rasa cukup selesa dan mula menyayangi keluarganya yang melayan saya bagaikan puteri. Di situlah hati saya mula berkata-kata dan ingin meneruskan hubungan kami ke peringkat yang lebih jauh tanpa menyukat masa yang ada,” katanya.
Selepas pulang dari kampung halaman Mohd Zaidi di Gua Musang, Kelantan, lelaki tinggi lampai itu terus datang ke rumah Noor Julieana untuk menyatakan hasratnya meminang anak gadis itu kerana sudah terlalu suka kepadanya.
“Ibu yang selama ini bimbang dengan pilihan hati saya, bagaimanapun buat pertama kalinya terus bersetuju dengan Zaidi dan merestui hubungan kami untuk ke ikatan yang sah dan kami mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan pada 13 Jun tahun lalu.
“Talian pertunangan kami diikat selama lima bulan dan sah menjadi pasangan suami isteri pada 28 November lalu dengan memilih tema ala taman untuk majlis yang penuh bermakna dengan mengenakan padanan hitam putih,” katanya.
Sementara itu, bagi pihak lelaki pula, tema pakaian pengantin yang dipilih berwarna biru firus dan memberikan pihak perempuan sembilan dulang hantaran dan dibalas dengan 11 dulang hantaran berlatarkan warna sama.
Ditanya mengenai perasaannya mendirikan rumah tangga dalam masa pengenalan yang sangat singkat itu, Noor Julieana akui sehingga kini beliau masih tidak percaya statusnya sudah berubah, namun sangat gembira dan tidak menyesal dengan keputusan drastik diambilnya itu.
“Kami masih berkelakuan seperti pasangan yang masih dilamun cinta dan berada di awangan. Dia sangat prihatin dan memanjakan saya. Kini saya percaya, tidak salah untuk memberi peluang dan membalas cinta orang yang benar-benar mengharapkannya daripada kita.
“Seronok bercinta selepas kahwin. Banyak benda yang baru untuk dipelajari dan alam perkahwinan ini menjadi semakin hebat dan kadang-kala kelakar melihat keletah pasangan cuba untuk membuat saya kagum dengan sikapnya,” katanya sebelum mengakhiri perbualan di talian.
