Saya sedar lagu raya era 1970-an sangat menarik perhatian ramai kerana ia hasil sentuhan komposer handalan seperti Datuk Ahmad Nawab dan Kassim Masdor yang berjaya menghasilkan komposisi lagu yang sangat tebal jiwa Melayunya.
Jadi, apabila lagu ini berkumandang, sudah tentu biasan atau kenangan sambutan raya pada zaman di kampung dulu, pada usia kanak-kanak, tergambar.
Manakala, lagu raya sekarang ini mungkin penciptanya mengimbau situasi yang lebih moden.
Justeru, tiada lagi kenangan indah di kampung dalam lagu moden. Barangkali masyarakat kurang menerimanya.
Ini disebabkan, saya juga melihat bentuk kemeriahan hari raya digambarkan itu tidak sesuai dengan pendekatan masyarakat.
Sebagai contoh, ada juga lagu dihasilkan hanya bercakap saja dan kekuatan melodi tiada. Sebenarnya, lagu raya ini kita hendak menghayati liriknya untuk mengimbau semula suasana beraya di kampung.
Malah, bila hendak bercakap mengenai serunding dan rendang umpamanya.
Oleh itu, kadang-kadang muzik moden ini bukan tak boleh diterima langsung, barangkali kurang sesuai. Sehubungan itu, cara harus disesuaikan dengan suasana imbauan tadi. Semestinya pendengar akan menerima kerana kenangan di kampung amat bermakna.
RAP: Apakah ia ada kaitan dengan masalah lirik lagu?
PAK NGAH: Saya rasa tidak juga masalah pada lirik lagu. Ini kerana penghasilan komposisi lagu raya era moden juga masih berbicara mengenai kemeriahan Aidilfitri, tetapi berbeza suasananya macam di kampung. Dari segi lirik, ia boleh dikatakan masih bertepatan.
Walaupun saya menghasilkan lagu raya berkonsep baru sekarang ini, tetapi lagu dan bentuknya masih mengikut acuan budaya kita sendiri.
Jadi, lebih mudahlah untuk orang kita (Melayu) merasakan kemeriahan raya termasuk menghayati erti Aidilfitri itu bersama.
Lagu raya moden ini masih lagi ada cerita raya, ingatkan kampung dan ibadat umpamanya, tetapi yang paling pokoknya diri sendiri. Apakah lagi dicipta mampu dihayati masyarakat sekeliling. Itulah perkara utama yang harus diambil kira.
RAP: Datuk ada mencipta lagu raya baru lagi?
PAK NGAH: Pada tahun ini, saya tidak mencipta lagu raya yang baru pun. Tetapi, sebenarnya saya ralat kerana tidak dapat menghasilkan dan menerbitkan lagu raya untuk Bob (AF2) dan Dayang Nurfaizah. Mereka ada minta lagu, tapi saya yang tak berkesempatan.
Antara faktornya, saya ke Eropah kerana ada urusan. Jika tidak ke luar negara, sudah pasti saya akan menciptakan lagu untuk mereka. Bagaimanapun, semuanya rezeki dan mana tahu saya masih berpeluang menghasilkannya pada masa akan datang.
RAP: Jadi, bagaimana sebenarnya penerimaan lagu raya sekarang?
PAK NGAH: Kalau kita terbitkan lagu rasa dengan cara yang saya beritahu itu, boleh dihayati bersama, mengapa tidak lagunya diterima. Cuma, apa yang penting sebagai pencipta lagu atau penulis lirik, janganlah kita bersikap syok sendiri dengan karya dihasilkan.
Namun, jika masih berkeras menghasilkan muzik yang diri sendiri mahu dengar, maka hasilnya tak ke mana kerana orang lain tak boleh menerima. Sendiri cipta dan sendiri dengar. Apapun, tidak semua komposer seperti itu dan kalau ada pun mungkin segelintir.
RAP: Inspirasi Datuk ketika mencipta lagu raya?
PAK NGAH: Saya kalau mencipta lagu tidaklah berdasarkan inspirasi kenangan lama. Namun saya melihat pada suasana kemeriahan yang digambarkan. Sebagai contoh, dua lagu raya dendangan Siti Nurhaliza iaitu Sesuci Lebaran dan Nazam Lebaran.
Ia dicipta bagi menunjukkan betapa meriah dan cerianya Aidilfitri yang dirai. Manakala, lagu Air Mata Syawal pula lebih mengetengahkan kasih sayangnya terhadap keluarga terutama kerana meraikan hari raya. Jadi, mesejnya jelas kepada pendengar.
Dari mula mencipta melodi itu, memang saya sudah memikirkan apakah bentuk lagunya. Justeru, penulis lirik pula harus cuba menghayati daripada melodi itu. Secara tidak langsung, ia pasti membuatkan lagu itu menarik apatah lagi didendangkan penyanyi sesuai.
RAP: Maksudnya, Datuk kalau mencipta lagu raya mesti fikir iramanya dulu?
PAK NGAH: Ya, tidak saya nafikan. Memang saya selalu fikirkan genre dulu. Contohnya genre Arab, semestinya saya tahu melodinya nanti adalah Arab. Begitu juga, jika genre inang sudah tentu, melodinya inang dan kalau syahdu, iramanya mesti kena mendayu.
Genre memang saya titik beratkan supaya mudah mencari melodi yang sesuai. Ini adalah cara saya kerana mahukan hasil yang berkualiti. Apapun, setakat ini memang saya berpuas hati dengan kaedah digunakan dalam penciptaan lagu raya.
RAP: Adakah susah sangat mencipta lagu raya?
PAK NGAH: Bagi saya, ilham mencipta lagu ini semuanya datang daripada Tuhan. Kalau ilham itu diberikan sepantas kilat maka dapatlah lagu itu disiapkan segera. Dalam masa lima minat pun boleh disiapkan, cuma itulah mesti ada ilham yang muncul.
Apapun, sama ada susah atau senang mencipta lagu, jawapannya pada saya adalah sukar. Jadi, saya sangat terkejut kalau mendengar ada individu mengakui cipta lagu mudah dan senang. Pendapat saya, semuanya bergantung pada ilham yang Tuhan anugerah.
Saya juga bukanlah individu yang kalau mencipta lagu boleh mendapat inspirasi dengan melihat ketenangan laut atau kehijauan hutan belantara. Cara saya muda saja dengan duduk di hadapan komputer dan berusaha mencari melodi yang sesuai.
Selain itu, vokal penyanyi yang akan merakamkan lagi dihasilkan juga saya ambil kira. Ia bagi memastikan sama ada vokal sesuai atau tidak. Apapun, realitinya, saya memang memandang berat pada banyak perkara untuk dinilai dengan teliti.
RAP: Mana satu lagu raya lama pilihan Datuk?
PAK NGAH: Secara jujurnya, banyak lagu raya dulu yang saya suka. Antaranya Dendang Perantau nyanyian P Ramlee dan Selamat Hari Raya nyanyian Saloma dan Fazidah Joned.
Apa yang pasti, saya minat semua lagu raya itu kerana betul-betul dekat dengan jiwa kita masyarakat Melayu. Dulu pun, P Ramlee kalau buat lagu mesti ada unsur India atau Arab diketengahkan tetapi cara olahannya tetap lebih kepada jiwa kemelayuan.
Sekarang ini pula, bukan disebabkan komposisi lagu dihasilkan bersandar pada muzik Barat, namun cara nyanyian pun sudah terikut-ikut seperti penyanyi kulit hitam. Berbanding dulu, pengaruh luar Barat kurang meresap ke dalam lagu kita.
Jiwa pencipta lagu masih kukuh jati dirinya pada irama tempatan dan Asia. Kemasukan muzik Barat hanya diguna pakai untuk memperoleh inspirasi semata-mata. Manakala, jiwa mereka tetap kuat dan kukuh memegang jati budaya yang dipegang sekian lama.
RAP: Bagaimana keadaan industri terutama pasaran lagu raya?
PAK NGAH: Saya dapati tidak banyak syarikat rakaman berminat untuk menerbitkan lagu raya. Alasannya, susah hendak jual.
Apapun, bagi saya yang penting produknya bagus. Kalau tak jual album pun, pendapatan syarikat rakaman masih ada.
Terutama pada penjualan muat turun nada dering lagu yang menjadi fenomena di pasaran muzik kini. Ia memberi impak besar kerana ada lagu yang mencecah jualan sehingga ratusan ribu. Ia sumber pendapatan baru dan saya yakin meraih pulangan besar.
Jadi, seharusnya syarikat rakaman memberi peluang dan ruang untuk industri hiburan tanah air terus berkembang maju dengan penghasilan lagu baru. Saya percaya dengan hasil produk berkualiti yang boleh menjana percambahan pendapatan.
RAP: Harapan Datuk terhadap industri?
PAK NGAH: Saya mengharapkan industri muzik Malaysia boleh jadi seperti India dan Arab. Ini kerana, sebaik mendengar saja lagu yang dipersembahkan, orang ramai terutama masyarakat dunia tahu air lagunya itu datangnya dari Malaysia.
Apapun, setakat ini industri muzik tanah air belum sampai ke tahap itu lagi. Jadi, saya harap dengan adanya institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini yang menyediakan jurusan seni dapat mewujudkannya. Ia penting supaya pemuzik Melayu generasi baru lebih mengenali jati diri kita sendiri sebagai bangsa yang merdeka.
