Kemana Susilawati

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Sabtu Osman, berkata masih belum ada perkembangan terbaru mengenai kes kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, dan tiga rakannya.

“Polis sedang giat menjalankan siasatan dengan mengambil beberapa keterangan dari keluarga dan rakan-rakannya.
“Siasatan ini juga merangkumi pemeriksaan terhadap dua kereta yang ditemui semalam termasuk cap jari yang terdapat pada kereta berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini petang ini.
Semalam, polis menemui kereta BMW milik Sosilawati di Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya dan kereta BMW milik Ahmad Kamil di kawasan perumahan berhadapan sebuah hotel di Subang Jaya.

Sosilawati, 44, dan pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak Isnin lalu semasa ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor akan bekerjasama dengan IPK Kuala Lumpur dan Bukit Aman dalam menyelesaikan kes itu.

Bercakap kepada media selepas merasmikan Kempen Balik Kampung Dengan Selamat bersama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia di sini, beliau berkata keseluruhan kontinjen bersiap sedia membantu IPK Kuala Lumpur jika telah menemui sebarang petunjuk baru daam kes itu. – BERNAMA

KUALA LANGAT: Hartawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dilihat membeli kerepek dan kuih di sebuah kedai di Kampung Sungai Lang, Banting di sini untuk diberikan kepada kakitangannya sempena sambutan Aidilfitri yang bakal menjelma sebelum dilaporkan hilang sejak seminggu lalu.

Menurut seorang pekerja di kedai kerepek berkenaan, Kerepek House Fazz Enterprise, kira-kira dua kilometer dari pekan Banting, Sosilawati dan seorang lelaki datang ke kedai itu Khamis lalu.
Pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Ina itu berkata Sosilawati datang kira-kira 2 petang sebelum membeli beberapa jenis kerepek termasuk kerepek pisang, bawang, jejari bilis serta kuih dam, sanggul mak dara dan almond london.
“Dari perbualan saya dengan Datuk (Sosilawati) ada beritahu kuih itu untuk kakitangannya, saya berbual kerana sebagai pekerja saya melayan Datuk selaku pelanggan.

“Lebih-lebih lagi saya pengguna produk kecantikan yang diasaskan Datuk iaitu Nouvelle Visages,” katanya yang menambah Sosilawati memakai baju warna merah jambu dan seluar jenis legging hitam ketika datang ke kedai itu.

Ina berkata, dalam perbualan itu, Sosilawati hanya memaklumkan beliau ada urusan perniagaan di pekan Banting.

Katanya, Sosilawati dan lelaki yang dipercayai peguamnya itu beredar dari kedai berkenaan dua jam kemudian.
Ahad lalu, Sosilawati dilaporkan hilang oleh anggota keluarganya selepas dikatakan keluar dari rumahnya di Gombak.

Difahamkan Sosilawati tidak pulang ke rumah selepas memberitahu salah seorang anak perempuannya yang beliau mahu ke Banting atas urusan kerja selama tiga hari, namun selepas tiga hari, beliau tidak pulang ke rumahnya sehingga ke hari ini.

Semalam, dua kereta mewah dipercayai milik Sosilawati dan seorang peguamnya ditemui oleh orang awam di dua lokasi berbeza di Subang Jaya.

Kereta terbabit iaitu BMW X5, dipercayai milik Sosilawati ditemui di parkir kenderaan di Pangsapuri Angsana, USJ 1, Subang Jaya manakala BMW 5 siri dipercayai milik peguamnya ditemui berhadapan sebuah rumah teres berdekatan sebuah hotel di Subang Jaya. – BERNAMA

This entry was posted in Malaysia and tagged , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply